Wednesday, February 3, 2010

Revolusi songket India


DENGAN rekaan yang dinamakan lungli, baju dihiasi dengan corak bunga tabur dan kaki benang emas sementara kainnya berjalur.


SONGKET, tekstil tenun tradisional yang giat diusahakan di Kelantan dan Terengganu. Walaupun ia merupakan tenun tradisional, tetapi ia tidak pernah luput dek zaman. Malah kini permintaan terhadapnya makin meningkat selaras dengan kepelbagaian dalam penggunaan dan pemakaiannya. Oleh kerana hasil akhirnya begitu cantik lagi halus, maka tidak hairanlah harganya mahal.

Sungguhpun demikian songket masih menjadi pilihan utama untuk dipakai pada majlis-majlis atau hari istimewa seperti perkahwinan, penganugerahan pingat dan sebagainya.

Tekstil songket turut digunakan sebagai perincian pada jubah konvokesyen universiti. Songket juga menjadi pilihan pereka-pereka fesyen bagi menghasilkan gaun, dres, skirt, jaket dan pelbagai rekaan baju yang eksklusif.

Songket anggun dipakai bersama baju kurung atau kebaya panjang yang dilengkapi dengan selendang atau kain kelubung. Selain itu, songket turut dipakai sebagai sampin dan dijadikan tengkolok serta bengkung.

Harga songket yang mahal tidak memungkinkan semua orang mampu memilikinya. Justeru itu, songket India dan Pakistan yang lebih murah harganya banyak dibawa masuk ke Malaysia. Cara ini dengan tidak secara langsung memberi peluang kepada semua agar dapat membeli songket.

Pengasas dan pemilik Teh Collection Saudagar Songket, Muhd. Siswadi Abdul Hamid berkata, bukannya mahu mengenepikan songket tempatan namun faktor harga membuatkan kebanyakan orang tidak mampu memakai songket walaupun hati begitu teringin.

Jadi, bagi memberi peluang kepada pelbagai golongan untuk memakai songket, Muhd. Siswadi banyak membuat tempahan songket dari India.

Pun begitu, beliau tetap menjual songket tempatan yang ditempah dari pengusaha songket di Pantai Timur. Pelbagai corak dan rekaan songket untuk baju kurung, baju Melayu pengantin, sampin, tengkolok dan selendang boleh diperoleh di kedainya yang terletak di Arked Malindo Baru, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Diusahakan bersama isterinya, Roslina Maliki dan adik iparnya, Siti Khotijah Maliki, Muhd Siswadi telah memulakan perniagaan ini sejak berbelas tahun dahulu.

Menyambung perbualan mengenai songket India yang ditempahnya, kata Muhd. Siswadi, walaupun harga songket ini murah namun beliau amat menjaga kualiti.

"Sebulan sekali saya akan pergi ke India bagi membuat tempahan. Biasanya saya akan tinggal di sana selama seminggu untuk melihat mereka menenun dari pagi hingga petang. Ini bagi mempastikan mereka menurut seperti apa yang saya kehendaki.

"Cara orang India menenun songket amat berbeza dengan cara orang Malaysia. Mereka menenun dalam sebuah lubang besar yang digali dan mereka duduk di dalamnya.

"Corak songket dan bunga adalah rekaan saya sendiri setelah berbincang dengan isteri dan adik ipar. Di antara corak yang popular pada ketika ini ialah corak pagar di mana satu daripada pagar mempunyai corak jalur dan di celah-celah jalur itu pula terdapat bunga tabur.

"Terdapat pelanggan yang tidak suka corak yang terlalu padat atau penuh. Corak yang kurang sangat pun tidak cantik kerana tidak nampak seperti songket. Biasanya saya ambil konsep dan corak songket lama.

"Begitu juga dengan pemilihan warna tekstil. Saya akan menempah warna-warna songket yang sedang menjadi trend pada masa kini seperti warna-warna pastel,'' katanya yang menggunakan kain kapas kerana tenunan nampak lebih kemas dan cantik.

Menurut Muhd. Siswadi lagi, setelah pulang ke Malaysia, kain-kain songket itu akan ditempah untuk dibuat baju kurung pesak gantung yang mendapat permintaan ramai pada masa kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: