Thursday, February 25, 2010

Agnes bukan menolak cinta

MEMILIKI raut wajah jelita dan dikenali ramai, siapa yang tidak mahu mendekati Agnes Monica. Bagaimanapun, bukan mudah mendampinginya kerana aktres dan penyanyi popular Indonesia ini senang bersendiri. Alasannya, dia terlalu sibuk dan sibuk dengan kariernya!

pix_middle



Tuntutan komitmen yang tinggi membuatkan Agnes atau nama sebenarnya, Agnes Monica Muljoto, 23, tidak berpeluang berfikir soal kekasih. Bahkan, pelakon Rezky Aditya, 24, yang kini dikait rapat dengannya diakui sekadar teman biasa.

Agnes berkata, tiada apa yang istimewa dalam hubungan dijalin bersama Rezky. Ini kerana, buat masa ini dia belum terfikir inginkan kekasih. Menurutnya, jadual yang sibuk menyebabkan dia senang tidak berkasih walaupun ia tuntutan naluri setiap wanita.

"Saya yakin ketika ini diri belum bersedia untuk ada kekasih. Bagi saya biarlah sekarang bersahabat saja termasuk bersama Rezky. Lagipun, selain sibuk dengan karier, saya juga perlu memberi tumpuan kepada pelajaran yang belum habis.


"Sekarang ini, saya masih mengikuti kuliah Sains Politik di University Oregon State. Jadi, ke mana saja saya pergi, memang ditemani buku dan komputer riba. Boleh dikatakan setiap waktu bersama dan tiada masa untuk fikirkan soal lain," katanya.

Berpegang teguh dengan kenyataannya sebelum ini, Agnes berkali-kali menafikan tiada hubungan intim berputik antaranya dan Rezky selain sebagai sahabat saja. Ujarnya, memang dia sudah memaklumkan kepada Rezky bahawa takkan ada cinta.

"Dari dulu saya sudah jelaskan kepadanya (Rezky) yang hubungan persahabatan kami takkan berubah menjadi cinta. Justeru, hingga ke saat ini saya tidak pernah mengubah kenyataan. Apa yang saya katakan dulu tetap sama dan tak perlu dihiraukan.

"Apapun, jika soal ini masih diperbesarkan lagi pastinya ia bukan datang daripada saya. Sebenarnya, kalau ingin menjadi kekasih, semestinya hubungan itu bermula dengan persahabatan. Jadi, sekarang ini hati saya belum berteka-teki.

"Malah, bagi saya soal hati tak boleh ditipu atau disembunyikan. Oleh itu, jujurnya saya mengaku sekali lagi hubungan dengan Rezky hanya teman biasa dan kami belum berfikir untuk ke arah lebih serius," kata Agnes penyanyi lagu Matahari dan Tak Ada Logika.


Katanya lagi, dengan pencapaian serta kejayaan cemerlang diraih pada usia muda, bukanlah mustahil jika dia berpegang pada prinsip tidak mengimpikan kehadiran kekasih. Baginya, cinta masih terlalu awal.

"Hidup saya tetap bahagia, ceria dan gembira saja walaupun masih tiada kekasih. Oleh itu, sekarang bukan masanya untuk saya bercinta. Malah, saya tak perlukan kekasih. Kalau dulu, saya mengaku pernah mencintai seseorang dan sangat menyayanginya.

"Namun, disebabkan memilih orang yang salah akhirnya saya tidak gembira. Justeru, daripada pengalaman itu banyak yang dipelajari. Saya harus menemui lelaki yang boleh menerima diri ini seadanya dan bukan untuk gembira semata-mata.

"Sekarang ini pun yang paling penting bagi saya ialah sokongan keluarga dan rakan. Jadi, jika saya mahu membawa masuk seseorang ke dalam hidup ini, biarlah dia seorang yang boleh memberi ketenangan, keamanan dan baik padaku," katanya.

Biarpun status kariernya kini bertaraf antarabangsa, Agnes berkata meskipun sekarang dia tidak memerlukan kekasih, itu tidak bermakna dia menolak cinta. Katanya cinta tetap cinta dan ia sukar dijangka atau diramal dengan mudah.

"Apapun, jika ditakdirkan saya jatuh cinta nanti, biarlah urusan yang satu ini hanya untuk diri sendiri. Sebagai wanita, saya ingin dicintai dan mencintai, cuma persoalan ini biarlah menjadi hak milik peribadi. Jadi, tak mengapa jika ia tidak dihebah," katanya.

Muncul dengan album Sacredly Agnezious tahun lalu selepas Matahari, Agnes popular pula dengan single kedua, Godai Aku Lagi. Menerusi single itu, jumlah muat turut dicatatkan Godai Aku Lagi mencecah 1.5 juta Sekali gus, melayakkan lagu itu menerima platinum berkembar tiga.


PROFIL
NAMA: Agnes Monica Muljoto
PANGGILAN KOMERSIAL: Agnes Monica/Nez
TARIKH LAHIR: 1 Julai 1986
USIA: 23 tahun
ASAL: Jakarta, Indonesia
KARIER: Penyanyi, pelakon, penari, penerbit album dan komposer.
ZODIAK: Cancer
ALBUM: Si Meong (1992), Yess! (1993), Bala-Bala (1993) ..And the Story Goes (2003), Whaddup A.. '?! (2005), NEZ (2008) dan Sacredly Agnezious (2009)
SINETRON: Antaranya 1999: Lupus Milenia, Mr Hologram (1999), Amanda (2002), Pernikahan Dini (2002), Ciuman Pertama (2002), Cinta Selembut Awan (2002), Cewekku Jutek (2003), Cantik (2004), Bunga Perawan (2004), Ku Tlah Jatuh Cinta (2005), Pink (2006), Kawin Muda (2007), Jelita (2008) dan Kawin Masal (2008)
DRAMA LUAR NEGARA: Romance In The White House (Taiwan- 2005) dan The Hospital (Taiwan- 2006)
PENCAPAIAN: Antaranya, Anugerah Penyanyi Wanita Terbaik di Asia Song Festival 2008, Penyanyi Wanita Paling Popular di Kids Choice Awards 2008 dan Anugerah Platinum Berkembar 3 (lagu Godai Aku Lagi).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: