Sunday, February 28, 2010

Maya makin kurus


KETIKA masyarakat sedang ingin tahu jalan penyudah keretakan pernikahannya, Maya sendiri sedang bergolak rasa. Isteri mana yang hendak bercerai kasih tapi dalam masa yang sama kebahagiaan diri menjadi ukuran.


MENGAMBIL pepatah orang Sweden, berkongsi kegembiraan adalah gembira berganda, berkongsi kedukaan adalah duka yang separuh.

Lalu, Maya Karin datang menyapa dengan fizikal yang semakin kurus namun masih terukir senyuman di wajahnya.

Dia mahu melepaskan sedikit perasaan resahnya yang sudah dikandung sekian lama.

Orang luar sedang enak bercerita dan membuat andaian sendiri akan episod kehidupan seterusnya Maya, hakikatnya tuan punya badan sedang merasa lelah dengan polemik yang melanda dirinya. Minggu ini dia berkongsi separuh kedukaannya dan mengaku berasa lega selepas itu.

Penerangan jelas dan tegas telah diberikan. Tiada orang ketiga yang wujud dan segala kekhilafan datang daripada pengemudi bahtera rumah tangga yang baru dibina sejak 14 Ogos 2008 itu.

Usia setahun jagung sebenarnya tempoh yang benar-benar menguji sesebuah institusi yang baru mengenali sisi hitam dan putih pasangan masing-masing.

"Ini salah kami (saya dan suami) serta tanggungjawab kami," tegas Maya menolak segala cerita orang luar yang datang tidak diundang.

Ikhlas dan menutur kata dengan penuh diplomasi demi menjaga hati dan ketenangan semua pihak, kemunculan Maya menjernihkan hati peminat dan rakan-rakan yang telah mendengar kisah retak rumah tangganya.

Malah lebih tepat, Maya muncul untuk tidak mengeruhkan lagi hubungan antara dirinya dan suami, Muhammad Ali Steven atau nama dahulunya, Steven David Shorthose.

Si suami yang kini berada jauh di luar negara sedia maklum Maya bertemu mata dengan pihak media minggu ini. Namun, sedikit pun Maya tidak melatah membuka pekung di dada dengan memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Entah rajuk siapa yang lebih kuat, Maya enggan membuka mulut.

"Saya tidak menafikan ada keretakan dalam rumah tangga kami namun saya ada hak untuk mencari kebahagiaan.


SAAT bahagia Maya dan Steven semasa meraikan majlis resepsi perkahwinan mereka di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor pada 29 Ogos 2008.


"Sekarang kami sedang mencari penyelesaian kepada masalah rumah tangga kami," ujarnya yang mahu membayangkan penghujung yang positif tetapi tidak menolak takdir jika dia terpaksa berdepan dengan perceraian.

Mujur ada keluarga yang menjadi bahu kiri dan kanan Maya ketika susah. Bapanya sentiasa mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) buat si anak walaupun dia kini berada di Vietnam.

Ibu Maya pula sudah seakan nampak diri anaknya kembali pada usia lima tahun. Mungkin dia melihat hati perempuan cantik itu serapuh usia itu kini.

Cuma untuk waktu sekarang, Maya sedang bertawakal. Dia mencuba segala kudratnya bagi mencari jalan untuk merungkai kekusutan yang terjadi dalam rumah tangga yang dibinanya bersaksikan Tasik Como, Bellagio, Itali tahun lalu.

Mungkin ada orang di luar sana yang mula berkata: 'Berwajah cantik dan popular tidak menjamin kebahagiaan seseorang'.

Jawapannya mudah, kebahagiaan adalah idaman semua manusia cuma tempoh dan cara mengekalkannya akan berdepan dengan cabaran yang berbeza.

Apa yang mampu khalayak terutama peminat setia wanita berketururan Jerman-Indonesia ini lakukan adalah berdoa agar Maya bertemu kebahagiaan yang dicarinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: