Tuesday, February 2, 2010

Empat tahun tunggu Marcell




SIAPA yang tidak kenal dengan penyanyi popular dari Indonesia, Marcell. Lihat sahaja aura yang dibawakan sejak berduet bersama penyanyi Shanty menerusi lagu Hanya Memuji.

Bermula dari itu, taraf Marcell yang sebelum ini hanya dikenali dalam dunia muzik indie dengan bandnya yang bernama Puppen di Indonesia bertukar kepada salah seorang penyanyi lelaki yang harus digeruni dan dikagumi pemuja muzik seantero Nusantara.

Sejak itu tanpa menoleh ke belakang, Marcell atau nama sebenarnya Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan telah pun melahirkan tiga buah album.

Namun, sejak dia menonton persembahan live penyanyi R&B terkenal Malaysia, Dayang Nurfaizah di Planet Hollywood menerusi video, terus hatinya mengagumi bakat yang dimiliki oleh penyanyi kelahiran bumi kenyalang itu.

"Pertama kali melihatnya di video itu, fikiran saya terus menyamakan dia seperti penyanyi R&B terkenal, Brandy. Saya fikir dia miliki vokal yang sungguh bagus," ujar Marcell yang ditemui pada sesi fotografi bersama Dayang baru-baru ini.

Sejurus selepas itu, terus dilayangkan lamaran oleh pihak Dayang untuk berkolaborasi bersamanya dalam sebuah lagu duet yang berjudul Sayang.

Bagaimanapun usaha untuk menyatukan dua nama besar ini dalam satu studio bukan satu perkara yang mudah. Ia memakan masa selama empat tahun. Satu tempoh yang cukup panjang buat mereka berdua.

Kata Marcell, semuanya gara-gara birokrasi yang terpaksa dihadapinya yang ketika itu masih di bawah bumbung syarikat rakaman antarabangsa, Waner Music Indonesia.

Kini, apabila Marcell beralih kepada syarikat rakaman Emotions Record jalannya lebih mudah, keinginan selama empat tahun itu segera direalisasikan.


DAYANG dan Marcell merakamkan lagu Sayang hanya dalam tempoh dua jam.


"Memang cukup susah untuk berduet sama Dayang. Ia memakan masa sampai empat tahun. Itu semua disebabkan masalah birokrasi kerana Warner syarikat yang besar. Jika pihak di Indonesia setuju, perkara itu harus menunggu persetujuan syarikat pusat pula. Itu yang mengambil masa cukup lama.

"Saya tidak bebas untuk berduet dengan sesiapa walaupun lagu sudah ada. Apapun, penantian itu berbaloi kerana lagu ini dirakam dan dikeluarkan pada waktu yang saya kira cukup tepat," balas suami kepada aktres Rima Melati itu lagi.

Bercerita lanjut tentang lagu duet itu, Marcell menyifatkan karya Omar K itu cukup unik. Malah, lagu Sayang yang menjadi lagu single buat Dayang turut akan dimuatkan dalam album keempatnya.

"Pihak syarikat rakaman saya sudah dengar lagunya dan mereka suka. Kalau semuanya berjalan dengan lancar, lagu Sayang ini juga akan dimasukkan ke dalam album baru saya tidak lama lagi.

"Bukan mudah untuk mencari lagu duet yang sesuai. Jadi apabila lagu ini didengarkan, saya terus setuju kerana lagunya bagus serta sesuai dengan diri saya seorang penyanyi pop," tutur Marcell yang cukup popular dengan lagu Semusim.

Jika tempoh penantian untuk bergabung mengambil masa selama empat tahun, sebaliknya yang terjadi ketika proses rakaman berlangsung. Masa yang diperlukan mereka berdua untuk menyiapkan proses rakaman hanya memakan masa dua jam sahaja.

"Rasa senang sekali. Sepanjang proses rakaman yang dibuat di Malaysia, saya rasa seperti di rumah sendiri," kata penyanyi yang mahir bermain gitar dan drum ini lagi.


DAYANG dan Marcell teruja dengan kolaborasi mereka.


Meninjau pula perkembangan terbaru Marcell di Indonesia, jelasnya dia kini baru sahaja melancarkan single terbarunya yang berjudul Takkan Terganti, sebuah lagu lama yang dinyanyikan semula olehnya.

Selain itu, Marcell yang setia ditemani isterinya sepanjang sesi fotografi berlangsung juga akan muncul dengan dua filem terbaru.

"Satu filem berunsur komedi. Sebuah lagi filem yang serius yang diambil daripada tragedi yang terjadi di Acheh. Ceritanya mengisahkan kehidupan selepas bencana tsunami berlaku," katanya.

Pilihan tepat

Penyanyi Dayang Nurfaizah pula menyifatkan pilihannya untuk berduet dengan Marcell sebagai satu pilihan yang tepat dan tiada orang lain yang boleh menggantikan Marcell untuk berduet dalam lagu Sayang. Disebabkan itu, Dayang sanggup menunggu sehingga empat tahun.

"Lagu Sayang itu tidak boleh dinyanyikan oleh orang lain selain Marcell kerana saya rasa tiada penyanyi yang boleh menyanyikan lagu itu seperti dia," ujarnya.




Akui Dayang yang cukup mengagumi Marcell, dia pada mulanya agak bimbang dengan penerimaan pihak Marcell apabila dia menyampaikan hasrat untuk berduet dengannya.

Dayang juga bimbang lagu yang dipilih tidak mencapai piawaian syarikat rakaman Marcell, tetapi hal yang sebaliknya berlaku.

"Saya tidak sangka mereka amat menyukai lagu Sayang dan Marcell terus beri kata putus dalam tempoh yang cukup singkat.

"Dia juga tidak banyak kerenah, kiranya semuanya berjalan dengan lancar dari lagu dihantar, proses rakaman sehingga rangka promosi," jelasnya.

Terang Dayang, dia mula menyimpan hasrat untuk berduet dengan bapa kepada seorang anak itu sejak mendengar Marcell menyanyi secara langsung di konsert yang turut disertai oleh penyanyi Glen.

"Ketika itu saya berduet dengan Glen dan Marcell pula berduet dengan seorang penyanyi Indonesia. Masa itu saya betul-betul kagum dengan gaya nyanyiannya yang memiliki karakter tersendiri," ulas Dayang lagi.

Ditebak, mungkin dengan cara ini jalan Dayang untuk ke pasaran Indonesia lebih mudah. Dayang hanya tersenyum dan mengatakan dia tidak menolak andai lagu itu bakal membuka peluangnya ke sana.

"Kalau sudah rezeki apa salahnya tetapi masih terlalu awal untuk saya bercakap mengenal hal itu," bicaranya yang telah menyiapkan tiga buah lagu untuk album terbarunya.

Buat peminat yang ingin menyaksikan secara langsung kolaborasi mereka berdua jangan lupa dapat tiket untuk persembahan Dayang di Hard Rock Cafe pada 7 Mac ini pada pukul 11 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: