TIDAK mahu insiden diperdaya berulang, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan membatalkan perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad negara dengan Togo yang awalnya dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 Mac depan.
REBUT...pemain negara berlatih di Wisma FAM bagi persiapan hadapi Yaman.
“Untuk mengatur sesuatu perlawanan memerlukan kata sepakat kedua-dua pasukan, ada beberapa perkara teknikal yang timbul dalam perlawanan dengan Togo. Maka, FAM terpaksa membatalkan perlawanan itu sebab masa sudah suntuk.
“Sehingga sekarang Togo belum menghantar senarai pemain yang akan beraksi dalam perlawanan persahabatan itu, jadi kita mahu pastikan pemain yang mereka hantar pemain kebangsaan, sebab kita takut mereka hantar pasukan kelab seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya, semalam.
Pada Jun tahun lalu, FAM diperlekehkan ramai pihak gara-gara tindakan Zimbabwe yang sepatutnya menghantar skuad kebangsaan, hanya menurunkan pemain kelab Monomotapa United FC dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dengan pasukan negara.
Togo, yang dibarisi beberapa pemain terkenal seperti penyerang Manchester City, Emmanuel Adebayor menjadi pilihan FAM sebelum ini untuk menguji kemampuan barisan negara kendalian K Rajagobal dalam perlawanan antarabangsa kelas A.
Bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Togo itu, FAM kini berusaha mengatur perlawanan dengan pasukan dari negara lain.
“Setakat ini kami cuba mendapatkan pasukan Vietnam bagi menggantikan tempat Togo ,namun belum ada keputusan. Selain itu kami turut meminta bantuan ejen Fifa bagi mengatur perlawanan dengan pasukan lain. Perlawanan itu tetap akan berlangsung pada tarikh yang sama, namun ia mungkin berlangsung di sini atau di luar negara,” kata Azzuddin.
Buat masa ini, satu-satunya perlawanan persahabatan untuk skuad negara yang memulakan latihan pusat, semalam, adalah menentang Yaman di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: