USIA muda tidak menghalang penghias ruangan Remaja minggu ini untuk berjinak-jinak dalam bidang penulisan lirik lagu.
Latar belakang keluarga yang aktif dalam bidang muzik membuatkan Deanna Sofea Mohd. Kamalludin Kamil, 16, tidak dapat mengelak daripada memutik cinta dalam lapangan seni terutamanya dalam penciptaan lirik selain menyanyi.
Dia yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bercham, Ipoh, Perak memberitahu walaupun ketika ini dia mencipta lirik sekadar suka-suka, namun satu hari nanti dia benar-benar ingin serius dalam bidang penulisan lirik.
Lahir dalam keluarga yang mencintai seni anak sulung itu memberitahu lima orang adik-beradiknya yang lain juga menunjukkan minat dalam bidang seni cuma cabangnya sedikit berbeza seperti menari, bermain muzik dan bersajak.
GenK berpeluang mendengar suara lunak Deanna dan ternyata ia bukan omongan kosong. Gadis cilik itu memang berbakat. Untuk mengenali Deanna dengan lebih dekat GenK mengajukan beberapa soalan selain turut menyertakan sebuah lirik lagu nukilan gadis cantik itu.
GenK: Mengapa Deanna berminat dalam bidang seni?
Deanna: Mungkin ia sudah dalam darah daging saya. Selain daripada menulis lirik saya juga minat menari. Saya aktif menari untuk Jabatan Kebudayaan Negeri Perak. Saya juga meminati bidang peragaan.
Mengapa Deanna lebih memberi fokus kepada bidang penulisan lirik?
Melalui penulisan kita boleh meluahkan apa yang terpendam sama ada suka atau pun duka. Dengan tambahan irama ia menjadi lebih dramatis dan indah. Ia membuatkan saya tenang.
Bagaimanakah minat anda dalam penulisan lirik bermula?
Segalanya bermula apabila saya putus cinta dan berasa sangat sedih serta kecewa. Saya mula menulis sebuah lirik dan kebetulan ia menjadi. Saya perdengarkan kepada rakan-rakan sekolah dan mereka juga menyukainya. Kawan-kawan di sekolah sering menyuruh saya menulis lirik untuk mereka. Ada yang mengenai kisah hidup mereka atau kisah cinta.
Apakah konsep lirik lagu yang anda gemar?
Saya gemarkan lagu cinta. Bagi saya cinta merupakan tajuk yang sangat luas. Ada cinta kepada tuhan, diri sendiri, keluarga, kekasih, negara, alam sekitar dan banyak lagi. Idea untuk menulis juga senang untuk diperoleh. Sama ada kita meletak diri kita dalam lagu mahu pun melalui pengalaman orang lain di sekeliling kita.
Apakah nasihat anda kepada remaja yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni?
Apa yang penting perlu pandai membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti seni. Jangan kerana aktiviti seni, pelajaran kita terabai. Pendidikan amat penting dalam menjamin masa depan. Biarlah kita menjadi penggiat seni yang berpelajaran tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: