
MAJLIS Grammy Awards ke-52 sepatutnya menjadi medan pertempuran antara dua nama besar industri global muzik masa kini, Beyonce Knowles dan Taylor Swift.
Bersaing sangat sengit, Beyonce meraih 10 pencalonan dan Taylor pula dicalonkan untuk lapan kategori.
![]() |
| MENERUSI kemenangan empat anugerah pada Grammy kali ini Taylor Swift telah meraih status diva industri muzik Hollywood. |
Sehubungan itu, pertarungan Beyonce dan Taylor kali ini dilihat mampu mengulangi kontroversi yang terjadi pada majlis Video Music Awards pada tahun lepas.
Ia berlaku sejurus Taylor yang diumumkan sebagai pemenang kategori Video Penyanyi Wanita Terbaik mengalahkan calon lain termasuk pencabar terdekatnya, Beyonce, naik ke pentas untuk membuat ucapan kemenangan.
![]() |
| BEYONCE sudah mengumpul 16 trofi Grammy dalam genggamannya. |
Namun, penyanyi Kanye West membuat kecoh apabila dia tiba-tiba melompat naik ke pentas sambil merampas trofi dan mikrofon daripada Taylor sebagai tanda protes terhadap kemenangan Taylor dan bukan Beyonce.
Justeru, ramai yang hanya beranggapan Grammy kali ini hanya tertumpu kepada Beyonce dan Taylor - siapa kalahkan siapa dalam segi bilangan trofi kemenangan.
![]() |
| KINGS OF LEON merangkul anugerah Rakaman Album Terbaik Sepanjang Tahun. |
Beyonce bagaimanapun muncul 'ratu' pada Grammy yang berlangsung Isnin lepas di Los Angeles dengan meraih paling banyak kemenangan - menggondol enam trofi, sekali gus mengalahkan Taylor.
"Malam ini sungguh bermakna buat saya, terima kasih kepada Grammy," ulas Beyonce.
Dia hampir menang tujuh anugerah jika tidak dikalahkan suaminya, rapper Jay-Z menerusi kategori Lagu Rap Terbaik untuk lagu Run This Town, hasil kolaborasi vokal bersama Rihanna dan Kanye West.
![]() |
| RATU fesyen Grammy 2010. Penampilan Lady Gaga paling menangkap tumpuan mata umum. |
Dicampur dengan jumlah kemenangan terbaru ini, Beyonce, 29, mengumpul sebanyak 16 trofi Grammy sepanjang karier muziknya termasuk tiga kemenangan bersama kumpulan Destiny's Child.
Namun, Taylor tetap tidak kalah kepada Beyonce kerana biarpun dia hanya meraih empat kemenangan, namun salah satu kemenangan tersebut ialah untuk antara kategori tertinggi - Album Terbaik Sepanjang Tahun, mengalahkan empat calon lain dan sudah tentu termasuklah Beyonce.
![]() |
| SEGMEN persembahan kolaborasi termasuk Celine Dion, Usher, Jennifer Hudson dan Smokey Robinson yang khusus untuk mengenang legenda muzik, Michael Jackson. |
Kemenangan Taylor, 20, hasil 'letupan lava' album Fearless yang mencatat jualan mencecah 5.4 juta unit itu juga memecah rekod penyanyi termuda meraih kemenangan bagi kategori tersebut, yang selama ini dipegang sejak 1996 oleh penyanyi Alanis Morrisette ketika itu berusia 21 tahun, menerusi album Jagged Little Pill.
Mengulas mengenai kemenangannya itu, ujar Taylor: "Ini Anugerah Grammy yang saya menang buat kali pertama.
![]() |
| DUA anak Michael Jackson, Prince (kanan) dan Paris sempat meninggalkan nukilan emosi yang mendalam di pentas Grammy ke-52. |
"Saya teringat masa lalu, saat berada di sekolah rendah dan menyanyi dalam persembahan sekolah buat pertama kali, ramai yang pasti mempersendakan sambil menyindir, "Oh!, kami akan jumpa kamu di Grammy satu hari nanti".
Tambahnya: "Kata-kata itu seperti satu mimpi yang tidak akan berlaku. (Namun) Saya berdiri di sini menerima mimpi yang mustahil itu dan terima kasih, saya akan bawa pulang anugerah ini ke Nashville."
![]() |
| |
Dentuman gangguan
Namun, malam gemilang Grammy 2010 bukan menjadi milik Beyonce dan Taylor semata-mata.
Selain kedua-dua Beyonce dan Taylor kalah kepada Kings of Leon menerusi satu lagi anugerah utama iaitu Rakaman Terbaik Sepanjang Tahun, ada diva lain yang mencuri perhatian.
Tiba-tiba, tanpa disangka, 'dentuman gangguan' muncul dan mengganggu fokus terhadap Beyonce dan Taylor. Bukan Kanye West lagi.
Hadir dalam bentuk penuh gaya eksotik, penyanyi unik, Lady Gaga berjaya dalam usahanya untuk tampil menyerlah biarpun pada majlis anugerah yang sememangnya menjulang nama Beyonce dan Taylor sebagai diva Grammy kali ini.
Namun dari segi fesyen, Gaga, 24, mencecah aras tertinggi pada Grammy kali ini. Semua mata tertumpu ke arah sosok dirinya.
Kalau tidak, masakan supermodel Heidi Klum yang hadir pada majlis Grammy yang menawarkan 109 trofi anugerah itu bersama suaminya, penyanyi, Seal sehingga berkata: "Saya secara peribadi tidak begitu biasa dengan muzik Lady Gaga. Namun, saya mengakui sangat teruja dengan kostum hebat yang digayakannya itu."
Muncul menggegarkan pada acara karpet merah dengan gaun unik hasil kolaborasi ideanya sendiri bersama pereka fesyen tersohor, Giorgio Armani, Gaga mengayakan dua lagi persalinan unik.
Masing-masing ketika membuat persembahan termasuk untuk sebuah lagu kolaborasi persembahan bersama legenda muzik, Elton John dan juga pada sesi fotografi bersama trofi kemenangan.
Ya, Gaga bukan sekadar menang dari segi perhatian, tetapi dia juga merangkul dua anugerah - satu bukti bahawa dia layak diberikan status diva Grammy ke-52 selepas Beyonce dan Taylor.
Selain tiga diva itu, turut menyentuh emosi pada Grammy ke-52 ialah segmen persembahan kolaborasi termasuk Celine Dion, Usher, Jennifer Hudson dan Smokey Robinson yang khusus untuk mengenang legenda muzik, Michael Jackson yang mana turut menampilkan tayangan video dalam bentuk 3-D.
Menambahkan suntikan emosi apabila dua anak Michael, Prince dan Paris naik ke pentas sebagai wakil penerima anugerah khas Grammy, khusus kali ini buat Michael iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
Menyalurkan ucapan ringkas, namun menusuk jauh ke dalam naluri emosi, luah Prince: "Kesemua lagu-lagu dendangannya mempunyai mesej yang ringkas iaitu kasih sayang. Kami akan menyambung untuk menyebarkan mesej tersebut untuk membantu dunia."







No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: