Wednesday, February 3, 2010

Jangan ambil hak orang miskin

"KEBETULAN beberapa minggu lalu kisah yang dipaparkan dalam ruangan DCCK ini banyak menceritakan tentang harta pusaka, pewaris yang tak sah dan macam macam.

Isu yang dikupas amat menarik perhatian saya untuk membawa perhatian anda kepada isu yang tidak kurang pentingnya, iaitu pembahagian bantuan kebajikan untuk ibu-ibu tunggal dan golongan miskin, yang berlaku disekeliling kita tetapi sering kita terlepas pandang.

‘‘Walaupun ia agak berlainan daripada kupasan isu perceraian, kekeluargaan, suami tak bertanggung jawab, poligami dan banyak lagi, tetapi isu ini baik untuk kita mengetahuinya supaya tidak terlibat dalam perbuatan memakan hasil orang susah.

‘‘Bukan kerana saya ada PHD atau berperangai hasad dengki kerana keluarga saya tak dapat bantuan dari jabatan kebajikan mahupun Baitulmal, tetapi pada pandangan saya ada antara mereka yang dapat bantuan tersebut adalah dari kalangan orang yang tidak sepatutnya dapat. Di sebabkan sifat tamak, mereka sanggup pinggirkan hak orang lain yang benar-benar memerlukan, miskin dan susah.’’ Demikian menurut cerita Mohd Haziq dalam e-melnya kepada penulis.

‘‘Saya bukan cerita pasal orang lain, tetapi berlaku di kalangan saudara bau-bau bacang saya dan orang kampung di sekeliling rumah emak saya sendiri. Saya tinggal di kampung, tetapi bukan ulu sangat, sebaliknya dekat pekan juga, namun kampung kami ada ketua kampung.

‘‘Apa yang ingin saya ceritakan baru-baru ini heboh pasal kerajaan nak bagi bantuan untuk ibu-ibu tunggal, maka sibuklah kalangan mereka yang seangkatan dengannya bercerita pasal duit bantuan. Sedangkan mereka bukanlah susah sangat, ada pencen dan lebih penting anak-anak dah bekerja. Pendek kata kalaupun

mereka tak kaya tapi memang orang senanglah.

‘‘Jadi pada pengamatan saya kalaupun mereka tak dapat bantuan kebajikan mereka boleh hidup senang, sebab ada duit pencen suami dan mereka tak perlu berkerja keras mengumpul duit untuk anak-anak belajar. Kerana ada anak dah masuk universiti dan kolej dan ada yang dah bekerja.

Bantuan

‘‘Anak-anak yang belajar pun dapat bantuan pinjaman PTPTN, pendek kata kalau mereka pandai berjimat tak payah mintak duit emak kat kampung. Tetapi bila dengar pasal bantuan untuk ibu-ibu tunggal mulalah mereka bertanya pada sapa nak mintak duit bantuan, nak daftar nama kat mana dan macam-macam lagi soalan mereka. Pokoknya mereka mahu duit bantuan konon mereka layak kerana mereka ibu tunggal.

‘‘Lebih dahsyat lagi ada antara mereka dapat duit bantuan Baitulmal, saya tak tahulah apa jalan mereka boleh dapat, tetapi mereka memang dapat duit Baitaulmal. Pada saya ibu tunggal tak semestinya susah kalau ada pencen suami. Tapi anak-anak mereka hendak mewah berbelanja, kerana emak dapat banyak duit bantuan.

‘‘Itu kes dua orang saudara jauh saya, saya tahu mereka dapat pencen suami, anak-anak dah bekerja dengan jabatan kerajaan dan swasta lulusan universiti, paling kurang seratus dua mereka hantar kat emak buat belanja dapur, itu baru satu anak, kalau dua anak, tentulah lebih senang lagi. Yang nak ditanggung cuma dua orang lagi yang masih menuntut di IPTA dan kolej, jadi rasanya hidup mereka taklah sesusah Acik Semah yang bekerja jadi tukang urut kampung.

‘‘Anak-anak Acik Semah ada lima, semuanya masih bersekolah menengah dan rendah, suami pulak dah tiga tahun meninggal dunia dan tak ada pencen dulu ikut orang buat kerja kontrak di kampung. Pada pandangan saya orang macam inilah wajib ditolong paling tidak untuk bantuan sekolah anak-anaknya.

‘‘Dek kerana susah anak-anak Acik Semah bukan pandai sangat tentulah susah dapat biasiswa atau bantuan sekolah. Mereka pun ada kalanya langsung tak pergi sekolah, sebab tak ada duit untuk tambang bas, nak jalan kaki jauh. Basikal buruk pun tak ada. Nak harapkan duit Acik Semah berapa sangat yang dia boleh dapat dalam sebulan. Pendek kata hidup Acik Semah memang susah. Setakat makan sehari sekali mereka anak beranak lepaslah.

‘‘Lagi pun berapa kerap boleh mengurut orang lepas bersalin, terkehel, patah dan sebagainya, sudahlah upahnya tak seberapa, jumlah upahnya pulak ikut suka hati pelanggan, jadi manalah cukup untuk tanggung makan dan sekolah lima orang anak yang bersekolah.

‘‘Itu baru satu kes, ada tiga empat orang lagi ibu tunggal senasib macam Acik Semah, mereka pun tak dapat bantuan Jabatan kebajikan apa lagi Baitulmal. Yang mereka dapat cuma bantuan masjid setahun sekali, dapatlah zakat sekampit beras dan sedikit duit.

Perhatian

‘‘Apa yang saya ingin ketengahkan ini untuk menarik perhatian pihak tertentu seperti Jabatan Kebajikan, Baitulmal dan sebagainya, cuba semak semula senarai golongan yang dapat bantuan. Apakah mereka benar-benar susah. Saya pernah cakap pada ayah saya supaya kemukakan masalah ini, tapi kata ayah susah nak cakap, takut orang kecik hati. Yang dah dapat tu biarkanlah. Kalau kita mampu tolong orang lain setakat terdaya.

‘‘Masalahnya, bila dah banyak bantuan dikeluarkan untuk ibu-ibu tunggal senang kat kampung kami ini, tentu Baitulmal tak pedulikan nasib janda dan balu yang betul-betul susah, alasannya peruntukan dah habis. Itu jawapan paling mudah, sebab malas nak turun padang.

‘‘Sepatutnya pegawai-pegawai ini dua tiga bulan sekali turun padang tengok sendiri rumah janda-janda yang dapat bantuan itu, buat kajian rambang, tentu anda tahu taraf kehidupan mereka. Nak tengok dalam Internet masalahnya sesetengah jabatan kerajaan ini belum sepenuhnya ada data lengkap tentang latarbelakang penerima. Jadi payahlah mereka nak tahu siapa yang benar-benar susah.

‘‘Peranan juga patut dimainkan oleh ketua-ketua kampung, jangan lagi ada pilih kasih dan kesihan. Laporkan saja siapa yang tak patut dapat. Potong bantuan mereka. Pegawai-pegawai ini mestilah bekerja rapat dengan ketua kampung kerana merekalah orang yang tahu semua perkara dalam kampung. Siapa yang susah, sapa ada anak cacat, rumah sapa yang nak runtuh, sapa yang sakit dan sebagainya. Lainlah kalau ketua kampung tidur.

‘‘Di sinilah peranan ketua kampung, bekerjalah dengan jujur, bukan untuk kepentingan sendiri. Malangnya ada ketua kampung yang jujur tetapi anak-anak ibu tunggal pulak bekerja keras mendapatkan bantuan untuk ibu mereka. Sebab mereka nak hidup senang. Bila emak senang mereka pun senang.

Semoga masyarakat kita mengubah sikap mereka, tanamkan sifat suka berzakat bukan berebut-rebut mendapatkan bantuan zakat. Halalkanlah rezeki yang kita terima semoga membawa keberkatan di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: