Wednesday, February 24, 2010

Fazura tidak diterima istana?


FAZURA HARUS LEBIH BIJAK DAN BERHATI-HATI DALAM MEMBERIKAN KENYATAAN PADA MASA DEPAN.


HUJUNG minggu lalu, sebuah akhbar mingguan ada melaporkan pengakuan cinta Fazura dengan seorang kerabat diraja.

Majalah hiburan Hai (terbitan Kumpulan Utusan) edisi bulan ini juga ada memuatkan cerita yang sama.

Dalam majalah Hai, Fazura atau lebih mesra dengan panggilan Faz mengakui, kerabat diraja berkenaan merupakan satu-satunya lelaki dalam hidupnya ketika ini.

"Faz dengan dia ada berbincang soal kahwin. Yalah setiap pasangan ada matlamat dalam hubungan. Apa yang boleh Faz katakan, dah tiada masa untuk main-main," kata Fazura dipetik sebagai berkata dalam majalah Hai yang memuatkan wajahnya sebagai penghias muka depan.

Berdasarkan siri pengakuan itu, barangkali kita semua dapat membayangkan betapa bahagianya Fazura dengan kisah cintanya.

Kenyataan itu juga seperti mengesahkan Fazura dan kerabat diraja berkenaan benar-benar dilamun cinta dan sudah bersedia untuk mengakhiri zaman bujang mereka.

Semua ini juga terpancar pada air muka Fazura yang sentiasa ceria setiap kali berhadapan dengan media mahupun peminat-peminatnya.

Itulah peribadi Fazura. Dia seorang yang sangat ramah dan suka bercerita mengenai kebahagiaan yang sedang dikecapinya.

Di kalangan wartawan, dia disenangi kerana sentiasa menjadi dirinya sendiri dan tidak hipokrit.

Namun, ketika dia seronok berkongsi cerita-cerita indah itu, barangkali aktres kelahiran negeri Pahang, Darul Makmur ini terlupa bahawa tidak semua perkara yang indah bagi dirinya juga indah buat orang lain.

Dalam hal ini, pelakon yang bakal menginjak usia 27 tahun pada September depan barangkali sudah terjerat dengan keterbukaannya sendiri.

Pelakon popular tanah air ini tentunya terlupa bahawa tidak semua yang kita rancang akan menjadi kenyataan.

Berdasarkan laporan kisah cinta Fazura yang semakin banyak disiarkan di media, Hits mendapat khabar bahawa segala kenyataan yang dikeluarkan oleh wanita itu tidak disenangi oleh pihak istana.

Menurut sumber istana, segala kenyataan Fazura mengenai apa yang disiarkan dalam media selama ini sekadar pandangan peribadinya semata-mata.

"Dia (Fazura) yang tonjolkan dirinya. Sedangkan bukan dia seorang sahaja kawan wanita kerabat diraja itu," kata sumber istana kepada Hits baru-baru ini.

Kesediaan sumber tersebut memberikan kenyataan tidak merestui hubungan pelakon itu dengan kerabat diraja berkenaan disebabkan terlalu banyak laporan tidak tepat yang disiarkan dalam media selama ini.

"Istana tidak dapat menerimanya (Fazura)," kata sumber itu lagi yang mengharapkan penjelasan ini akan membuatkan Fazura berhenti daripada menjaja kisah cintanya dengan kerabat diraja.

Ketika ini kedudukan mengenai wanita mana yang bakal menjadi bakal isteri kerabat diraja itu terlalu awal untuk dihebahkan.

"Sudah tentu istana mahukan kerabat diraja bertemu jodoh dengan seorang wanita yang tidak pernah terlibat dalam kontroversi tidak kira sama ada gadis kampung atau anak raja," kata sumber itu lagi.

Dan istana juga tidak menolak kemungkinan jodoh buat kerabat diraja itu akan ditentukan oleh ayahanda dan bonda kerabat berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: