KUALA LUMPUR: “Sebulan lalu baru saya tahu kakak (Noor Azizah Azmi, 27) terselamat, saya gembira dan benar-benar bersyukur kerana sebelum ini menyangka dia sudah tiada lagi (meninggal dunia),” kata Noor Fazilah Azmi, 24.
GEMBIRA...Noor Azizah (duduk) bertemu semula dengan Noor Fazilah bersama anak masing-masing diperhatikan Muhd Khairun (kanan), semalam.
Empat beranak itu selamat tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka kira-kira jam 9 pagi semalam dengan bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia.
Noor Fazilah berkata, sejak kakaknya berhijrah mengikut suaminya, Sisi Raja Wangsa ke Periaman, Padang kira-kira dua tahun lalu mereka kerap berhubung dan berkomunikasi melalui telefon.
Bagaimanapun, katanya, komunikasi antara mereka berdua tiba-tiba terhenti selepas kejadian gempa bumi di Padang malah lebih membuatkannya putus asa apabila cubaannya menghubungi nombor telefon kakaknya gagal menyebabkannya pasrah dengan ketentuan Ilahi.
“Selepas gempa bumi saya cuba hubungi kakak tetapi gagal menyebabkan saya pasrah jika dia antara mangsa dalam kejadian itu.
| |
“Ketika itu saya langsung tidak tahu ke mana hendak rujuk, siapa yang boleh bantu mencari kakak di Indonesia kerana saya tiada sesiapa kecuali keluarga sendiri,” katanya.
Namun, semuanya berubah apabila dia menerima panggilan daripada Konsulat Malaysia di Pekan Baru yang memaklumkan kakak bersama tiga anaknya terselamat.
“Sejurus mendapat nombor telefon baru kakak daripada pihak berkenaan saya terus menghubunginya... kami berbual panjang mengenai keadaannya di sana dan berkongsi pengalamannya selain itu dia turut memaklumkan baru bersalin anak perempuan,” katanya.
Katanya, walaupun kakaknya balik ke tanah air bersama tiga anak Aisyah Rahma Musfika, tiga bulan, Muhammad Hazrul Hakim, dua tahun dan Muhammad Hazrul Naim, lima, dia menerima kakaknya semula dengan tangan terbuka.
“Sebelum ini kakak pernah menjaga saya dan ini pula masanya saya berkorban menerima dan menjaganya bersama tiga anak saudara,” katanya.
Kedua-dua beradik itu tidak mengenali kedua ibu bapa mereka kerana dipelihara keluarga angkat sejak kecil selepas keluarga mereka berpisah. Difahamkan mereka mempunyai seorang adik lelaki tetapi tidak mengenali dan mengetahui di mana adiknya berada berikutan terpisah sejak kecil.
Noor Azizah yang sarat mengandung sembilan bulan bersama dua anaknya dijumpai melarat dan terdampar akibat kemusnahan gempa bumi yang melanda Padang pada penghujung September tahun lalu. Bagaimanapun nasib menyebelahi Noor Azizah bersama dua anaknya diselamatkan Persatuan Dubalang Amanah Kampar (Damak). Sejak itu dia tinggal bersama Ketua Pimpinan Damak, Boostami H K Datuk Duo Balang yang menjaganya dan anak selepas ditemui sehelai sepinggang dalam bencana itu. Noor Azizah berkata, dia gembira selamat pulang ke tanah air dan dapat bertemu dengan adiknya dan kini hanya memikirkan untuk meneruskan kehidupan untuk membesarkan tiga anak.
Katanya, sebelum ke Indonesia dia pernah mempunyai perniagaan menjual buah-buahan yang diusahakan bersama suami di Pelabuhan Klang.
“Setakat ini, saya masih tidak tahu apa yang bakal dibuat pada masa akan datang tetapi yang pasti saya mahu mengusahakan sesuatu supaya dapat membesarkan tiga anak,” katanya.
Apabila ditanya sejak kehilangan suami adakah anak-anak sering bertanya keadaan bapanya yang dipercayai terbunuh dalam kejadian itu dia memberitahu hanya memaklumkan bapa mereka sibuk dengan kerja.
“Ketika sakit bersalin setiap kali anak-anak bertanya mengenai ayah mereka, keluarga angkat sering memujuk dan mengasingkan daripada saya.. tetapi kini apabila mereka tanya saya hanya jawab ayah sibuk dengan kerja,” katanya sebak.
Katanya, dia mempunyai kehidupan selesa sejak mengikut suaminya tinggal di Padang namun lebih sesuai tinggal di tanah air sendiri selepas kehilangan suami.
Sementara itu, Muhd Khairun berkata, selepas membawa ibu bersama tiga anaknya pulang ke tanah air, kini pihaknya sedang mengusahakan menguruskan dokumentasi anak ketiga Noor Azizah yang dilahirkan di sana dan mempunyai kerakyatan negara berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya akan membantu wanita itu mengusahakan sesuatu bersesuaian dengan minat supaya selepas ini mampu mempunyai pendapatan sendiri untuk membesarkan tiga anaknya.
“Noor Azizah sebelum ini pernah berniaga dan mungkin kita akan membantu dia mengusahakan sesuatu, kerajaan menyediakan banyak geran dan kemudahan, biro akan cuba membantu mempermudahkan urusan ibu tunggal supaya dapat membesarkan tiga anak dengan sempurna,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: