Wednesday, February 24, 2010

Kemuncak Gerbang Cinta


Pengantin bersama pasangan pemenang kedua, Md. Izudin Salleh dan Qistina Mohd. Nazri (kiri) dan ketiga, Inul Farha Mohd. Ramli dan Rizai Ali.


LEGA... Itulah ungkapan yang diucapkan oleh hampir kesemua penaja yang terlibat dalam Peraduan Gerbang Cinta Mega- Utusan Malaysia yang menutup tirainya pada Sabtu lalu.

Perasaan yang sama turut dirasakan oleh pasangan pemenang pertama, Mohd. Afandi Mohd. Isa dan Nurfairuz Aina Mohd. Kohar, yang bergelar raja dan ratu sehari di lokasi persandingan eksklusif bertempat di Kampung Pengantin, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.

Bagi pasangan yang masing-masing berusia 25 tahun itu, tiada apa yang mahu diluahkan selain rasa syukur kepada Allah SWT kerana majlis perkahwinan mereka berjalan seperti yang dirancang.

"Perasaan kami pada malam ini ada sedikit gementar, gembira dan paling utama kami bersyukur kerana telah sah bergelar suami isteri," ujar kedua-dua pengantin.

Nurfairuz Aina yang kelihatan jelita bak puteri zaman bangsawan hasil solekan Afidah Khamis dan busana tajaan T&T Boutique, tidak dapat menyembunyikan rasa terharu kerana majlis persandingan dilaksanakan seperti yang diimpikan.

"Biarpun penat tetapi kami bersyukur kerana semuanya telah selesai,'' ujarnya yang turut mendapat tajaan bulan madu ke Bali, Indonesia oleh Sri Sutra Travel Sdn. Bhd.

Mohd. Afandi yang bertugas sebagai pegawai tadbir diplomatik turut melahirkan ucapan penghargaan kepada penganjur, Utusan Malaysia dan barisan penaja yang telah merealisasikan impian mereka.

Disaksikan oleh hampir 1,300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan rakan sekerja, pasangan mempelai bagaikan pinang dibelah dua, sama cocok, sama padan tatkala melangkah masuk ke dewan terbuka Kampung Pengantin.

Rona merah manggis dan keemasan menghiasi setiap sudut dewan yang telah ditransformasi dengan begitu indah dengan lampu bergantungan, persis di hotel mewah.

Tetamu mula bertali arus seawal pukul 7.30 malam lagi. Semuanya tampak ceria. Yang lelaki segak berbaju Melayu atau kemeja batik manakala yang wanitanya anggun berpakaian tradisional.

Di luar dewan, barisan inang dan panglima berdiri di kiri kanan laluan masuk menyambut tetamu. Permaidani merah menunggu langkah gemalai pengantin menuju pentas pelamin.

Memenuhi keinginan pengantin, pelamin yang juga tajaan Kampung Pengantin direka indah berkonsepkan tradisional Melayu dengan ukiran kerawang dan hiasan-hiasan warna keemasan.

Bagai seorang putera raja, Mohd. Afandi segak dengan persalinan songket emas bunga penuh siap bertanjak dan bersamping sedondon dengan isteri tersayang yang dibaluti kebaya labuh gabungan songket dan renda Perancis.

Ratusan labuci dan manik menaburi baju sehingga ke kaki layah.

Majlis dimulakan dengan 'ketibaan' pengantin lelaki yang disambut percikan bunga api sebelum melangkah ke dewan untuk bertemu pengantin perempuan yang setia menunggu sambil diiringi gema pukulan kompang.

Pasangan pengantin kemudian melangkah berpegangan tangan menuju ke pelamin dengan alunan selawat ke atas Nabi sambil diiringi inang-inang cilik.

Kepetahan juruacara, Ahmad Ridzuan Ahmad Baijuri yang ditaja oleh D'Sayang Entertainment menceriakan lagi suasana majlis.

Terbukti semua penaja menunjukkan komitmen tinggi dengan memastikan setiap perincian majlis disempurnakan dengan lancar termasuklah persiapan makanan sehingga kepada rekaan pelamin serta dekorasi dewan.

D'Sayang Entertainment yang diketuai oleh Adiezie Aziz turut menyediakan kelengkapan bagi persembahan slide yang mengimbas tentang pernikahan pasangan ini yang berlangsung di Batu Pahat, Johor, pada 23 Januari lalu.

Seketika pengantin berasakan seperti selebriti popular apabila dihujani kilauan cahaya kamera kumpulan jurugambar daripada Picture Element diketuai Azmin Ngah Ibrahim Anuar dan rakaman video oleh Rumah Acara.

Saat yang dinanti tiba, kala tetamu istimewa iaitu pengarah dan pelakon tersohor, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Fatimah Ismail mendahului upacara merenjis.

Turut merenjis pasangan tersebut, Timbalan Pengarah Besar Felda, Mohd. Noor Kailani dan isteri, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohammed Thajudeen Abdul Wahab dan isteri, serta Timbalan Setiausaha MKN, Datuk Mohd. Ghazali Ahmad dan isteri.

Tidak ketinggalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Penolong Ketua Pengarang II, Ahmad Abdul Hamid dan isteri.

Menutup acara kedua-dua ibu bapa pasangan pengantin tampil merenjis sebagai tanda merestui perkongsian hidup anak dan menantu mereka.

Selesai majlis persandingan dan merenjis, pengantin diarak ke meja santapan untuk memenuhi acara makan beradap.

Apa pun majlis perkahwinan ini mencipta sejarah tersendiri apabila keseluruhan persiapan perkahwinan ditaja oleh penganjur yang bernilai RM150,000.

Pakej tersebut meliputi sajian makanan untuk 1,000 tetamu, lokasi persandingan, dekorasi pelamin dan dewan, busana pengantin, solekan, gubahan hantaran, dan cenderahati.

Selain itu turut di taja ialah kad jemputan, rakaman video, sistem pembesar suara dan pakej bulan madu.

Ibu bapa pengantin kongsi kegembiraan

Sementara itu, ibu kepada pengantin lelaki, Rabiah Yasin pula turut rasa gembira kerana dapat merealisasikan satu majlis perkahwinan yang diimpikan oleh anak sulungnya.

"Seperti mimpi di siang hari, tidak sangka majlisnya dapat diadakan sehebat ini. Kalau tidak kerana menyertai peraduan ini pasti ia akan adakan secara sederhana dan mengikut kemampuan kami sahaja,'' ujarnya.

Manakala ibu Nurfairuz Aina, Istikoma Ja'par pula, menyatakan kesyukuran kerana majlis yang dirancang itu dapat berjalan dengan lancar.

"Syukur sangat yang dirancang dapat berjalan dengan lancar. "Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana memberikan kerjasama dalam memeriahkan majlis anak saya,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: