TATKALA menghadiri majlis pelancaran single terbarunya yang berjudul Panggil Namaku, ramai yang terkejut dengan majlis yang diadakan secara besar-besaran di Hotel Crown Plaza, Kuala Lumpur itu.
Terperanjat apabila melihat majlis bekas pelajar program realiti TV, Akademi Fantasia, Heliza Helmi itu turut dihadiri tetamu-tetamu VIP serta artis-artis lama seperti Datuk Ahmad Nawab, Datuk Khadijah Ibrahim, Uji Rashid, Datuk Aziz Satar, Herman Tino, Azlina Aziz, AR Badul serta Norlia Ghani.
Apalagi bila membaca kenyataan media yang diberi, salah seorang yang memegang jawatan pengarah besar dalam syarikat milik Heliza sendiri iaitu Heliza Helmi Production (HHP) merupakan seorang Datuk. Ia mencetuskan persoalan tentang kewujudan HHP sendiri.
Ditambah pula dengan pengendalian projek-projek yang dijalankan oleh HHP dengan kerjasama syarikat gergasi, Inai Kiara Sdn. Bhd., seperti perkapalan, diikuti pula dengan projek-projek besar lain yang membabitkan keuntungan sehingga berbilion ringgit, persoalan segera timbul.
Justeru, pengurusan HHP yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu seperti mengiakan cerita gosip yang diperkatakan baru-baru ini mengenai perkahwinan Heliza dengan seorang lelaki bergelar Datuk.
Malah, Datuk tersebut dikatakan telah menaja Heliza dan keluarga untuk bercuti ke London baru-baru ini.
Menafikan ke London kerana bercuti, sebaliknya kata Heliza dia ke sana atas urusan kerja tayangan filem Syurga Cinta yang ditayangkan di Malaysian Hall.
Tenang menjawab pelbagai soalan tentang dirinya, pemenang tempat keempat Akademi Fantasia 5 (AF5) itu menafikan gosip tersebut.
"Ia hanya gosip. Saya tahu, bila orang melihat HHP yang baru saja berusia dua tahun membuat pelbagai pelaburan perniagaan, ia pasti akan mengundang persoalan dan gosip.
"Dalam gosip itu, saya dikatakan sedang sibuk buat persiapan kahwin dengan Datuk itu pada pertengahan tahun lalu. Walhal waktu itu saya sibuk dengan persiapan single saya.
"Terus terang, buat masa ini saya tidak mempunyai teman lelaki dan saya pun tak terfikir lagi soal kahwin. Yang penting, saya hanya fokus pada pelajaran, kerjaya seni dan HHP.
|
|
"Sebagai seorang anak, saya tidak pernah membelakangkan keluarga segala hal yang berlaku pada saya termasuklah soal kahwin. Tanyalah ayah saya," ujar Heliza sambil memandang bapanya.
Ketika temubual bersama Heliza itu, bapanya yang menyelit dalam perbualan kami memberitahu: "Kalau ada orang yang datang meminang, sayalah orang pertama yang akan tahu."
Api kapal terbang
Tidak takut dengan persepsi umum, Heliza terus menjelaskan HHP memang dinaungi oleh seorang Datuk, iaitu Datuk Kapten Gulzar Mohammad.
"Turut serta dalam syarikat ini juga adalah isterinya, Toh Puan Atiah Alias Mohammad (pemilik syarikat Inai Kiara), ayah saya, Helmi Hasbi serta saya sendiri merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah HHP.
"Saya bersyukur kerana Toh Puan Atiah yang juga merupakan peminat saya sejak AF5, berminat untuk melabur dan menjadi rakan kongsi HHP. Jadi, saya dan keluarga adalah pemegang saham sebanyak 50 peratus dalam HHP.
"Oleh itu, produk pertama HHP adalah single terbaru saya dan kami juga mempunyai perancangan lain dalam mengembangkan syarikat kami.
"Memandangkan saya masih lagi belajar, HHP diuruskan oleh ayah. Lagipun, banyak perkara yang saya perlu belajar mengenai selok-belok perniagaan.
|
|
"Insya-Allah, selepas menamatkan pengajian saya dan perniagaan HHP juga berjalan dengan lancar, saya nak buka pusat tuisyen atau lagu berbentuk pendidikan pula," ujar penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan & Sains (Biologi & Kimia), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.
Menurut Heliza lagi, menceburi bidang seni nyanyian bukannya kerana suka-suka, sebaliknya mahu mencari rezeki untuk bekalan masa depan keluarganya.
"Saya sanggup bersengkang mata demi keluarga. Saya ingat lagi. Pernah sekali, ketika berada di dalam kapal terbang untuk pulang ke kampung, ia bergoyang kerana masalah cuaca, siap keluar api lagi.
"Terus saya terfikir, 'alamak, single belum keluar lagi. Kalau aku meninggal dunia, mak ayah macam mana?'. Sebab itu, bila ada yang sudi menjadi rakan kongsi HHP, saya bersyukur sangat dan percaya HHP adalah untuk jaminan masa depan keluarga," katanya.
Jadi penerbit
Bukan mudah untuk memberi nafas baru pada imej serta genre muzik yang ingin ditonjolkan pada umum.
Mengenai single barunya, Panggil Namaku yang ditulis sendiri liriknya oleh Heliza, manakala lagunya dicipta Shafi Vocal Studio (SVS), anak kelahiran Terengganu itu melahirkan perasaan gembira kerana ramai yang menjadi tulang belakangnya sepanjang menyiapkan lagu tersebut.
Lebih memudahkan Heliza ialah apabila guru vokalnya ketika di AF5, Shafizawati Shariff atau Cikgu Shafi yang bertindak selaku penasihat muzik dan vokal bagi single tersebut.
"Cikgu Shafi dan saya kerap berbincang dan berkongsi idea dalam pembikinan Panggil Namaku, ditambah pula dengan kerjasama pemuziknya saya rasa teruja. Maklumlah, single ini merupakan percubaan pertama dalam penerbitan sendiri.
"Kami juga berbincang mengenai penyusunan dan konsep lagu yang dibawakan. Kemudian kami sepakat mahu tampil dengan lagu berkonsepkan etnik dan R&B," katanya yang tampil dengan imej topi, mengikut konsep singlenya itu
Tambah penyanyi yang pernah berduet dengan juara AF3, Mawi menerusi lagu Doa Dalam Lagu, dia akan merancang untuk menghasilkan album penuh jika Panggil Namaku diterima peminat-peminatnya.
Dalam pada itu, Heliza juga mengejutkan umum apabila syarikatnya bakal bertindak sebagai penerbit Konsert Datuk Ahmad Nawab di Istana Budaya pada Oktober tahun ini.
Konsert itu nanti bakal menampilkan sepuluh artis veteran yang pernah di bawah asuhan Ahmad Nawab yang termasuklah Khatijah Ibrahim, Uji Rashid dan Hail Amir, sementara Heliza akan membuat penampilan khas.
"Setakat ini beberapa penyanyi veteran sudah pun disenaraikan dan masih lagi belum mendapat kata putus lagi daripada mereka.
"Konsert ini juga merupakan salah satu projek besar syarikat HHP," katanya yang juga bakal menjadi penerbit filem dibawah syarikatnya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: