
WASHINGTON - Media di Amerika Syarikat kelmarin menganalisis permohonan maaf bintang golf No.1 dunia, Tiger Woods berhubung skandal seksnya dengan beberapa wanita yang tidak didedahkannya.
Pada Jumaat lalu, Woods membuat permohonan maaf secara terbuka di sebuah kelab golf di Florida selama 13 minit 30 saat.
Kolumnis di akhbar New York Times menganggap pengakuan Woods buat pertama kali di khalayak awam itu sebagai sesuatu yang mengagumkan.
Pengakuan itu dibuat oleh seorang pemain golf yang mempunyai disiplin hebat dan seorang atlet yang dianggap sebagai profesional dan kurang pengalaman dalam politik dan perniagaan.
Namun akhbar The Washington Post melaporkan Woods menyampaikan sidang akhbar itu di depan sekumpulan rakan-rakan dan tidak membenarkan soalan dikemukakan.
"Dia (Woods) berusaha dengan kuat utuk kelihatan rendah diri," kata seorang penulis sumbangan akhbar berkenaan, John Feinstein.
Akhbar Los Angeles Times tidak terlalu yakin dengan permintaan maaf Woods.
Menurut akhbar itu, siapakah yang peduli apakah yang dilakukan oleh Woods di atas katil atau dengan siapa dia bersama.
"Tidakkah ia merupakan satu isu untuk dia dan isterinya menyelesaikannya.
"Kenapakah tidak melihat dia bermain golf atau melupakannya sahaja?" lapor akhbar berkenaan.
Woods buat perama kalinya meminta maaf dan mengaku dia mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab apabila menjalin hubungan seks dengan beberapa wanita.
Namun, pada sidang akhbar itu, dia tidak menjelaskan berapa ramai wanita yang terlibat dengan skandal seksnya.
Pada sidang akhbar itu, isterinya, Elin Nordegren tidak hadir.
Woods turut membuat kenyataan bahawa Elin tidak pernah memukulnya seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini ekoran perbalahan mereka mengenai skandal seks. Skandal seks Woods dibongkar media selepas dia terlibat dengan satu kemalangan jalan raya pada November tahun lalu.
Selepas itu, satu demi satu kecurangannya didedahkan media termasuk melibatkan bintang filem lucah, Veronica Siwik-Daniels yang turut sebak semasa dia melihat siaran langsung permohonan maaf Woods.
Namun, bintang filem lucah itu yang kini sudah bersara dilaporkan mahu Woods meminta maaf kepadanya ekoran tekanan yang dihadapinya.
Peguam bekas pelakon filem lucah itu, Gloria Allred menyatakan Veronica mahu Woods mengakui mereka pernah menjalin hubungan romantik selama tiga tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: