LAMAN sosial Facebook kini bukan lagi tempat peribadi, segala yang ditulis atau dipaparkan di status Facebook persendirian tidak boleh dikira sekadar suka-suka atau bahan jenaka. Jika perkara tersebut adalah sesuatu yang sensitif ianya boleh diambil tindakan undang-undang.
Golongan artis terutamanya tidak lepas dari mendapat perhatian masyarakat, segala yang dipaparkan di laman sosial seperti Facebook, Myspace, Friendster, dan Twitter mempunyai pengikut tersendiri.
Jadi secara tidak langsung kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan di laman-laman sosial tersebut telah melambangkan keperibadian dan imej seseorang artis itu.
Menurut Presiden Exco Seniman Muda, Zed Zaidi, 27, artis Malaysia perlu ada pengetahuan tentang perundangan bagi memberi panduan kepada mereka agar tidak melepasi batasan-batasan yang boleh menimbulkan keburukan.
"Saya percaya ramai artis menggunakan Facebook dan Twitter sebagai tempat mereka berhubung antara satu sama lain, namun mereka juga harus sedar laman sosial itu bukan milik peribadi. Mereka mempunyai pengikut yang sentiasa memantau setiap kenyataan yang mereka paparkan.
"Ramai yang tidak sedar tentang perkara bahawa kenyataan-kenyataan yang mereka post di situ boleh dijadikan sebagai bahan bukti polis.
"Saya rasa artis-artis di Malaysia perlu ada pengetahuan tentang perkara itu, jangan terlalu ghairah atau emosi untuk luah perasaan tanpa memikirkan kesannya," katanya.
Zed juga memberitahu Seniman mempunyai perancangan untuk memberi kesedaran tentang perkara ini agar tidak terus berleluasa.
"Seniman akan memberi nasihat kepada artis tersebut jika berlaku perkara-perkara begini atau mungkin juga perlu diadakan seminar kesedaran. Namun kesedaran dari dalam diri artis itu yang paling penting," ujarnya.
Bagi pelakon kacak Fahrin Ahmad, Facebook merupakan lambang imej seseorang artis. Ia boleh membawa kebaikan dan membawa keburukan jika tersilap langkah.
"Secara umum tahu laman sosial sebegini digunakan untuk berhubung antara satu sama lain, bagi artis ini merupakan cara untuk mendekati peminat.
"Namun ramai yang salah gunakan untuk menunjukkan emosi dan kemarahan mereka seperti cerita artis baru-baru ini yang hangat diperkatakan.
"Saya rasa mereka tidak tahu hal tersebut boleh dibawa sebagai bahan bukti di mahkamah kelak. Jadi saya nasihatkan supaya mereka lebih berhati- hati selepas ini," ujar pelakon berusia 31 tahun ini.
Pelakon Tari Tirana, Shah Jazle, 22 pula berpendapat artis-artis baru seharusnya lebih bersabar dan tidak terlalu berani mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya di tempat terbuka seperti Facebook.
"Saya faham artis baru kebanyakannya mudah melatah. Jadi mereka seharusnya lebih rasional dan banyak bersabar," katanya yang bakal keluar dengan drama bersiri terbaru Atilia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: