Tuesday, February 2, 2010

Kuih apam logo 1Malaysia



BULAN pertama tahun 2010 mencatatkan sejarah yang tersendiri buat Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) apabila berjaya melakukan satu rekod yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai binaan logo terbesar dengan kuih apam.

Lebih manis rekod terbaru itu melengkapkan catatan 10 rekod yang sudah berjaya dibuat PTPL dan disahkan MBOR.


PELAJAR harus teliti ketika menyusun kuih apam agar menutup semua ruang untuk membentuk logo 1Malaysia dengan warna yang ditetapkan.

Antara rekod yang pernah dicipta sebelum ini ialah menyusun syiling RM1 terpanjang, mengacau dodol paling lama, larian baton berganti-ganti tanpa henti dan Kinabalu Merdeka Challenge

dengan menghasilkan Jalur Gemilang berukuran 2.3 kilometer untuk direntangkan di kaki Gunung Kinabalu.

Selain daripada itu, rekod-rekod lain termasuklah nyanyian lagu patriotik tanpa henti paling lama, menyusun syiling 1 sen berbentuk reben AIDS terbesar, memasak kacang foul tanpa henti paling lama, rekod menyusun daun teh dalam bentuk Logo PTPL terbesar dan MSU AIDS Awareness 2009 iaitu larian baton tanpa henti selama tujuh hari enam malam.

Rekod-rekod itu menjadikan PTPL antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang banyak menjalankan aktiviti memecah rekod dengan melibatkan pelajar, ahli akademik dan juga pihak pengurusan.


HASIL usaha lebih 200 pelajar PTPL ini berbaloi apabila rekod menyusun kuih apam membentuk logo 1Malaysia terbesar dicatatkan dalam rekod di MBOR.


Menurut Presiden Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kumpulan Kolej PTPL, Profesor Datuk Mohd. Shukri Ab. Yajid, pihaknya amat menggalakkan aktiviti seperti itu sebagai usaha membina budaya kompetitif di dalam kampus.

Selain daripada bidang akademik, pembinaan kemahiran sosial amat penting dalam menentukan daya saing graduan selepas tamat pengajian.

"Ia adalah bagi membina nilai jati diri yang harus ada dalam diri setiap pelajar. Selain itu, kami juga ingin memupuk nilai 1Malaysia melalui kerjasama yang dibina dalam aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelajar pelbagai kaum," katanya.

Tambah Mohd. Shukri, para pelajar diberi kebebasan dalam menentukan aktiviti yang mereka ingin lakukan dalam percubaan memecah rekod. Jika ia relevan, pihak pengurusan akan mengeluarkan peruntukan.


PELAJAR PTPL memilih kuih apam berbentuk empat segi berbanding bentuk bulat untuk memudahkan ia disusun.

Secara tidak langsung ia meningkatkan daya kreativiti setiap pelajar. Program-program itu juga akan dicatatkan sebagai sebahagian daripada jam kredit mereka.

"Untuk rekod terbaru ini PTPL memperuntukkan RM15,000 bagi menyokong usaha para pelajar bagi merealisasikan impian mereka.

"Kos bagi percubaan mencipta rekod ini dapat dikurangkan kerana kuih apam itu dikukus oleh pelajar kolej ini," katanya.

Program mencipta logo 1Malaysia terbesar menggunakan lebih 30,000 biji kuih apam dan melibatkan 200 peserta terdiri daripada pelajar Hospitaliti dan Seni Kulinari Kolej PTPL.


WAKIL MBR, Azreni (depan tengah) menyampaikan sijil MBOR kepada Prof. Datuk Shukri selepas pelajar Kolej PTPL Shah Alam berjaya menyusun kuih apam bagi membentuk logo 1 Malaysia sepanjang 45 meter panjang dan 25 meter lebar.

Selain daripada memperkenalkan kuih-muih tradisional kepada generasi muda di samping memupuk semangat 1Malaysia, ia juga bagi mempromosi Sekolah Hospitaliti dan Seni Kulinari.

Ia merupakan usaha sama Unit Pembangunan Pelajar (UPP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Kuih tradisional itu kemudian diatur di atas meja yang disusun membentuk nombor satu dengan saiz 45 meter x 25 meter di padang bola sepak kolej itu.

Proses menyusun apam itu bermula seawal pukul 8 pagi dan siap selepas empat jam kemudian dengan disaksikan oleh Penolong Penerbit MBOR, Azrene Manap.

Pasti ramai tertanya mengapa mereka memilih kuih apam berbanding kuih-kuih tradisional lain seperti karipap, pau atau roti jala.

Nurul Syuhada Mohd. Salleh yang merupakan wakil MPP memberitahu kuih apam adalah kuih yang paling sesuai dan mudah disediakan.

"Kami membuat perbincangan mengenai kuih apa yang sesuai. Jika dipilih karipap, bentuknya yang garing dan kesukaran meletakkan pewarna menyebabkan kami bersepakat memilih kuih apam.

"Ia dipotong empat segi dan diwarna menggunakan pewarna makanan," katanya sambil memberitahu dia dan rakan-rakannya sudah semalaman berkampung di kampus dan masih belum sempat tidur sehingga tengah hari.

Ditanya mengenai cabaran yang harus mereka hadapi Nurul memberitahu ada ketikanya sewaktu menyusun kuih-kuih tersebut mereka merasakan kuih apam tidak mencukupi. Agak kelam-kabut dibuatnya kerana jika kuih tersebut tidak mencukupi bermakna usaha mereka hanya sia-sia.

Tapi katanya, ia hanyalah kerisauan semata-mata. Seketika kemudian apabila pelajar yang bertugas membawa keluar kuih-kuih yang sedia untuk disusun semuanya mencukupi.

Para pelajar bukan sahaja harus bertahan dengan terik matahari yang membakar kulit tetapi mereka juga harus berhati-hati agar tidak terpijak kuih yang disusun di atas platform.



Mereka juga menutup setiap kuih yang telah disusun dengan kertas berwarna bagi mengelakkan ia rosak atau terdedah dengan debu kotoran.

Kata Nurul, kuih-kuih tersebut diedarkan kepada jemaah solat Jumaat di sebuah masjid berdekatan PTPL.

Selain itu mereka juga akan menyumbangkan kuih-kuih tersebut kepada beberapa agensi dan persatuan.

Sementara itu seorang lagi ahli MPP, Mohd. Aizat Sharin Yusop, 24, memberitahu dia berasa amat gembira kerana program tersebut mendapat kerjasama daripada semua pihak.

"Rakan-rakan pelajar datang awal pagi. Dengan ini tugas dapat dibahagikan dengan mudah. Semua pelajar saling bantu-membantu tidak kira apa bangsa sekali pun. Ia amat membanggakan.

"Selain daripada dapat mencipta rekod, kami juga dapat mengeratkan silaturahim di antara para pelajar kerana bukan semua terlibat mengenali antara satu sama lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: