KUALA LUMPUR - Pengeluar gelatin halal, Halagel Malaysia Sdn. Bhd., memperkenalkan lima produk makanan tambahan tahun ini dalam usahanya untuk mencapai sasaran jualan RM40 juta.
Pengurus Besar Pemasarannya, Muhammad Azhar Abdullah berkata, Halagel yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan tiga buah kilangnya di Sungai Petani kini beroperasi pada kapasiti penuh.
"Lima produk itu membabitkan makanan tambahan dalam bentuk softgel iaitu garlic oil, vitamin E, grape seed oil, flax seed oil dan extra virgin olive oil," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Halagel yang ditubuhkan pada 1997 berjaya mencatat jualan berjumlah RM21 juta pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi pengenalan lima produk itu, pihaknya kini memiliki 28 jenis produk yang terdiri daripada produk pengguna, produk kesihatan dan produk nutraseutikal.
Antaranya ialah ubat gigi herba, garam batu, kopi pracampuran, gula-gula getah perasa buah, vitamin C tambahan, minyak kelapa dara, minyak habbatus sauda dan minyak ikan Omega-3, kapsul keras penyalut ubatan, gel lembut gelatin, kopi pracampuran dan sabun mandian.
"Halagel juga akan memperkenalkan sebuah produk baru iaitu, air mineral dalam botol pada pertengahan bulan ini," tambah beliau.
Muhammad Azhar menambah, saluran pengedaran Halagel turut ditingkatkan sehingga meliputi 75 peratus kawasan pasaran menerusi kemasukan di beberapa buah pasar raya, farmasi serta klinik.
Katanya, Halagel turut berhasrat meluaskan eksportnya ke Maghribi, Turki dan Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: