|
|
UNTUK kesekian kalinya, Christina Applegate bergelar ratu bagi program televisyen yang mengetengahkan dirinya sebagai pelakon utama. Sayangnya ia hanya terbit untuk dua musim.
Christina diangkat menjadi peneraju utama drama komedi Samantha Who? yang kini disiarkan di NTV7 pada pukul 11 malam setiap Ahad.
Pelakon yang membawakan watak Samantha Newly sempat berkempen untuk mengekalkan siri tersebut kerana beranggapan siri itu mempunyai kekuatan tersendiri.
Buktinya untuk musim pertama, drama ini mendapat rating yang tinggi. Tetapi akibat ketiadaan pelakon lelaki utama yang hebat, ditambah dengan persaingan oleh siri-siri baru, musim kedua merupakan penamat bagi drama yang dicipta oleh Cecelia Ahern ini.
Malah kemunculan untuk dua episod itu telah membuatkan Christina menerima anugerah Pelakon Wanita Undangan Terbaik dalam Siri Komedi pada Anugerah Emmy ke-55 untuk siri yang sama.
Wanita yang dilihat persis Jennifer Aniston ini pernah terpilih menjadi pelakon undangan dalam siri Friends membawakan watak adik kepada Rachel Green (Jennifer Aniston).
Dedah Christina yang memulakan dunia komersialnya pada usia lima bulan, sebenarnya dia seorang yang pemalu.
“Saya selalu malu dan berasa kerdil. Ibu selalu kata sewaktu kecil dahulu dia perlu memastikan saya selamat jika bergaul dengan kanak-kanak lain di sekolah,” ujarnya yang kini dilihat sebagai seorang wanita yang penuh keceriaan dan bebas.
Pada Ogos 2008, dia dignosis dengan kanser payu dara. Christina telah menjalani dua pembedahan membuang payu daranya sebelum disahkan bebas penyakit itu. Dia juga telah menjalani pembedahan kosmetik untuk mendapatkan payu dara tiruan.
Mengerti akan kesakitan dan kesedihan para penghidap kanser payu dara, Christina lantas bangkit serta berikrar akan membantah garis panduan baru Amerika Syarikat yang mencadangkan hanya wanita berusia 50 tahun ke atas patut menjalani pemeriksaan payu dara.
“Jangan pernah putus asa kerana diagnosis doktor. Bangkitlah dan tumbuhkan rasa percaya diri kalau anda boleh sembuh,” ucapnya penuh semangat. Semangatnya turut disemarakkan oleh si kekasih, Martin LeNoble yang sentiasa berada di sisi.
Terus berjuang untuk kehidupan masa depan, Christina kini sibuk dengan penggambaran filem Everything is Going to be Just Fine dan Going the Distance. Wanita cantik ini juga adalah peminjam suara untuk filem animasi Alvin and the Chipmunks: the Squekquel.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: