Thursday, February 25, 2010

Juara impian Chong Wei


CHONG WEI memburu kejuaraan sulung pada Kejohanan Badminton Seluruh England tahun ini.


JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tetap yakin untuk menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England tahun ini meskipun berdepan dengan undian yang agak mencabar.

Chong Wei yang memburu kejuaraan pertama Seluruh England, bakal memulakan aksi menentang pemain India, Chetan Anand pada pusingan pertama kejohanan yang akan diadakan pada 9 hingga 14 Mac depan.

Begitupun, pemain No. 1 dunia itu berdepan dengan cabaran sebenar pada pusingan kedua apabila dijangka bertemu pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro yang dijangka mudah menundukkan pemain China, Du Pengyu.

Meskipun dihantui masalah kecederaan, Sony dijangka tetap memberi tentangan sengit sama seperti yang dilakukan ketika menundukkan Chong Wei pada Kejohanan Dunia 2007 dan 2009.

Sony bukan satu-satunya pemain yang mampu menjadi penghalang Chong Wei untuk ke perlawanan akhir bertemu musuh tradisi, Lin Dan dari China yang juga juara bertahan.

Dalam laluan untuk bertemu Lin Dan buat pertama kali tahun ini, Chong Wei juga dijangka menghadapi pemain pilihan kelapan dari Denmark, Jan Jorgensen pada pusingan kedua dan Taufik Hidayat dari Indonesia ataupun Peter Gade dari Denmark pada pusingan separuh akhir.

Namun menurut Chong Wei, dia tidak pernah memikirkan lawan yang bakal ditemui dan percaya sesiapa sahaja mempunyai peluang untuk menjadi juara termasuk dirinya sendiri.

“Saya hanya mengetahui lawan saya melalui laporan akhbar hari ini (semalam) dan bagi saya, ia tidak begitu penting.

“Bagi saya, siapa sahaja lawan akan saya tempuhi dengan yakin, sama seperti pemain-pemain lain. Saya tetap mempunyai peluang untuk berjaya pada Seluruh England.

“Bagaimanapun, saya mahu fokus terhadap satu perlawanan sebelum memikirkan perlawanan seterusnya.

“Saya akan memberikan yang terbaik pada edisi ke-100 Seluruh England tahun ini.” kata Chong Wei semalam.

Selain Chong Wei, pemain lelaki perseorangan negara yang turut mengambil bahagian pada kejohanan badminton tertua dunia itu ialah Muhammad Hafiz Hashim dan Wong Choong Hann manakala Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula akan mengetuai cabaran negara dalam acara beregu lelaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: