|
|
UMURNYA baru sahaja menjangkau angka 24 tahun pada tanggal 3 Februari lalu. Namun, gadis jelita bernama Nur Heliza Helmi ini telah pun membuat persediaan untuk kehidupan hari muka.
Biarpun masih mentah dipeluk kemahsyuran sebagai artis, dia yang mula dikenali setelah menyertai pertandingan realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu kini bergelar usahawan muda.
Penyanyi yang gemar disapa Heliza itu merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah dan pemegang saham untuk syarikat miliknya, Heliza Helmi Production Sdn. Bhd. (HHP).
Baru sahaja melahirkan single terbaru, Panggil Namaku, bagi Heliza, kalau boleh biarlah usahanya menceburi bidang perniagaan menjadi titik tolak untuknya lebih fokus tentang perancangan masa depan.
Single ciptaan Shafi Vocal Studio (SVS) dilancarkan oleh rakan kongsinya, Toh Puan Atiah Alias Mohamed baru-baru ini
Fokus mengenai persediaan hari muka bukan pula bererti langkah awal buatnya mengundurkan diri dari bidang seni.
Ini kerana akui Heliza, sehingga saat ini dia masih mahu mengembangkan bakatnya di bidang seni suara.
Bukan tidak yakin dengan tiket bergelar penyanyi, siswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Sains (biologi dan kimia), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dalam masa yang sama mengharapkan usahanya menceburi perniagaan sedikit sebanyak menepis persepsi masyarakat bahawa kebanyakan artis gemar mengejar kemewahan.
Baginya, biarlah masyarakat melihat dan menilai sendiri usahanya mengumpul aset buat diri dan keluarga dengan cara terhormat.
Untuk itu dia punya perancangan sendiri dalam menentukan arah tuju hidupnya tanpa mengorbankan mana-mana bahagian rasa cintanya terhadap seni, pendidikan mahupun perniagaan.
"Saya memilih untuk menjadi penyanyi. Dan mungkin suatu hari nanti dengan adanya HHP dan ijazah pendidikan saya akan membuka pusat tuisyen.
"Inilah apa yang ada dalam fikiran saya. Sekiranya saya memilih untuk menjadi pendidik, sudah tentu saya tidak boleh menyanyi lagi nanti.
"Saya sendiri tidak tahu sampai bila saya di dunia seni. Sekurang-kurangnya dengan adanya perniagaan ada sesuatu yang boleh menjamin keluarga saya kelak.
"Mendidik pula tidak semestinya menjadi seorang guru. Bagaimanapun, saya memang suka dipanggil cikgu. Saya akan mencuba satu persatu dan mengharap sangat dapat buka pusat tuisyen suatu hari nanti," kata Heliza penuh yakin.
Sementelah dirinya masih lagi belajar, dia menyerahkan segala urusan di HHP untuk dikendalikan oleh rakan kongsinya yang lain.
Selain bapanya, Helmi Hasbi, dua lagi ahli lembaga pengarah HHP ialah Toh Puan Atiah Alias Mohamed dan Datuk Kapten Gulzar Mohamad.
Bukan persiapan perkahwinan - Heliza
Sejak bergelar artis, nama Heliza boleh dikatakan cukup bersih daripada terpalit sebarang gosip liar.
Namun, sejak akhir-akhir ini timbul pula gosip kononnya si jelita ini menjalinkan hubungan dengan seorang berpangkat Datuk.
Malah, lebih teruk lagi timbul pula khabar angin mengatakan dia kini sedang sibuk menguruskan urusan perkahwinannya.
Kesempatan bertemu empunya diri, lantas persoalan mengenai gosip tersebut diutarakan.
Dengan nada tenang, Heliza masih bersikap selamba menafikan segala kontroversi yang melanda. Baginya jika tiada sebarang kesalahan yang dilakukan, untuk apa dia perlu berasa gusar.
"Saya masih lagi belajar. Memang saya ada dengar gosip mengatakan saya kini sibuk membuat persiapan perkahwinan dan bakal berkahwin pada pertengahan tahun ini.
"Sedangkan logiknya, persiapan yang saya lakukan adalah untuk pelancaran single saya pada hari ini. Manakala pada pertengahan tahun pula saya berada di dewan peperiksaan menghadapi peperiksaan akhir.
"Apa yang boleh saya katakan, gosip itu tidak boleh dipercayai dan 100 peratus tidak benar.
"Dengan menyertai perniagaan, saya tidak takut jika orang nak kaitkan saya dengan gosip yang melanda sebab bagi saya berani kerana benar.
"Apa yang berlaku saya anggap sebagai cabaran yang perlu saya tempuh sebagai seorang artis," kata Heliza yang mengakui masih belum mempunyai teman istimewa.
Terbit konsert seniman
di IB
Bercerita tentang penghasilan single Panggil Namaku, Heliza turut menyumbang daya kreatifnya apabila menulis sendiri lirik lagu tersebut.
Menganggap single tersebut sebagai percubaan dalam melihat penerimaan peminat terhadap genre lagu nyanyiannya, kata Heliza, sekiranya berjaya dia bakal menyusul dengan penghasilan album solo penuh tidak lama lagi.
Pelakon utama filem Syurga Cinta itu menerusi HHP tidak lama lagi bakal menerbitkan sebuah konsert bagi menghargai serta mengimbau kembali jasa seniman negara, Datuk Ahmad Nawab.
Konsert yang direncanakan bakal berlangsung pada Oktober itu bakal menampilkan artis-artis yang pernah popular dengan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab.
"HHP telah berbincang dengan Azman dari Mentari Channel untuk bekerjasama dalam penganjuran konsert ini.
"Insya-Allah kita akan senaraikan seramai 10 orang artis yang bakal terlibat dalam konsert itu," kata Heliza yang juga bakal membuat persembahan dalam konsert tersebut.
Bercerita tentang perancangan HHP untuk produk terbaru, kata Heliza, pihaknya kini dalam perancangan untuk menerbitkan filem tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: