Thursday, February 25, 2010

Penyamun kebas puisi Samad Said

KOTA DAMANSARA: Seorang sasterawan terkilan apabila hasil terjemahan koleksi puisi hasil karya Sasterawan Negara, A Samad Said yang baru disiapkannya, dilarikan perompak dalam kejadian samun di kediamannya di sini, malam tadi.

MANGSA  SAMUN...Muhammad Ghozali dan isterinya, Ratnawati menceritakan rompakan di rumah mereka, malam tadi.
MANGSA SAMUN...Muhammad Ghozali dan isterinya, Ratnawati menceritakan rompakan di rumah mereka, malam tadi.
Mangsa Muhammad Ghozali Abd Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK, 61, berkata tiga perompak dipercayai warga asing menyerbu masuk ke kediamannya kira-kira jam 8.50 malam sejurus dia membuka pintu pagar untuk menyambut kedatangan tetamu.


“Kejadian berlaku terlalu pantas dan ketika itu saya bersama isteri, tiga anak, pembantu rumah dan dua tetamu diarah melutut. “Tiga bilah parang diletakkan di leher termasuk pada anak bongsu berumur tujuh tahun menyebabkan kami menyerahkan barang berharga.


“Pada masa sama, perompak terbabit cuba mengambil peti besi namun gagal kerana banyak beg cuba dilarikan termasuk dua beg komputer riba dan beg tangan isteri yang diletakkan di ruang tamu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Katanya, lebih terkilan apabila penjenayah terbabit turut melarikan salinan asal puisi karya Sasterawan Negara berjudul Puisi Panjang Al-Amin setebal 300 muka surat yang baru selesai diterjemahkan ke bahasa Inggeris setelah dua bulan bertungkus-lumus menyiapkannya.


Sementara itu, isteri mangsa Ratnawati Jamil, 47, seorang penulis kanan di Primework Studio, berkata setelah melarikan barangan berharga, perompak terbabit mengurung mereka dengan melarikan kunci pintu pagar automatik rumah itu.

“Kemudian, kami terdengar jeritan daripada jiran sebelah meminta tolong dan kira-kira 10 minit kemudian polis tiba memberi bantuan namun penjenayah itu sudah melarikan diri menaiki dua motosikal.


“Jumlah kerugian dianggarkan hampir RM40,000 namun saya bersyukur kerana anak bongsu kami tidak dicederakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: