Monday, February 22, 2010

40 maut di Pulau Madeira


BEBERAPA orang melihat arus deras banjir lumpur di bandar Funchal, Pulau Madeira kelmarin.


FUNCHAL, Pulau Madeira – Pekerja-pekerja bertungkus-lumus menggali lumpur yang menenggelamkan kereta dan rumah di sini selepas hujan lebat menyebabkan 40 orang terbunuh akibat banjir.

Menurut pihak berkuasa, lebih 120 lagi cedera dan sejumlah lagi hilang kemungkinan akibat dihanyutkan arus.

Hujan lebat melanda pulau itu kelmarin menyebabkan beberapa batang jalan raya di bandar Funchal menjadi sungai berlumpur yang mengandungi serpihan dan air.

Hujan itu merupakan yang terburuk sejak 1993 turut menyebabkan seramai 250 orang hilang tempat tinggal.

Banjir kilat itu cukup kuat sehingga berpusar-pusar di bawah jambatan yang sebahagiannya runtuh.

Sejumlah penduduk berpaut pada struktur bangunan bagi mengelak dihanyutkan arus deras.

Anggota-anggota keselamatan menggunakan topi keselamatan untuk membantu orang ramai menyeberangi banjir di beberapa tempat.

Sementara itu, bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo menyatakan dia berasa terkejut ekoran bencana tersebut yang melanda tanah kelahirannya dan berjanji akan membantu untuk melakukan kerja-kerja bantuan.

“Ia merupakan bencana yang besar. Satu tragedi tanpa dijangka,” katanya di sebuah laman web.

Ronaldo pernah bermain dengan kelab bola sepak Manchester United sebelum berpindah ke kelab Real Madrid pada 2008.

Dia dilahirkan di sebuah daerah miskin di bandar Funchal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: