Sunday, February 28, 2010

Chile lumpuh dilanda gempa


BEBERAPA buah kenderaan rosak teruk apabila ditimpa runtuhan bangunan selepas gegaran melanda seluruh Chile awal pagi semalam.


SANTIAGO - Sebahagian besar Chile termasuk ibu negara, Santiago lumpuh dilanda gempa bumi paling kuat dalam sejarah dengan ukuran 8.8 pada skala Richter yang meragut 122 nyawa setakat ini.

Agensi kajian geologi Amerika Syarikat berkata, gempa selama 90 saat itu dikesan pada kedalaman 35 kilometer, kira-kira 90 kilometer dari bandar raya Concepcion dan 320 kilometer dari Santiago, pukul 3.34 pagi (2.34 petang waktu Malaysia).

Stesen-stesen televisyen tempatan menyiarkan visual kerosakan teruk banyak bangunan di bandar-bandar besar manakala bekalan tenaga elektrik dan talian telefon terputus selain lapangan terbang antarabangsa di Santiago juga ditutup.

Ramai penduduk yang ketika itu sedang tidur dilaporkan terus keluar dari rumah dengan menjerit ketakutan dan ada lari di jalan raya selain menangis serta berpelukan sesama sendiri.

Presiden Michelle Bachelet segera mengisytiharkan seluruh negara dalam keadaan bencana bagi membolehkan usaha menyelamat dan menghantar bantuan kecemasan oleh pihak berkuasa.

"Saya menjangka angka kematian bertambah kerana Concepion yang paling terjejas akibat gempa ada lebih 670,000 penduduk," kata Bachelet sambil meminta seluruh rakyat untuk bertenang dan bersabar.


DUA orang penduduk Chile sibuk membersihkan sisa runtuhan kediaman mereka setelah gempa bumi melanda negara Amerika Selatan itu semalam.


Beberapa negara sekitar Lautan Pasifik termasuk Jepun, Filipina dan Australia mengeluarkan amaran ancaman tsunami dalam tempoh 24 jam ekoran gempa itu lebih kuat daripada di Haiti pada 12 Januari lalu yang berukuran 7.0 pada skala Richter yang meragut lebih 230,000 nyawa.

Chile pernah mencatat gempa terburuk pada 1960 apabila digegarkan skala 9.5 pada skala Richter yang mengakibatkan 1,655 maut serta mencetuskan tsunami sehingga ke Jepun, Filipina dan Hawaii.

Dalam pada itu, di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay mengesahkan semua rakyat Malaysia yang dihubungi pihak kedutaan di Santiago lewat semalam sebagai selamat dan masih berada di negara itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: