Monday, February 1, 2010

'Berdamailah Fahrin, Linda'

image MINGGU lalu pastinya kisah pelakon dan duta produk, Fahrin Ahmad mahu menyaman bekas kekasihnya, Linda Onn menjadi bualan hangat.

Dia dikatakan kecewa dengan Linda yang berterusan memburukkan namanya sejak percintaan mereka putus dua tahun lalu.

Justeru, selepas berfikir panjang Fahrin berasakan tindakan undang-undang wajar diambil terhadap Linda. Ujarnya, kesabaran selama ini tidak dihargai dan dia terpaksa mengambil tindakan tegas kerana memberi kesan buruk pada kerjayanya.

Oleh itu, menerusi ruangan Jarum Emas di Metro Ahad, semalam disarankan supaya Fahrin dan Linda menyelesaikan masalah yang berlaku di luar mahkamah. Ini kerana apabila sudah ke muka pengadilan undang-undang, banyak kisah yang akan terbongkar.

Jadi, sebaiknya cuba cari 'jalan tengah' yang lebih bagus untuk kedua-dua belah pihak. Sehubungan itu, reaksi mengenai perkara berkenaan turut diperoleh daripada Presiden Persatuan Seniman, Harun Salim Bachik dan penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim.

Menurut Harun, ia adalah isu peribadi dan seelok-eloknya biarlah penyelesaian dibuat di luar mahkamah. Katanya, jika diteruskan secara tindakan undang-undang, implikasinya besar kerana mereka berdua artis. Justeru, cuba selesai di luar mahkamah.

"Sebagai seniman sepatutnya kehidupan seperti satu keluarga. Oleh itu, segala masalah berlaku sepatutnya diselesaikan secara tenang, damai dan bermoral. "Malah, saya melihat apa disarankan Jarum Emas itu ada baiknya untuk kedua-dua pihak.

"Malah, sekiranya ada artis yang namanya seniman terbabit isu seperti ini diharapkan dapat menyelesaikannya dengan cara baik. Jangan terus ambil tindakan undang-undang kerana persatuan artis ada dan boleh merujuk lebih dulu kepadanya.

"Bagi saya, Seniman juga sedia membantu dengan menyediakan sesi kaunseling dan mendapatkan nasihat daripada artis lama. "Saya percaya, masalah yang dihadapi dapat diselesaikan sekiranya ada kerjasama dan pelakon lama pun banyak pengalaman," katanya.

Menurut Harun, tidak salah berkongsi pendapat dengan artis lama. Sementara itu, Kamal berkata, agak mudah untuk bercakap soal kes fitnah yang mana seseorang memfitnah diri kita. "Apapun, sebenarnya dalam kes ini (fitnah), orang yang difitnah perlu membuktikan apa yang dikatakan itu tidak berlaku.

"Manakala, orang yang didakwa 'memfitnah' pula tidak perlu berkata apa-apa. Oleh itu, sekiranya orang yang difitnah gagal membuktikannya di mahkamah, maka orang yang memfitnah bercakap benar. "Malah, orang yang memfitnah boleh pula membuat aduan lain.

"Apapun, akta bagi kes fitnah adalah Kanun Keseksaan. Bahkan, ia berbeza dengan jenayah biasa yang mana pengadu tidak perlu membuktikan apa-apa sebaliknya orang yang mendakwa. Jadi, bagi kes seperti ini apabila dilanjutkan ke mahkamah, implikasi lebih jauh akan berlaku.

"Berdasarkan pengalaman saya, selalunya pihak berkaitan tidak mahu memfailkan kes di mahkamah kerana mengetahui kesan dan akibatnya. Boleh dikatakan, perkara seperti ini biasanya terhenti di akhbar saja," katanya.

Kamal berkata apapun, merujuk kepada kes Fahrin dan Linda itu, saranan Jarum Emas itu ada baiknya kerana melihat ia membawa kesan kepada industri. Malah, sekiranya penyelesaian di buat di luar mahkamah juga akan mengelakkan aib serta maruah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: