KEKUATAN lontaran vokalnya yang diadunkan dengan rentak lagu bergenre 'Afro-Asian' dendangannya membuatkan penyanyi malar segar Zainal Abidin terus diminati sehingga kini.
Selepas lebih 20 tahun berada dalam bidang seni suara, Zainal mengakui bidang nyanyian bukan lagi kerjayanya.
"Menyanyi bukan lagi kerjaya saya sekarang. Sekiranya saya menyanyi untuk majlis tertentu, ia bukan untuk saya, tapi untuk menolong orang yang memerlukannya.
"Pernah saya terfikir untuk berhenti terus daripada bidang ini tapi memikirkan bakat yang dikurniakan tuhan membuatkan saya memilih dengan terus menyanyi hanya sebagai menjalankan tanggungjawab sosial terutamanya untuk majlis amal.
"Dengan bakat dan kepercayaan orang kepada saya, saya jadikan bidang nyanyian itu sebagai landasan untuk menolong orang yang kurang upaya.
"Saya banyak buat kerja amal dengan menyanyi dan mengikuti kerja-kerja kebajikan lain, katanya selepas sidang media Konsert "Kau Di Hatiku" di Corporate Lounge, Hotel Berjaya Times Square.
Keikhlasannya untuk tampil membantu orang kurang upaya (OKU) membuatkan penyanyi yang berusia 51 ini insaf mengingati dirinya yang membesar daripada keluarga yang susah.
"Saya mula buat kerja amal ini sejak dahulu lagi, tapi mula aktif pada tahun 2000.
"Saya terdorong menolong orang kurang upaya kerana mengingatkan saya dulu pun, orang susah.
"Dulu, ramai orang tolong saya, kini tiba masanya saya menolong orang lain pula. Saya bukannya kaya sangat, tapi saya menolong apa yang termampu," katanya yang kini aktif menolong Persatuan Orang Buta Bagi Malaysia (MAB).
Selain itu, anak kelahiran Johor ini turut memberitahu, dia lebih senang bergerak sendiri untuk menolong golongan OKU sebagai tanggungjawabnya terhadap golongan itu.
"Saya tidak bergerak di bawah mana-mana persatuan. Saya hanya membuat secara persendirian sahaja," kata penyanyi yang popular dengan lagu "Puteri".
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: