Saturday, February 20, 2010

Janji terus bantu Gaza

KUALA LUMPUR: Malaysia berjanji akan terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza yang menjadi mangsa peperangan dengan Israel, terutama daripada aspek kemanusiaan dan sokongan moral, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

PRIHATIN...Rosmah melihat kaki seorang warga Palestin yang kudung terkena serpihan bom.
PRIHATIN...Rosmah melihat kaki seorang warga Palestin yang kudung terkena serpihan bom.
“Rakyat Malaysia akan terus membantu apa yang perlu dan terdaya kami untuk menolong dan meringankan keperitan hidup mangsa perang di Gaza terutama kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua.


“Kita juga berasa sedih dengan apa yang terjadi di sana dan kita di Malaysia memang menghargai keamanan dan kestabilan negara tanpa perlu melalui keganasan atau peperangan seperti yang terjadi di Gaza,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, semalam, selepas menerima kunjungan hormat pegawai Aman Palestin Berhad, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), dan tiga mangsa perang warga Palestin.


Mangsa perang itu terdiri Mohamed SI Ajjur Najwa, 23, Mustafa F M Albanna Samiha, 22, dan Sameeh S M Almasri Khadra, 36, yang masing-masing kehilangan kedua-dua kaki akibat perang dan menerima bantuan kaki palsu tajaan Aman Palestin Berhad.


Rosmah berkata, dengan adanya bantuan kaki palsu itu, beliau berharap mangsa perang itu akan dapat menjalani kehidupan mereka seperti biasa selain dapat menjaga keluarga mereka.


“Saya sebagai isteri seorang pemimpin, ibu dan wanita dapat merasai rintihan, kesusahan dan keperitan kehidupan mereka di Gaza oleh kerana setiap hari mereka menjalani kehidupan dengan perasaan takut tidak menentu serta tak tahu apa akan terjadi esok atau lusa,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut, berkata ketiga-tiga rakyat Palestin itu adalah penerima bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Wisma Putra sebanyak RM830,000 yang disalurkan kepada pertubuhan berkenaan.


“Mereka sudah berada di Malaysia sejak bulan lalu dan kaki palsu untuk mereka dijangka dipasang Selasa depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: