HARUS diakui bahawa sejak anak syarikat konglomerat bumiputera, Kumpulan Naza mengambil alih jenama pengeluar kereta dari Perancis itu, imej hidup segan mati tak mahu yang selama ini menghantui nampaknya berjaya dibuang sedikit demi sedikit.
Mula dilantik selaku pengedar rasmi Peugeot di Malaysia pada Januari 2008, Nasim Sdn. Bhd. boleh disifatkan berupaya meningkatkan semula populariti Peugeot menerusi pelbagai model terkini keluarannya.
Prestasi Nasim sememangnya boleh dibanggakan. Buktinya, pada tahun lalu jualan syarikat itu merangkumi 86 peratus jualan Peugeot di rantau ASEAN.
Kesungguhan itu dikukuhkan lagi dengan kehadiran Timbalan Pengarah Operasi Antarabangsa Automobiles Peugeot, Nicholas Wertans untuk satu sidang taklimat dan pengenalan identiti logo terbarunya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Wertans mengakui bahawa pasaran Malaysia adalah penting buat Peugeot. Justeru, pelbagai strategi telah dirangka untuk kembali bersaing di rantau Asia Pasifik.
Misalnya menjadikan kilang Naza di Gurun, Kedah sebagai hab pengilangan model right hand drive di ASEAN, selain mengeksport kenderaan Peugeot ke Thailand dan Indonesia.
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin memberitahu Nasim akan memperkenalkan empat model Peugeot yang baru iaitu 308CC, 508, RCZ dan T33. Model sedan T33 dijangka mula dipasang pada bulan Oktober depan.
Biarpun pasaran Peugeot masih dianggap niche, penerimaan daripada pengguna tempatan tetap memberangsangkan. Model kompak 308 Turbo yang sempat saya pandu uji pada hujung minggu lalu tidak terkecuali.
Sekali pandang, penampilan luar 308 Turbo memang tipikal sebuah kompak buatan Peugeot, kemas dan menarik. Bahagian hadapannya dimonopoli oleh sepasang lampu utama yang besar, selain logo berwarna krom yang menyerlah, gril radiator lebar dan sepasang lampu kabus berbentuk empat segi.
Didominasi warna hitam, material yang digunakan pada segenap bahagian dalaman jentera itu pula nampak cukup berkualiti dan mampu bertahan dengan cuaca tropika tanpa sebarang masalah.
Di bahagian atas konsol tengahnya, terletak paparan digital berlatarkan iluminasi berwarna oren yang memaparkan pelbagai maklumat seperti masa, suhu luar kenderaan dan saluran radio.
Pada takat harga sebegini butang kawalan audio sepatutnya ada di stereng, memandangkan sudah banyak model yang lebih murah di pasaran memiliki ciri tersebut. Bagaimanapun, saya menghargai paparan papan pemukanya yang kemas, selain butang audio dan pendingin hawa yang mudah dioperasikan.
Empat meter analog berlatar belakangkan warna putih yang mengelilingi paparan digital tentang kadar penggunaan petrol juga membuatkan penampilan dalaman 308 Turbo itu menjadi lebih segar.
Seperti tidak jauh bezanya dengan unit audio pada model Renault, enam unit pembesar suara itu akan 'membisu' beberapa saat sewaktu anda beralih antara saluran radio. Kualiti bunyi yang dihasilkannya juga tidak mengecewakan. Ditambah dengan tahap NVH yang boleh dikatakan masih bagus walaupun ketika kereta ini meluncur pada kelajuan melebihi 150 kilometer sejam.
Anda pasti tersenyum dengan prestasi yang ditawarkan oleh unit enjin Turbo High Pressure (THP), empat silinder sebaris, DOHC 16 injap dengan sistem VVT (Variable Valve Timing). Kenapa? Sebaik sahaja kaki menekan pedal minyak, kuasa yang dihantar ke roda hadapan dapat dirasa dengan ketara tanpa dipaksa.
Kemampuannya terbukti ketika menyelusuri laluan bengkang bengkok dan berbukit yang terhampar di sepanjang lebuh raya Karak menuju ke Kuantan, Pahang.
Bagi saya, enjin yang dibangunkan bersama antara PSA Peugeot Citroen dan BMW yang juga boleh didapati pada model MINI Cooper S itu cukup responsif. Sekali gus membuatkan pemanduan kurang tiga jam itu begitu menyeronokkan.
Biarpun hanya dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, pengagihan nisbah gear dalam lengkok kuasanya cukup baik. Gearnya pantas diturunkan sekiranya lebih kuasa diperlukan untuk mendaki atau memotong kenderaan yang ada di hadapan.
Memang sistem Triptonic Porsche itu menawarkan penukaran gear secara auto, manual atau mode sport. Tetapi meletakkannya pada mode D sahaja sudah memuaskan. Lagipun, hanya empat gear yang ada, jadi ia tidaklah terlalu mengujakan.
Sebagai sebuah kenderaan yang berorientasikan prestasi, pengendalian yang ditawarkan oleh 308 Turbo boleh dikatakan bagus. Sterengnya terasa jitu hinggakan olengan tubuh ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi jarang sekali berlaku.
Penerima pengiktirafan lima bintang dalam ujian keselamatan Euro NCAP itu juga sarat dengan sistem keselamatan. Enam beg udara, sistem brek ABS, EBD, EBA dan ESP, selain kawalan kestabilan dinamik (DSC) serta kawalan kuasa tarikan (ASR) pasti membuatkan setiap pemandu berasa lebih yakin untuk meneroka kemampuan sebenar 308 Turbo.
Namun begitu, ada beberapa perkara yang saya kurang gemar dengan 308 Turbo. Mungkin kedengaran remeh, tetapi ia sedikit sebanyak mempengaruhi aspek keselamatan para penumpangnya.Memandangkan pintu tidak dikunci secara automatik sebaik anda menekan brek untuk menghidupkan enjin atau setelah mencecah kelajuan tertentu, jadi terpaksalah anda melakukannya secara manual.
Satu lagi, bagi mereka yang berketinggian sederhana, adalah mustahil untuk anda melihat waima hujung hud hadapan terutama ketika memarkir. Maka, kepakaran untuk mengelakkan kereta daripada tercalar atau tidak melanggar sebarang halangan sememangnya amat kritikal.
Peugeot 308 Turbo boleh anda miliki pada tanda harga RM113,888 seunit bersama jaminan tiga tahun dan perbatuan menjangkau 100,000 kilometer (yang mana tiba dahulu). Lebih menarik, unit-unit baru 308 Turbo hadir bersama bumbung panoramik yang cukup elegan.
Lima warna boleh dipilih iaitu hitam, perak, merah, putih dan emas untuk disesuaikan dengan ciitarasa serta karektor anda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: