![]() |
| NORMALA Hamzah (tiga dari kanan) bersama wartawan WANITA dan penduduk kampung yang mengusahakan kebun bunga melur di Sungai Pasu, Raub, Pahang. |
MINGGU lalu saya bersama empat wartawan WANITA, Siti Aishah, Norfaiza, Norashikin dan Nik Hazirah serta jurugambar Syefri Moniz dan Amin Farij Siraj telah berkampung selama tiga hari di Kampung Sungai Pasu, Raub, Pahang, kampung terbersih di peringkat daerah dan negeri Pahang Darul Makmur.
Misi kami mengadakan sesi fotografi istimewa dan berkongsi kehidupan masyarakat kampung itu yang berjumlah 1,057 orang.
Menggunakan dua buah kereta Exora yang dipinjamkan oleh Proton dan dipandu Siti Aishah dan Amin, kami bergerak menghala ke Lebuh Raya Karak dengan janji bertemu model Syed Sabri, Lokman, Fifi, Baby, Mimi dan jurumekap Rozlan, Ida dan Dede yang menunggu selepas tol Bentong.
Perjalanan lancar, mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Tepat pukul 12 tengah hari kami tiba di balairaya kampung itu disambut oleh Puan Sumi, salah seorang ahli jawatankuasa wanita kampung dan terus ke Dewan Wawasan untuk makan tengah hari.
Di atas meja terhidang masak lemak cili api udang galah, sambal goreng Jawa, ikan masin dan sayur campur serta air sirap yang disediakan oleh Puan Rosnani.
Cantiknya suasana
Seperti orang mengantuk disurungkan bantal, demikian juga rombongan yang nyata kelaparan kerana tidak sempat bersarapan. Pemandangan tasik dan jambatan kayu di hadapan Dewan Wawasan menjadikan kami cukup berselera.
Pukul 3 petang, urusan kerja bermula. Ketika menunggu model ditatrias oleh Rozlan, Idah serta Dede, kami meronda-ronda sekitar kampung mencari lokasi untuk fotografi.
Salman Wagiron, orang kuat Kampung Sungai Pasu menjadi pemandu pelancong menunjuk arah .
Habis ceruk kampung yang berpotensi kami redah... cantiknya suasana. Sebut apa sahaja, daripada rumah tradisional hinggalah ke bentuk moden semua ada. Juga lanskap buatan sendiri yang mengalahkan idea arkitek ternama. Semuanya sentuhan penduduk Kampung Sungai Pasu.
Tasik asli, anak sungai, kebun buah-buahan, tanaman pokok-pokok bunga, kolam ikan, jambatan kayu, lorong semuanya cantik untuk dirakamkan. Sebuah basikal klasik menjadi prop paling berharga sebagai penyeri fotografi. Tugas pertama selesai kira-kira pukul 8 malam.
Berehat sekejap di chalet yang menjadi tempat penginapan di kampung itu, kami kembali ke dewan kira-kira pukul 9 malam. Mohd. Zamri Maarof, Tok Ketua yang menjadi tonggak kejayaan kampung hadir bertanya khabar. Banyak yang saya kongsi bersama beliau tertuama tentang kejayaannya memimpin kampung itu serta kehidupan anak buahnya yang pelbagai usia, ragam dan latar belakang.
Sambil berbual, kami menyaksikan aktiviti belia kampung, bermain kompang, menari dan berkaraoke. Teruja seketika melihat penduduk kampung bermain gasing buatan sendiri.
Hari Khamis kami gunakan sepenuhnya masa untuk berjumpa penduduk kampung sambil meninjau kehidupan mereka. Bergerak dalam dua kumpulan kami laksanakan tugasan dan kerja yang harus diselesaikan sebelum Maghrib.
Lokasi pertama ladang bunga melur yang diusahakan oleh tujuh orang ibu tunggal. Insaf rasanya melihat kegigihan ibu tunggal mengusahakan ladang tersebut yang menjadi sumber pendapatan tambahan kepada mereka.
Ladang yang luasnya hampir 7 hekter ini di bawah pemantuan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dari kejauhan sudah kelihatan putik-putik melur yang putih saujana mata memandang.
Kami juga dibawa oleh Tok Ketua Mohd. Zamri bertemu dua di antara 11 warga emas tertua di kampung itu yang meniti usia lewat 90-an amat menyentuh hati.
Kunjungan turut membawa kami berkongsi kepakaran membuat bahulu dan kerepek bersama kaum wanita Kampung Sungai Pasu. Juga rekaan bunga daripada rotan yang begitu unik.
Kami juga singgah ke beberapa buah Homestay milik penduduk kampung untuk berkongsi pengalaman mereka menjadi tuan rumah kepada tetamu luar terutama dari Eropah, Jepun dan Korea . Terdapat lebih kurang 24 Homestay di kampung itu yang lengkap kemudahan asas, setengahnya ada pendingin hawa .
Saat paling gembira mengutip durian yang luruh lalu dimakan beramai-ramai. Buah-buahan tempatan yang dipetik dari pokok turut dibawa untuk kami nikmati.
Lama tidak melaksanakan tugasan seperti ini menjadikan pengalaman di Kampung Sungai Pasu amat manis buat saya, krew WANITA dan jurugambar. Bukan senang untuk mengatur tugasan yang menguji kesabaran dan minda. Namun itulah realitinya menjadi wartawan. Perlu rajin berusaha untuk membawa kelainan.
Di Kampung Sungai Pasu banyak khazanah yang tersimpan. Untuk mengetahuinya secara lebih mendalam, jangan lupa dapatkan WANITA keluaran Mac yang akan berada di pasaran pertengahan Februari akan datang.
Terima kasih penduduk kampung yang melayan kami dengan mesra. Terima kasih kepada Puan Rosnani yang menyediakan makan minum kami sepanjang tiga hari di sana. Juga terima kasih kepada Faridah Idris dan Badri dari Proton yang merealisasikan misi kami.
Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, bagi saya, keramahan dan keunikan Kampung Sungai Pasu akan sentiasa tersemat di hati.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: