Wednesday, February 24, 2010

Denggi penyakit orang bandar


Kempen pendidikan mengenai bahaya nyamuk aedes kerap dilakukan termasuk di sekolah-sekolah.


BAGI mereka yang masih menganggap penyakit bawaan nyamuk aedes iaitu denggi satu penyakit boleh dirawat, buang segera tanggapan itu.

Ini kerana, sehingga hari ini belum ada vaksin yang benar-benar mampu menyembuhkan penyakit tersebut secara menyeluruh. Lebih membimbangkan ia mampu menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.

Mengikut kajian yang dijalankan, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengambil sebarang langkah berjaga-jaga untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes. Maknanya mereka tiak mengambil berat tentang bahaya penyakit ini.

Senario ini berlaku kerana masyarakat berfikir demam denggi ada penawar dan beranggapan kawasan rumah mereka sudah cukup bersih dan jauh daripada nyamuk aedes.

Menurut Pengurus Pemasaran Sara Lee Malaysia Sdn. Bhd., Putri Shireen Syed Othman, kes demam denggi terus meningkat disebabkan salah tanggapan masyarakat selain sikap sambil lewa yang ditunjukkan.

Ia juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa pengetahuan serta kesedaran rakyat Malaysia mengenai penyakit yang dibawa oleh nyamuk aedes itu masih rendah.

''Untuk pengetahuan bersama, walaupun hanya terdapat tompokan air sebesar syiling 20 sen, nyamuk aedes sudah boleh membiak malah pembiakan dalam air yang kotor bukanlah tabiat nyamuk aedes.

''Selain suka membiak di tempat-tempat tersembunyi dan gelap sama ada dalam mahupun luar rumah. Nyamuk aedes juga bukan sahaja menggigit pada waktu subuh dan senja tetapi sepanjang hari.

''Dengan hanya satu gigitan sahaja kita boleh mendapat penyakit denggi dan ia juga boleh menyebabkan kematian,'' jelasnya ketika ditemui wartawan Mega baru-baru ini.

Jelas Shireen lagi, pihaknya telah melakukan kajian bersama Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini dan mendapati nyamuk aedes boleh terbang sejauh 200 meter dan juga terbang tinggi sehingga 750 meter (tingkat 21).

Bukan setakat itu sahaja, nyamuk aedes juga boleh dikategorikan sebagai seekor nyamuk yang pintar dan suka persekitaran yang bersih.

Tambah Shireen, pihaknya juga telah membuat kaji selidik pada November dan Disember tahun 2008 dengan kebenaran Kementerian Kesihatan.

Kaji selidik tersebut tertumpu di kalangan penduduk bandar di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Ini kerana demam denggi merupakan masalah yang lebih dihadapi oleh penduduk bandar berbanding luar bandar.

Ini dapat dibuktikan dengan jumlah bilangan kes demam denggi di luar bandar adalah kurang berbanding di bandar.

Objektif kaji selidik tersebut untuk mengenalpasti apa yang masyarakat tahu mengenai penyakit denggi dan tanggapan mereka mengenai penyakit tersebut.

Hasil daripada kaji selidik yang dilakukan telah menyaksikan bahawa masyarakat hari ini mengambil sikap sambil lewa dalam usaha memerangi nyamuk aedes.

''Ini kerana mereka juga beranggapan menghapuskan nyamuk aedes adalah tanggungjawab kerajaan dan bukan diri sendiri.

''Dalam hal ini kerajaan sudah buat apa yang termampu selain mengiklankan cara-cara memerangi nyamuk aedes di samping merangka pelbagai program dalam usaha menyedarkan masyarakat bahawa penyakit yang dibawa oleh nyamuk aedes adalah merbahaya.

''Sekarang adalah masanya untuk kita sama-sama memerangi pembiakan nyamuk aedes dan ini memerlukan kita semua bersatu padu untuk menangani masalah ini,'' akui Shireen.

Lazimnya tidak susah bagi individu untuk menjaga kawasan rumah kediaman daripada menjadi pusat ternakan tidak rasmi kepada larva-larva nyamuk ini.

Hanya perlu luangkan masa selama 10 minit dalam seminggu untuk membersihkan piring pasu bunga, tayar buruk, tangki, kolah dan sebarang bentuk takungan agar tidak menjadi sarang pembiakan aedes.

Orang ramai juga disaran menggunakan racun serangga aerosol untuk membunuh nyamuk dewasa dalam rumah seminggu sekali.

Ini sekali gus mampu menghapuskan kitaran nyamuk aedes yang mengambil masa selama seminggu untuk membesar.

Ujar Shireen, hanya keprihatinan masyarakat terhadap bahaya nyamuk aedes dapat membantu mengawal penyakit itu daripada terus membunuh manusia.

Katanya, dengan pelbagai usaha yang dilakukan itu, pihaknya berharap dapat mengubah sikap penduduk daripada kurang peka kepada peka terhadap keadaan di persekitaran rumah mereka.

Dari semasa ke semasa juga katanya, Ridsect , jenama nombor satu bagi racun serangga isi rumah di Malaysia yang bernaung di bawah syarikat Sara Lee Malaysia Sdn. Bhd., telah merencanakan pelbagai program untuk meningkat kesedaran orang ramai.

Menerusi program yang diadakan seperti gotong royong dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan komuniti setempat, pendidikan di sekolah-sekolah, road show di serata negara dan sebagainya, diharap masyarakat akan lebih peka terhadap bahaya penyakit ini.

Pada masa sama mereka juga harus boleh mengenali simptom diserang penyakit itu dan sentiasa menjaga kebersihan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: