MERBOK - “Apa yang boleh saya beli untuk beri makan suami, lima anak dan ibu dengan wang sebanyak RM3”.
Itulah rintihan yang dinyatakan Puziyah Din, 51, semasa mengenang nasib malang keluarganya.
Menurutnya, hanya jumlah wang itu sahaja yang ada untuk dia gunakan bagi menampung belanja dapur dan membeli sesuap nasi untuk lapan ahli keluarga pada beberapa bulan lepas.
Katanya, keadaan itu dihadapinya seorang dan terpaksa membanting tenaga mengerjakan sawah padi bagi mencari sesuap nasi setelah suaminya, Abdul Rahim Puteh, 54, mengalami angin ahmar sejak empat tahun lalu.
Puziyah berkata, penderitaan mereka sekeluarga hanya tuhan yang lebih mengetahuinya dan dia tidak suka untuk menagih simpati daripada orang lain.
Menurutnya, ketika menyedari duit poket dan simpanannya hanya berjumlah RM3 pada beberapa bulan lepas dan tidak mencukupi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, dia berusaha mencari alternatif lain dengan membanting tenaga mengusahakan sawah dan terpaksa meminjam wang daripada jiran dan saudara mara.
“Suami lumpuh sebelah kanan badannya sejak empat tahun lalu dan tidak mampu menguruskan diri serta hanya bergantung dengan meminum susu khas.
“Susu itu pula berharga RM75 dan hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja.
“Hanya air mata sahaja yang mengalir tatkala melihat duit hanya ada RM3 bagi membeli susu untuk suami, saya bertambah bingung bila terkenang nasib saya dan keluarga, tambahan pula tiga daripada anak saya masih belajar,” katanya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumahnya di Kampung Tempoyak, di sini, semalam.
Sementara itu, anak ketiganya, Ramizun, 19, berkata, dia kini mengikuti pelajaran di Kolej Master Skills, Ipoh, Perak dan tidak sanggup meneruskan pelajaran kerana kasihan melihat ibunya membanting tulang mengusahakan sawah seorang diri demi menampung perbelanjaan sekolah dua adiknya dan kos rawatan bapanya.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda telah meluluskan Bantuan Kanak-kanak (BKK) kepada dua adiknya dan mereka mendapat bantuan bulanan sebanyak RM200 sebulan, awal tahun ini.
“Ia sedikit sebanyak bantuan itu meringankan beban ibu dan ayah juga turut menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan. Hati saya sedikit lega untuk menyambung pelajaran di kolej dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga.
“Kini urusan penjagaan ayah diuruskan oleh ibu dan adik-adik memandangkan saya belajar di Ipoh. Sebelum ini saya telah dua tahun menjaga ayah dan menguruskan makan dan minum serta keperluan harian dia (Abdul Rahim) yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kesengsaraan hidup keluarga Puziyah mendapat perhatian Pemuda Pas Kawasan Merbok yang turun padang memberikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada mereka.
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pemuda Pas Kawasan Merbok, Mukhlis Ghazali berkata, keluarga Puziyah adalah antara sepuluh keluarga pada bulan ini yang dikenal pasti untuk menerima bantuan itu.
“Pemuda Pas berharap dengan bantuan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban keluarga Puziyah dan menunjukkan keprihatinan Pas Kawasan Merbok terhadap penderitaan rakyat. Aktiviti seperti ini kami adakan secara bulanan untuk menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: