Melihat karakternya menerusi drama Nur Kasih yang penuh dengan ciri-ciri Muslimah sejati, membuatkan ramai yang terpegun sehingga ada yang menjadikannya sebagai idola. Namun, setelah tersebarnya gambarnya sedang bersosial bersama teman-teman di sebuah kelab tidak lama dulu, sedikit sebanyak telah mengubah persepsi orang ramai.
Tidak terhenti di situ, baru-baru ini timbul pula kontroversi pelakon jelita ini merokok dan minum arak. Akui tertekan dengan gosip-gosip liar yang sering melandanya sejak kebelakangan ini, Tiq Zaqyah, berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkannya, sementelah lagi perkara itu tidak berasas dan hanyalah fitnah semata-mata.
Bagi anak jati Kuala Lumpur ini, gosip dan kontroversi adalah sebahagian dari lumrah kehidupan sebagai artis dan dia tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilihnya. Langkah yang terbaik, adalah bersabar dan membiarkan saja perkara itu berlalu.
“Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak cerita buruk tentang saya dan ia memang membuatkan saya tertekan. Tapi semua itu tidak benar dan tak ada bukti pun. Biarlah apa yang orang nak kata tentang saya, tapi saya akan tetap teruskan kehidupan seperti biasa. Dan saya bersyukur kerana keluarga selalu menyokong saya,” katanya yang ditemui ketika penggambaran drama Samarinda, Asmaradana di Ampang, baru-baru ini.
Impak lakonannya sebagai Nur Amina dalam drama Nur Kasih sememangnya sangat berkesan sehinggakan ramai peminat di luar sana yang ingin melihat Tiq Zaqyah seperti Nur Amina dalam drama itu, namun bagi pelakon yang baru mencecah usia 22 tahun, itu hanyalah watak semata-mata dan tak mungkin dia akan menjadi Nur Amina.
“Saya bersyukur kerana dikenali dengan watak itu, tetapi untuk menjadi Nur Amina itu bukanlah diri saya yang sebenar. Mungkin ramai yang masih terpengaruh dengan drama itu, tapi saya percaya, lama-kelamaan mereka akan dapat terima kenyataan dan menerima siapa diri saya yang sebenarnya,” katanya yang tidak menolak untuk bertudung suatu hari nanti.
Menyentuh tentang desas-desus yang mengatakan dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan hero drama itu, siapa lagi kalau bukan Remy Ishak, Tiq Zaqyah menjelaskan, mereka hanyalah kawan sahaja.
“Sejak dulu lagi kami memang berkawan saja dan kami rapat pun sebab drama itu. Tapi sekarang, dah lama kami tak berhubung sebab masing-masing dah sibuk dengan urusan sendiri,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama Asmaradana di samping pelakon seperti Puteri Sarah, Iqram Dizinly, Shahizey Sam, Norish Karman, Natasha Hudson dan Rozita Che Wan.
Bercerita tentang drama arahan Feroz Kader itu, Tiq Zaqyah berkata, dia membawa watak sebagai gadis kampung dan ianya ada sedikit kena-mengena dengan dirinya.
“Drama ini juga mengisahkan tentang antara dua darjat. Menerusi drama ini, saya membawakan watak Azizah dan konfliknya bermula setelah saya menetap bersama Pak Cik di kota.
“Sebagai gadis yang berkerjaya, ia memberikan cabaran pada saya kerana buat pertama kalinya saya berlakon bekerja di pejabat. Banyak ‘term’ pejabat dan bisnes yang harus saya gunakan. Mulanya agak kekok juga, tetapi mujurlah pengarah banyak mengajar saya,” katanya yang pernah membintangi beberapa drama seperti Gol & Gincu, Bernafas Dalam Lumpur dan Puaka Topeng Putih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: