Thursday, February 25, 2010

Belia Bijak Urus Wang Tunjuk Kehebatan Di Kampus KaCHING!

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) John Zinkin (kanan).

"ORANG ramai mungkin berpendapat mendidik golongan muda bagaikan membuat burger Big Mac," kata John Zinkin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC).

"Anda membentuk minda mereka menjadi acuan, di mana pengetahuan dalam bentuk ramuan yang telah diadun dituang ke dalamnya, dengan resipi yang sama setiap kali."

Tetapi ini menimbulkan masalah, katanya, kerana ia mewujudkan keseragaman, mengekang keaslian dan tidak menggalakkan sikap ingin tahu.

Di sebalik mengisi minda mereka dengan resipi yang kita mahukan dan yang seragam akan apa untuk difikirkan dan bagaimana, beliau mengesyorkan satu kaedah pendidikan yang menampilkan ciri minda dan kehidupan terbaik bagi penuntut.

Atas pertimbangan ini, SIDC tampil dengan satu pendekatan unik untuk menggalakkan celik kewangan di kalangan warga kampus di negara ini - menerusi pertandingan bakat antara universiti dikenali sebagai Kampus kaChing!, iaitu mirip kepada "battle of the bands".

Pertandingan akhir yang diadakan di Kampus Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) di sini baru-baru ini menyaksikan tujuh pasukan yang disenarai pendek daripada 15 pasukan yang mencuba nasib.

Matlamat awal ialah bagi membolehkan pasukan-pasukan ini untuk menyampaikan konsep pengurusan dan pelaburan dalam cara paling kreatif kepada rakan-rakan mereka, menggunakan muzik dan ceramah kempen.

Walaupun hujan turun lebat dan berlaku kesesakan lalulintas di laluan menghala ke tempat acara ini, lebih 500 penuntut datang untuk menyaksikannya.

Pengurusan Wang Penting Bagi Penuntut

"Anda boleh melakukan sesuatu dalam cara yang membosankan, atau anda melakukannya dalam cara yang sukar dilupakan.

"Apa yang kami mahu lakukan ialah menyatukan kreativiti, dinamisme dan individualiti bersama pembelajaran yang mereka perlukan dari segi memahami apa itu wang, dan membezakan antara keperluan dan keinginan mereka," kata Zinkin.

Walaupun program seperti Kampus ka-Ching! memanfaatkan pelbagai pihak, khasnya Kementerian Pendidikan, Zinkin berkata ia bukan satu usaha kerjasama. Ia sebaliknya satu usaha bebas yang dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF).

Ia juga disokong oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan sebahagian daripada rancangan rangka tindakan Pendidikan Pelabur SC yang mahu mewujudkan pelabur yang lebih berpengetahuan dan arif dalam pasaran modal.

Zinkin berkata usaha ini merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk meningkatkan kesedaran celik wang di Malaysia dan bertitik-tolak dari sini, meneruskan usaha menambahbaik kapasiti kewangan.

Beliau menjelaskan:

"Celik wang bermakna memahami apa itu wang, sementara kapasiti kewangan ialah bagaimana untuk menggunakan wang anda supaya ia seiring dengan idea Perdana Menteri untuk mewujudkan satu model ekonomi baru, yang merupakan satu budaya tambah nilai dan cara beroperasi.

"Ia bukan sekadar masyarakat yang mementingkan pengurangan kos, ia mengenai masyarakat yang tahu menggunakan wang dengan bijak," kata Zinkin.

Bagaimana pula Zinkin menarafkan kedudukan celik wang masyarakat di sini berbanding mereka di rantau Asia?

"Kecuali Singapura, Hong Kong dan Jepun, kita tidak ketinggalan jauh," katanya dan menambah kata negara-negara yang dinyatakan ini berada pada tahap pembangunan berlainan.

"Apa yang kami lakukan di sini masih bertaraf dunia. Sebagai contoh, kami mempunyai pakar-pakar pengurusan kewangan dari UK dan Australia untuk meneliti satu daripada program SIDC, iaitu 'Kids & Cash', dan mereka mendapati ia tidak kurang hebat berbanding yang lain.

"Jadi dari segi menyampaikan pendidikan celik wang, saya rasa apa yang kami sampaikan tidak kurang hebat," kata Zinkin.

Teruskan Dengannya

Beliau berkata untuk menyebar pengetahuan dan teruskan usaha ini, SIDC telah turun ke sekolah-sekolah di seluruh negara mengajar pelajar mengenai pengurusan kewangan.

"Apabila kami bermula pada 2008, kami mengajar lebih kurang 11,000 kanak-kanak. Lebih daripada 20,000 kanak-kanak diajar pada tahun lepas, dan tahun ini kami mensasarkan 40,000 kanak-kanak," katanya.

Guru-guru juga dilatih supaya kadar penembusan mencapai setengah juta kanak-kanak setahun dan bukan sekadar 40,000.

Adakah ini mungkin?

"Ya, jika anda menggunakan prinsip "pemasaran berbilang peringkat" untuk melatih guru, inilah yang kita cuba lakukan sekarang ini. Kami melatih mereka yang akan melatih, supaya mereka boleh melatih yang lain," katanya.

Apabila ditanya sama ada terdapat sebarang bentuk insentif untuk menyuntik motivasi bagi mereka yang akan mengendalikan latihan, beliau berkata sesuatu sedang diusahakan bagi tujuan ini. Kanak-kanak, bagaimanapun, diberi tabung duit untuk mendorong mereka menabung, dengan proses pembelajaran ini juga disokong menerusi laman web pelabur Malaysia www.min.com.my.

Mengenai tindakan susulan, Zinkin berkata pasukan ini juga akan kembali ke sekolah yang sama selepas tiga bulan untuk menilai sejauh mana pelajar masih ingat apa yang mereka telah belajar dan menggunakannya dalam kehidupan harian mereka.

"Kami mendapati lebih 80 peratus melakukannya dengan betul, jadi kami sekarang tahu apa yang kami lakukan kena pada tempatnya," kata beliau.

Usaha Lain SIDC

SIDC, yang diasaskan pada 1994 dan diperbadan pada 2007, merupakan sayap latihan SC. Ia juga merupakan penyedia utama sumber pendidikan, latihan dan maklumat pasaran modal di ASEAN.

Pertubuhan ini membantu dan mengatur satu siri program celik kewangan untuk menggalakkan tabiat pengurusan wang yang bijak di kalangan rakyat Malaysia, yang disasarkan kepada empat kumpulan utama.

Kids & Cash disasarkan pada kanak-kanak dalam lingkungan usia 10 hingga 12 tahun; Teens & Cash bagi pelajar sekolah menengah berusia antara 13 dan 15 tahun; Bijak Mengurus Wang bagi masyarakat luar bandar, pekerja kolar biru dan ibu bapa, dan kaum hawa khasnya suri rumah.

Sementara itu, Cash@Campus adalah bagi pelajar kolej dan universiti di mana bengkel diadakan bagi mendidik pelajar akan kaedah pengurusan kewangan serta pelaburan bijak.

Acara akhir pada 22 Jan menyaksikan kumpulan lima belia "Kami Ingin Duit" memenangi hadiah pertama bernilai RM5,000 dan piala. Kumpulan ini mewakili Kolej Komuniti Hulu Langat.

Zinkin berkata beliau berharap dapat menyaksikan penyertaan yang lebih lagi dalam acara antara universiti yang akan diadakan setiap tahun dari sekarang.

Adakah pertandingan ini menepati matlamatnya?

"Memandangkan lebih 500 penuntut mengharungi cuaca buruk untuk menyaksikan pertandingan ini, saya rasa ya."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: