|
|
SEPERTI garuda yang datang menyambar, segala manis yang dikecap melalui alam cintanya yang baru terbina dirampas tiba-tiba. Memendam luka sendirian, kini Maya Karin tidak mampu bersembunyi lagi. Lalu dia hadir untuk berkongsi kebenaran walaupun ia sesuatu yang cukup menyakitkan.
“Ia! Memang benar kami sedang dilanda masalah. Masalah yang cukup menyakitkan diri kami untuk menghadapinya,” demikian kata Maya.
Pertemuan pada petang Rabu, memang saya melihat banyak kabut pada wajah jelita Maya. Wajah yang sebelum ini sentiasa menghantar pesona, meskipun masih cuba untuk tersenyum itu kelihatan cukup berserabut.
Tidak seperti selalu, garis gusar dan keletihan berselirat disebalik kelopak mata, riak rawan bersenandung disebalik pipi cembungnya, sekali pun cuba disembunyikan sebalik kuntum senyum manis.
“Sesungguhnya ia menekan perasaan. Saya cukup sedih kenapa dalam usia pernikahan yang masih mentah, kami diuji sebegini,” kata Maya melontar kesal, pun dalam senyum yang sedikit sumbing.
Mengakui bahawa dia dan suaminya, Steven David Shorthose, sedang diuji, menurut Maya dia perlu berterus terang dan tidak menyimpan rahsia sendirian agar masyarakat tidak membuat andaian sendiri.
Justeru, dia sanggup ke depan dan menjelaskan kepada pihak media akan kebenaran meskipun ada rasa malu yang tebal untuk mengakui kepincangan rumah tangga yang baru saja terbina pada Ogos 2009 itu.
Bukan untuk menceritakan punca sebenar masalah itu berlaku atau mencari salah sesiapa, cukup sekadar berterus terang seadanya. Apa yang boleh dikongsi, Maya sudi berkongsi tetapi kalau ditanya soal punca sebenar disebalik ‘perselisihan faham’ itu, biarlah ia menjadi rahsia.
“Saya hanya mahu mengatakan memang rumah tangga kami sedang bermasalah. Punca masalah itu biarlah saya rahsiakan. Ketika ini kami sedang dalam peringkat mencari ruang untuk memperbaiki hubungan.
“Saya percaya masih ada harapan untuk ia diselamatkan dan kami mencari itu,” katanya sambil kedua-dua tangan tergenggam, bahasa badan yang menceritakan bagaimana dia sebenarnya sangat berusaha mencari penyudah membahagiakan.
Menyentuh mengenai kesediaan untuk berterus terang soal pedih yang ditanggungnya, Maya mengatakan dia bukan bertujuan untuk menjaja kisah peribadi.
“Umum pun tahu saya bukan jenis suka cakap personal. Tapi dalam masa yang sama saya tak suka sorok atau berselindung, saya tak suka tipu pihak lain sebab saya ada hubungan yang baik dengan media. Saya ceritakan semua ini supaya media tidak mendapatkan berita dari sumber tidak sah, nanti lagi kecoh. Risau juga kalau benda ini masih boleh diselamatkan akan jadi tak dapat diselamatkan pula,” katanya.
Hanya kami yang bersalah
Tidak membabitkan orang ketiga. Itu fakta penting yang mahu disampaikan Maya. Kalau ada anasir sumbang yang mengaitkan nama si polan, si polan sebagai punca krisis rumah tangganya, dakwa Maya ia hanya andaian belaka.
Apa pun takdir buruk yang terjadi hari ini, pengalir haba atau suis puncanya adalah daripada dia dan suaminya sendiri.
“Saya boleh katakan masalah ini berpunca daripada diri kami sendiri. Hanya kami berdua yang bersalah, tiada kaitan dengan orang lain. Sungguh, tiada pihak ketiga terlibat baik dalam hidup saya mahu pun dia (suami),” katanya.
Ketika saya bertanya, adalah punca utamanya kerana perbezaan ‘dunia’ mereka berdua, Maya tidak dapat menafikannya.
Dia mengaku akhirnya setelah menikah, dunia artis yang didiami dan dunia sebagai pendidik yang didiami suami adalah dunia yang berbeza sama sekali. Nah! Di situlah mereka sukar mencari titik temu.
“Dulu semasa dating kami tak nampak semua itu. Semua nampak yang indah saja. Tetapi selepas berkahwin, duduk serumah, berkongsi semua perkara, barulah tahu bahawa dunia saya dan dia banyak sangat perbezaan.
“Selepas setahun lebih pernikahan nampaknya kami belum bertemu titik penyatuan itu, sehingga hari ini kami masih mencari” katanya lagi.
Bersedia untuk ‘itu’
Banyak artis yang berhadapan dengan masalah rumah tangga hanya berdiam diri, tidak berani tampil untuk menceritakan perkara sebenar.
Sebaliknya Maya seperti sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan apabila dia mengakui keadaan yang sedang dilaluinya.
Timbul andaian, apakah Maya memang nekad dan bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan seandainya pendedahan yang dibuat ini bakal memburukkan lagi keadaan?
Tambahan pula, amat jarang (maaf, hampir tidak ada sebenarnya) artis yang berjaya menyelamatkan rumah tangga mereka, sementelah setelah dijadikan isu di media.
“Saya tahu perkara macam ini boleh berakhir dengan ‘cerai’, tetapi buat masa sekarang saya cuba untuk mengelak perkara itu daripada terjadi. Sungguh!,” katanya.
Tanya saya lagi, bagaimana kalau pada akhirnya Maya akan menjadi lelah dan tidak mampu lagi berusaha mempertahankannya? Apakah dia sudah bersedia untuk kembali solo, kehilangan status sebagai seorang isteri? Bersediakah Maya?
Dengan nada cukup perlahan, tetapi tegas, begini jawabnya:
“Dalam usaha ini, sudah tentu saya tidak mahu sengsara selama 50 tahun. Saya juga percaya bahawa ini hidup saya dan saya berhak mencari bahagia. Kalau kami boleh lalui perkara ini dan menyelesaikan masalah bersama-sama, Alhamdulillah.
“Tetapi kalaulah ditakdirkan ‘itu’ (cerai) berlaku, saya sudah bersedia. Saya perlu bersedia,” katanya lagi seolah-olah cuba untuk menyalurkan ion positif ke minda sendiri dalam mendepani segala kemungkinan dan takdir hidup.
Kepada Maya, saya pasti masih ada sinar yang baik berselindung di sebalik kabus. Carilah, galilah, selagi terdaya dan termampu.
Pun pada saat-saat diri sudah penat, hati sudah nekad, belajarlah untuk tidak menipu diri sendiri.
Maya Karin, doa untukmu. Semoga ketemu apa yang dicari!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: