![]() |
| KARTIKA wati mohamed |
Menjawat dua jawatan pada satu masa tidak menjadi masalah bagi wanita gigih ini. Malah ia disambut sebagai cabaran yang perlu dihadapi oleh wanita alaf baru.
Berasal dari negeri Che Siti Wan Kembang, Kartika Wati Mohamed, tidak pernah menganggap ia suatu beban kepada diri malah ia menjadi keseronokan pada dirinya serta membuktikan wanita juga boleh melakukan apa sahaja asalkan ada kesungguhan dan disiplin yang kuat.
Kerjayanya yang sedia ada sebagai seorang peguam boleh dikatakan sibuk tetapi kerana ingin mencuba dalam bidang perniagaan membuatkan dia tidak duduk diam.
''Pelbagai bidang saya ceburi sejak dulu lagi, mungkin sudah sebati dalam diri saya untuk menjadi perniagaan sebahagian daripada diri saya.
Justeru itu, selepas berbincang dengan suami, dia akhirnya membuka sebuah perniagaan yang dinamakan Eskayvie Sdn.Bhd. bagi mengkomersialkan produk kecantikan kesihatan setelah beberapa tahun membuat penyelidikan sendiri.
''Saya sebenarnya berminat untuk berniaga sejak kecil lagi. Mana tidak, melihat kegigihan kedua ibu bapa berniaga, minat itu datang dengan sendirinya.
''Tetapi oleh kerana bagi memenuhi permintaan ayah supaya mengambil jurusan undang-undang dan menjadi peguam, cita-cita itu dipendam sementara," jelasnya.
Selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pada tahun 1994, beliau bekerja di firma guaman, kemudian memberanikan diri membuka firma sendiri dengan rakan kongsi.
''Walaupun mempunyai firma guaman sendiri, hatinya membuak-buak untuk terlibat secara serius dalam perniagaan,'' ujarnya yang mempunyai tiga firma yang terletak di Kota Bharu, Shah Alam dan juga di Kuala Lumpur .
Menceritakan perit getir dalam bidang perniagaan, dia memberitahu, setiap dugaan yang diberikan adalah setaraf dengan kemampuan diri seseorang.
''Saya pernah ditipu semasa membuka butik beberapa tahun yang lalu, namun itu semua tidak melemahkan diri saya,'' ujarnya tegas.
Akuinya, sememangnya dia sangat sedih memandangkan itu percubaan pertamanya dalam dunia perniagaan, namun perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya lagi.
Lebih menariknya, selepas kejadian tersebut semakin murah rezeki yang ditawarkan kepada dia sekeluarga.
Bagi dirinya setiap apa yang berlaku mampu memberikan kesedaran serta mematangkan diri sendiri.
''Sudah menjadi lumrah dalam perniagaan ada naik dan turun, jadi setiap yang berlaku memberi pengajaran kepada kita untuk lebih berhati-hati
Malah biarpun ditipu beberapa kali namun rezeki yang diberikan melimpah daripada yang ada,'' ujar ibu kepada Arif Huzaifah, Fatimah Zahra dan juga Aliyya Zahra.
Dengan berpegang kukuh pada prinsip dirinya membuatkan dia tabah menghadapi dugaan hidup.
''Dalam setiap apa yang kita lakukan, nawaitu penting untuk melaksanakan sesuatu tugasan agar berjaya di dunia dan akhirat.
''Sebab itu, apa juga rintangan yang hadapi, harungilah dengan tabah dan tenang,'' ujarnya lagi.
Ceritanya lagi, nawaitu dan kaedah yang betul akan membawa sesiapa saja kepada kebaikan kepada semua insan.
Sebagai seorang yang optimistik dalam kerjaya, Kartika yakin nawaitu yang betul membuatkan seseorang insan itu boleh mencapai kejayaan walaupun berdepan dengan kesukaran yang mendatang.
Katanya lagi, dengan kekuatan yang dimiliki membuatkan dia kini yakin dengan kemampuan yang diterokai itu menjanjikan sesuatu yang menarik dalam hidupnya.
''Selepas beberapa tahun membuat penyelidikan, saya kini berada berada di fasa terakhir untuk memasarkan produk kecantikan kesihatan di pasaran.
Malah tegasnya juga, dia berhasrat untuk membuka butik yang memasarkan pakaian yang berkonsep Muslimah anggun.
''Biarpun pernah ditipu pada awal pembabitan suatu masa dahulu, namun ia tidak meninggalkan kesan mendalam kepada saya sebaliknya saya yakin setiap usaha yang dilakukan bersungguh akan memberikan hasil yang berharga,'' ujarnya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: