Wednesday, February 24, 2010

Maut cuba selamat adik

JITRA: Niat murni seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menyelamatkan adik lelakinya berusia 7 tahun tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut dalam satu kejadian kebakaran di pekan Jitra, di sini, tengah malam kelmarin.

MAUT...anggota bomba menurunkan mayat kedua yang ditemui, pagi semalam.
MAUT...anggota bomba menurunkan mayat kedua yang ditemui, pagi semalam.
DI SANA...Low (kiri) menunjukkan tempat anaknya dipercayai cuba menyelamatkan diri.
DI SANA...Low (kiri) menunjukkan tempat anaknya dipercayai cuba menyelamatkan diri.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 malam itu, Teng Wen Yan sudah berlari keluar bersama datuk dan dua abangnya, tetapi masuk semula ke rumah kedai separuh papan berusia lebih 70 tahun itu untuk menyelamatkan adik lelakinya, Teng Dee Sheng, yang tidur di tingkat atas.


Kejadian itu memusnahkan kedai emas yang didiami mangsa bersama keluarganya serta kedai runcit bersebelahan. Selain itu, ia turut merosakkan kedai kopi, kedai jahit, kedai peralatan elektrik dan pejabat penghulu mukim Jitra, di situ.


Datuk mangsa, Teng Yong Chong, 72, melecur di tangan, kaki dan badan, manakala dua lagi abang mangsa, Teng Dee Shian, 14, dan Teng Dee Chun, 11, tidak cedera. Yong Chong kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.


Ibu mangsa, Loh Siew Hua, 34, ketika ditemui, berkata ketika kejadian dia bersama suaminya, Teng Soon Seng, 41, keluar bersembahyang di sebuah tokong di sini, kira-kira jam 11 malam sebelum menerima panggilan daripada Yong Chong yang juga bapa mentuanya kira-kira jam 12 malam memaklumkan rumah mereka terbakar.


“Kami bergegas pulang, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api semakin marak. Ketika kejadian mereka semua sedang tidur dan Wen Yan yang sudah keluar masuk semula untuk menyelamatkan Dee Sheng.

“Bagaimanapun, Wen Yan turut terperangkap dan tidak sempat diselamatkan datuknya dan orang ramai apabila api semakin marak,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Jitra (HJ) di sini, semalam.


Loh berkata, mereka sekeluarga tinggal di tingkat atas rumah kedai yang juga kedai emas milik keluarga suaminya itu sejak 15 tahun lalu.


“Kami kini tinggal sehelai sepinggang selepas semua barangan musnah termasuk barangan emas dan terpaksa menumpang di rumah saudara,” katanya.


Seorang saksi kejadian, Anwar Mat Isa, 27, berkata dia sedang minum di gerai berhadapan rumah kedai berkenaan sebelum terdengar letupan seperti bertih jagung dimasak dari rumah kedai berkenaan.


“Sejurus kemudian, saya nampak api mula marak dari kedai emas itu dan segera menghubungi bomba. Orang ramai cuba membantu, tetapi gagal kerana api marak terlalu pantas,” katanya.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Ahmad Zamri Chik, berkata mayat pelajar tahun empat dan tahun satu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa di sini, ditemui bersebelahan di antara satu sama lain di tingkat atas rumah kedai itu kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.


“Keadaan kedua-dua mayat sempurna, cuma ada beberapa kesan melecur di badan dan mereka dipercayai meninggal dunia akibat lemas.


“Keadaan gelap selain mangsa ditimbuni runtuhan dinding dan tiang menyebabkan anggota bomba hanya menjumpai mangsa pagi ini (semalam),” katanya Ahmad Zamri berkata, mayat pertama dipercayai Dee Chun ditemui terbaring, manakala kakaknya tertiarap berhampiran tingkap dan dipercayai cuba menyelamatkan diri.


“Kami percaya mangsa pertama sedang tidur nyenyak ketika kejadian,” katanya.


Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke rumah mayat HJ sebelum dituntut keluarga mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom yang melawat keluarga mangsa berkata Umno dan MCA Kubang Pasu akan membuat kutipan bagi membantu mangsa.


Beliau turut menyumbangkan RM2,500 kepada Teng dan RM500 kepada setiap keluarga mangsa, manakala Pegawai Daerah Kubang Pasu Datuk Che Barni Mohd Noor menyampaikan cek RM2,000 kepada Teng dari Tabung Bencana Daerah bagi menguruskan jenazah anak-anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: