Saturday, February 27, 2010

RM100 habuan maklumat iklan ah long

JALAN YONG SHOOK LIN – Berita baik buat penduduk bandar raya ini apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan ganjaran RM100 kepada pemberi maklumat mengenai kegiatan menampal iklan haram khususnya iklan ah long.

Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib berkata, ganjaran tersebut merupakan sebahagian daripada Kempen Jom Tanggal yang dilancarkan MBPJ.

Katanya, ia bertujuan mengurangkan masalah iklan pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri ini khususnya di kawasan pentadbiran MBPJ dengan menarik penyertaan orang ramai untuk menyalurkan maklumat.

“Orang ramai yang melaporkan kegiatan penampalan dan penggantungan iklan ah long akan diberikan ganjaran sebanyak RM100.

:“Namun, pemberian imbuhan ini datang dengan beberapa syarat terutamanya maklumat yang disampaikan mestilah sahih,”katanya pada sidang media Kempen Jom Tanggal, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini.

Hadir sama, Ketua Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Deputi Supritendan, Mazelan Paijan.

Puasa berkata, setiap pemberi maklumat atau panggilan yang diterima akan dicatatkan nama pemanggil, nombor telefon dan nombor kad pengenalan untuk pengesahan.

:Dalam pada itu, beliau berkata selepas menerima maklumat daripada orang ramai, siasatan serta tindakan akan dilakukan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“PDRM akan memastikan maklumat yang diterima adalah benar manakala SKMM akan bertindak memotong talian telefon ah long dengan menghubungi sebanyak tiga kali untuk pengesahan nombor telefon tersebut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penampalan dan penggantungan iklan ah long boleh menghubungi MBPJ menerusi 03-79542020 yang beroperasi 24 jam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: