Sunday, February 28, 2010

Wanita muda impian Shidee


MASIH menjadikan nyanyian sebagai karier tetap, Shidee sedia dihubungi menerusi e-mel, shidey59@yahoo.com atau talian telefon, 017-6555001.


BELUM reda kompang berbunyi, kisah hitam sang pengantin sudah dicanang ke serata negeri. Kisah gerhana dengan ibu mertuanya, Jamaliah Hassan, 45, memanaskan bahang usia pernikahan Shidee dengan Fairunnisa Aziz, 22, yang baru berusia dua minggu.

Angkara pernikahan yang dikatakan tanpa restu, nama penyanyi popular era 80-an, Shidee atau Rashid Abdul Wahab, 51, itu membuak dan bergelegak walhal sekian lama dia sepi tanpa dikorek kisah peribadinya.

Si bujang 51 tahun yang baru bertemu rahsia pernikahan itu reda, nikmat wanita muda yang hadir sebagai isteri harus dibayarnya dengan kesabaran tahap tertinggi.

Dia dikritik dan dipandang serong gara-gara dikatakan menolak cinta si ibu tunggal (Jamaliah), sebaliknya memilih si anak dara wanita berkenaan sebagai suri di hati.

Tidak melenting namun tidak juga membisu tanpa hujahan balas, Sensasi Bintang mengungkit persoalan. Apa benar cinta wanita muda yang sememangnya didambakan bujang terlajak bernama Shidee?

Selepas majlis perkahwinan pada 13 Februari lalu, anda pernah mengeluarkan satu kenyataan yang seperti merendah-rendahkan wanita berstatus janda?

Itu satu perkara yang sangat sensitif. Saya tidak mahu ada yang salah faham dan saya sebenarnya menghormati apa sahaja status orang lain. Sudah ditakdirkan Tuhan saya bertemu jodoh dengan anak dara. Saya terima ketentuan itu dengan besar hati.

Ada yang mentafsir anda membuka keburukan ibu mertua sendiri?

Bagi saya, perkara itu datang secara tidak langsung selepas tersebar tentang pergolakan yang wujud antara kami bertiga, saya, isteri serta ibu mertua.

Ingin saya tegaskan di sini, saya sebenarnya berada dalam situasi mempertahanankan maruah saya. Saya enggan nama dan maruah saya diperkotak-katikkan. Bukan saya yang mencetuskan persoalan itu.

Dalam soal jodoh, adakah sejak dari dulu lagi anda menolak untuk menerima wanita berstatus janda sebagai isteri dan hanya mengidamkan pucuk muda?

Tanyakanlah soal wanita kepada semua lelaki, waima kepada lelaki yang sudah berkahwin, pasti mereka akan pilih wanita muda dan bujang sebagai calon isteri. Itu kelaziman bagi lelaki.

Dalam kes saya, saya fikir saya orang bujang jadi seboleh-bolehnya saya mahu berkahwin dengan wanita bujang juga. Walau bagaimanapun, kalau sudah ditakdirkan saya berjodoh dengan janda, saya tetap akan terima.

Tapi saya dapat isteri muda. Lagipun dia (isteri) bukanlah terlalu muda. Sebenarnya bukan mudah orang seperti saya untuk meraih cinta wanita muda. Saya anggap itu rezeki saya.

Dia rahmat buat saya tapi dalam masa yang sama, saya dapat tohmahan, mungkin ada hikmahnya.

Kewangan, soal karier dan populariti yang sudah dipandang sepi dalam industri juga dipersoalkan, adakah anda mampu memberi jaminan kebahagiaan kepada isteri yang masih muda?

Saya akui, pendapatan saya tidak menentu. Dulu saya pernah mewah, pernah menikmati segala-galanya tapi itu tidak bermakna saya sudah tidak berdaya untuk mencari duit. Semua orang mahu berjaya, pokok-pangkalnya kena usaha.

Saya juga ada rumah yang dibeli sejak tahun 2006 dan menjadi tempat tinggal saya dan isteri ketika ini. Ini semua kuasa Tuhan, rasanya soal berapa banyak pendapatan bulanan saya tidak perlulah saya hebohkan.

Jadi artis kadang-kadang boleh dapat RM10,000 atau RM20,000 sebulan tapi ada masanya satu sen pun tak dapat. Saya janji, saya akan berusaha dan Tuhan yang menentukan. Itu janji saya.

Isteri anda, Fairunnisa keluar dari rumah tanpa izin keluarga dan pernikahan kalian berdua dikatakan tidak mengikut adat seperti merisik atau meminang, itu yang mengecewakan hati seorang ibu. Apa komen?

Sejak dari awal lagi, hubungan kami tidak direstui. Benar Fairunnisa keluar dari rumah, tetapi niatnya bukan untuk merosakkan diri, dia mahu berkahwin dan dia ada hak. Itu pilihan dia sendiri.

Jangan tolak kuasa Tuhan dan saya selalu berdoa minta perjodohan kami berpanjangan perjodohan, kekal abadi dan dikurniakan cahaya mata sebagai penyeri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: