|
|
SEJAJAR dengan moto '1 Muslim, Dakwah Didahulukan Saudara Muslim Diutamakan', Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menganjurkan Program Khemah Ibadah Kelab Perkim Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pusat Latihan Ranjer, Gunung Tebu, Besut, Terengganu.
Program pada 12 hingga 15 Februari itu menghimpunkan 97 mahasiswa kelab Perkim. Mereka terdiri daripada pelajar Malaysia, Indonesia dan Thailand yang menuntut di universiti berkenaan.
Pengarah projek, Suariza @ Hidayah Muhammad berkata, khemah ibadah ini bertujuan menaikkan semangat keislaman, jati diri dan mendalami ilmu agama untuk diamalkan dalam kehidupan.
Katanya, ia juga menjadi platform untuk mahasiswa menyebarkan dakwah di kalangan masyarakat berpandukan pengisian modul-modul dakwah yang disampaikan oleh penceramah.
"Kelab Perkim berhasrat menjadi mekanisme utama bagi membantu masyarakat dan juga menyelesaikan gejala sosial yang semakin berleluasa pada masa kini.
"Ia melalui penggunaan khidmat, idealisme serta karisma mahasiswa di setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai orang tengah menyebarkan dakwah Islamiah," jelas Suariza.
Bagi mencapai objektif membentuk integrasi sosial, Kelab Perkim universiti menganjurkan aktiviti seperti kebudayaan, perkhemahan, ziarah keluarga, perbincangan dalam pelajaran antara mahasiswa berbilang kaum dan lawatan sambil belajar.
Sepanjang perkhemahan, para peserta menyanyikan lagu Asmaul Husna pada setiap kali permulaan sesi modul.
Modul pertama bertajuk 'Perkim dan peranan dakwah' disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim yang juga pensyarah Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Dr. Ramle Abdullah.
Slot kedua pula disampaikan oleh seorang lagi pensyarah UDM, Rosdi Muda yang membentangkan tajuk '1 Malaysia'.
'Sejarah Perkim Dahulu dan Masa Kini' pula adalah tajuk modul yang disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L.Isa.
Bagi menyemarakkan lagi semangat dan kreativiti peserta diadakan sesi latihan dalam kumpulan (LDK). Ia merangkumi ice breaking, sahabat, tumpuan melukis, detik-detik kelahiran, alam roh, check point dan kapal angkasa 2020 yang dikendalikan pula oleh para fasilitator terlatih.
Seorang penuntut UUM, Asma Chemae, 20, berkata, program tersebut amat bermanfaat kerana banyak mengajar dasar-dasar asasi cara hidup dalam Islam.
"Pada masa depan, diharap program ini dimuatkan dengan taklim wataklum iaitu program belajar dan mengajar bagi pendakwah," kata penuntut Ijazah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa yang berasal dari Thailand ini.
Mohd. Izzuddin Mohd. Pisol, 21, pula berkata, program tersebut sangat sesuai dalam bentuk perkhemahan kerana ia mengajar peserta erti kepayahan dan kesusahan dalam kehidupan.
"Perkim perlu menambah lagi modul-modul panduan dan metod pendakwah yang berkesan serta mengadakan sesi forum diskusi bersama saudara muslim," kata penuntut Ijazah Pendidikan Islam UKM ini.
Seorang lagi peserta, Mohd. Abd. Arif, 20, berharap, program gabungan kelab Perkim universiti ini diperluaskan.
Katanya, secara tidak langsung perkhemahan seperti ini menambahkan lagi idea untuk kebajikan Islam melalui teknologi, inovasi dan bengkel.
"Perkim juga perlu menghebahkan tujuan kebajikan Islam, matlamat organisasi dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan melalui pendakwah kelab Perkim kepada umum," kata penuntut ijazah Pentadbiran Perniagaan UUM yang berasal dari Padang, Indonesia ini.
Program selama empat hari itu disempurnakan majlis penutupannya oleh Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Kebangsaan, Prof. Dr. Siti Normala Sheikh Obid dan Pengarah Dakwah, Abdul Hanif Harun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: