Thursday, February 25, 2010

Showdown 2010 tapak baru penari jalanan


ANTARA grup tarian yang hadirke sesi uji bakat menunjukkan kehebatan mereka.


TARIAN jalanan mungkin tidak begitu popular berbanding genre tarian lain. Namun, tarian gaya bebas itu kini sudah mempunyai kelas dan pangkalan peminatnya tersendiri.

Populariti itu juga mengundang banyak stesen TV menganjurkan program realiti pencarian bakat tarian jalanan.

Terbaru, 8TV yang mahu mengiktirafkan tarian jalanan telah memilih untuk menerbitkan program realiti tarian, Showdown 2010.

Walaupun budaya tarian jalanan tempatan masih berada pada tahap permulaan, jumlah penari yang hadir untuk sesi uji bakat di lima lokasi iaitu Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Sabah, Kuching, Sarawak dan Kuala Lumpur amat memberangsangkan.

Peserta

Melibatkan penari berkumpulan antara lima hingga tujuh penari, Showdown 2010 terbuka kepada peserta tanpa batasan usia.


Alam bersama geng tariannya menunjukkan skil pada sesi uji bakat yang dijalankan.


"Kami membuka penyertaan kepada semua peringkat usia dan peserta paling muda yang berjaya berusia antara 13 hingga 15 tahun.

"Semua lima lokasi dihadiri oleh peserta yang mampu memberikan impak terutama di Kuala Lumpur. Setakat ini kami telah menyenarai pendek 14 kumpulan yang layak ke peringkat seterusnya," kata Penerbit Showdown 2010, Zebedee De Costa.

Berbeza dengan program realiti tarian yang pernah diterbitkan oleh 8TV, So You Think You Can Dance bertindak untuk mencari seorang penari kegemaran Malaysia. Showdown 2010 pula memerlukan peserta bertanding secara berkumpulan.

"Semasa kami menerbitkan So You Think You Can Dance, ramai penari Hip Hop dan tarian jalanan tidak selesa untuk membuat persembahan solo. Jadi kami membuat keputusan untuk menerbitkan pertandingan secara berkumpulan," tambah Zebedee.

Bertanding

Daripada 14 kumpulan terpilih, mereka perlu bertanding dalam sesi show off untuk mendapatkan tempat Top 12. Mereka yang berjaya pula akan beradu nasib setiap minggu untuk berebut juara Showdown 2010 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.


BEKAS juara So U Think U Can Dance, Alam, turut hadir memberi sokongan dan inspirasi.


"Setiap minggu mereka akan diberikan tugasan tarian yang asing buat mereka. Walaupun undian dibuat dengan sistem SMS 100 peratus, empat kumpulan yang mempunyai markah terendah akan bertanding sekali lagi.

"Daripada empat kumpulan itu, pihak juri yang terdiri daripada Joe Flizzow dan Maple Loo akan memilih siapa yang layak untuk kekal dalam pertandingan," jelasnya lagi.

Menariknya, pemenang musim pertama So You Think You Can Dance, Muhammad Haslam Abdul Rahman Rubaee atau lebih dikenali sebagai Alam turut menyertai pertandingan itu bersama kumpulannya, Wakaka Crew.

"Saya bersama kumpulan saya hanya mahu mencuba nasib. Sebenarnya kami hanya membuat keputusan untuk menyertai program ini dua hari lepas.

"Walaupun saya mempunyai pengalaman dalam pertandingan, ini tidak bermaksud saya lebih hebat. Banyak lagi kumpulan yang saya lihat profesional. Lagipun kali ini saya akan bertanding secara berkumpulan dan bukannya solo," kata Alam yang tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.

Dihoskan oleh penyampai radio Fly FM, Hafiz Hatim, Showdown 2010 yang akan bersiaran secara langsung dari KL Life Centre akan memulakan tayangan pada 31 Mac dengan memaparkan episod uji bakat di Johor Bahru pada pukul 9.30 malam. Manakala diari Showdown 2010 akan ke udara bermula 11 Mei nanti di saluran 8TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: