Wednesday, February 24, 2010

Dari uncle kepada abang


MAJLIS persandingan Suraya dan Shadan yang bertemakan Inggeris.


BENARLAH kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Perkenalan selama 13 tahun antara anak perempuan produser filem terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman, iaitu Puteri Suraya Mohd Jalani dan pengarah filem Haru Biru, Mohammad Shadan Hashim cukup lama.

Dalam tempoh 13 tahun itu, memadai benar tempoh untuk seseorang itu mengenal hati budi masing-masing malah agak mudah untuk berputik rasa cinta.

Namun, perkenalan Suraya dengan suaminya, Shadan asalnya bukanlah seperti yang disangka.

Asalnya Suraya dididik menyapa Shadan dengan panggilan uncle memandangkan Shadan rakan keluarganya.

Malah ketika itu Suraya baru sahaja berusia 12 tahun sementara Shadan pula 10 tahun lebih tua daripadanya.

Suraya dan adik-adiknya menghormati Shadan seperti bapa saudara mereka sendiri.

Semuanya berubah apabila Suraya bekerja di bawah satu bumbung iaitu di Syarikat J.A.S Sdn. Bhd. Suraya bertugas sebagai editor Komik Anak-Anak Sidek.

Bermula dari situ, Suraya semakin rapat dengan Shadan yang merupakan pengarah animasi Anak-Anak Sidek.

"Kami semakin rapat tahun lalu. Saya lihat Shadan seorang lelaki yang tahu menghormati wanita, tidak banyak kerenah dan sederhana.

"Saya selesa dan serasi bila bersama dia. Apabila mama perasan kami semakin rapat, mama mencadangkan kami bertunang. Cadangan mama kami terima dan bersetuju.

"Selepas bertunang pada 9 September tahun lalu, barulah kami berdua betul-betul bercinta dan panggilan uncle berubah menjadi abang pula," ujar Suraya malu-malu ketika ditemui di majlis pernikahan mereka di rumah keluarga Suraya di Taman Ukay Perdana, Selangor hujung minggu lalu.

Suraya mengakui, pada mulanya dia sangat kekok untuk menukar gelaran dengan panggilan yang lebih manja itu.

Bagaimanapun, lama kelamaan ia semakin biasa.

Pasangan pengantin baru ini merancang untuk berbulan madu di Eropah dan ingin memiliki tiga orang anak jika diberikan rezeki.

Dengan sekali lafaz, anak sulung kepada pemain badminton negara, Mohd. Jalani Sidek itu sah menjadi isteri kepada Shadan.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Jalani sendiri di hadapan Imam Masjid Ulu Kelang, Muhammad Ibrahim dengan bersaksikan pakcik-pakcik Suraya iaitu Datuk Misbun Sidek dan Rashid Sidek pada pukul 3.10 petang.

Dengan mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran berjumlah RM35,000, pihak lelaki turut menghadiahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Pada majlis itu juga, pengantin perempuan menerima hadiah seperti set alat solek, kasut dan beg tangan, set wangian, sirih junjung dan sepasang kain.

Pengantin lelaki pula menerima balasan sembilan dulang hantaran yang antaranya ialah sirih junjung, cermin mata hitam dan tali pinggang, beg, kasut, sejadah, buah-buahan, sepasang kain, kek dan sebentuk cincin.

Majlis perkahwinan Suraya dan Shadan diadakan dengan penuh tradisi serta meriah dan melibatkan tiga tema iaitu Jalani dengan adat masyarakat Jawa, Raja Azmi dengan adat negeri Perak dan Suraya yang memilih tema perkahwinan Inggeris.

Pada majlis berinai dan khatam al-Quran yang diadakan sehari sebelum majlis pernikahan, ia dilangsungkan mengikut adat istiadat Perak.

Majlis pernikahan pula berlangsung dengan cukup meriah berlandaskan adat istiadat perkahwinan Jawa disusuli dengan upacara mandi sampat dengan kombinasi istiadat orang Perak dan Jawa dari segi penampilan pengantin.

Upacara berkenaan dilakukan sebagai simbol kedua pengantin telah selamat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Raja Azmi jadi wedding planner

Melihat laman belakang rumah pasangan Jalani dan Raja Azmi yang luas dan diubah menjadi tempat anak mereka melangsungkan perkahwinan membuatkan tetamu yang hadir berasa kagum.

Setiap majlis yang diadakan selama tiga hari itu dilakukan dengan penuh teliti serta penuh dengan adat-istiadat yang semakin dilupai generasi kini.

Bermula dengan majlis khatam al-Quran dan berinai yang dilakukan mengikut adat negeri Perak diikuti dengan majlis persandingan dan bersiram yang mengikut adat Jawa.

Menurut penerbit kontroversi tanah air ini, Raja Azmi, setiap adat yang dilakukan punya makna tertentu dan dia sendiri penah melaluinya ketika berkahwin dengan Jalani dahulu.

"Pada majlis berinai yang dilakukan sehari sebelum majlis pernikahan itu, Suraya direstui oleh ahli keluarga dengan cara merenjis yang merupakan adat negeri Perak.

"Majlis pernikahan pula dilakukan mengikut adat Jawa. Pasangan pengantin lengkap berpakaian Jawa dan pada majlis mandi sampat pula ia merupakan adat Jawa dan Perak.

"Mereka berdua dimandikan dengan air zamzam yang dicampur dengan bunga di atas persada tujuh anak tangga yang selalunya dilakukan oleh kerabat raja negeri Perak," ujar Raja Azmi yang mengambil masa selama sebulan merancang perjalanan majlis berkenaan.

Menurut Raja Azmi juga, majlis mandi sampat itu sebagai simbolik mereka akan melalui segalanya bersama-sama selepas ini dan air zamzam itu dibaca dengan tujuh surah terakhir dalam al-Quran.

Tambahnya, dia sendiri pernah dimandikan sedemikian ketika berkahwin dahulu dan turut membaling duit syiling kepada orang ramai sebagai simbolik dimurahkan rezeki selepas memasuki alam perkahwinan.

"Saya amat terharu dan sayu dapat merancang perkahwinan anak saya dan memerhati dia mengharungi hidup yang saya sendiri telah lalui berpuluh-puluh tahun.

"Tetapi yang paling buat saya terharu ialah suami saya sendiri menikahkan Suraya. Ikut perancangan asal kami mewakilkan imam namun Jalani buat kejutan dengan menikahkan sendiri anaknya," ujar Raja Azmi yang begitu gembira dengan majlis pernikahan anaknya itu.

Cerita Raja Azmi, cinta antara anak perempuannya dan Shadan mula disedarinya pada pertengahan tahun lalu apabila dia melihat mereka berdua semakin rapat.

"Sebaik menyedari hal itu, saya terus bertanya apakah mereka saling suka sama suka.

"Apabila mereka mengiakan, saya dan suami mengambil keputusan untuk tunangkan mereka pada September tahun lalu.

"Dalam tempoh pertunangan itulah Suraya dan Shadan benar-benar bercinta," ujar ibu kepada tiga orang anak itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: