Saturday, February 20, 2010

Dedikasi lagu buat pereka fesyen

SEBUT saja Lady Gaga, pasti terbayang wajahnya yang pelik. Ibarat 'alien' dalam dunia hiburan, Lady Gaga adalah wanita penuh dengan kepelikan fesyen.

PELIK...antara fesyen ditampilkan Lady Gaga yang mengemparkan peminat.
PELIK...antara fesyen ditampilkan Lady Gaga yang mengemparkan peminat.



Dilahirkan sebagai Stefani Joanne Angelina Germanotta di New York, Gaga pernah menuntut di sekolah mewah swasta yang sama seperti Paris Hilton.

Bukan setakat menulis sendiri lirik lagunya, yang paling penting, dia turut mereka cipta kostumnya sendiri. Diberi juga jolokan 'Madonna versi moden', Lady Gaga bukan mahu sekadar cantik, tetapi punya falsafah tersendiri dalam berpakaian.

Setiap fesyen yang digayakan adalah refleksi kepada muziknya sekali gus menyorot kehidupan mewah yang dijalani.


Berambut perang dan gemar mengenakan aksesori bersinar dipenuhi manik, video muzik Paparazzi sendiri menterjemahkan kehidupan penuh glamor yang sentiasa ditemani wang dan kekuasaan hidup.

Kecintaan terhadap dunia fesyen turut mendorong Gaga mendedikasikan sebuah lagu kepada pereka fesyen terkenal dan lagu diberi judul Fashion itu menyebut jenama mahal seperti J'adore Vivienne, La Vie et Moi, Gucci, Fendi, Prada, Valentino, Armani dan Jimmy Choo.

"Fesyen adalah segala-galanya bagi saya dan setiap fesyen yang digayakan refleksi kepada lagu dan muzik yang terkandung dalam album Fame.

"Saya suka menamakan konsep saya sebagai diskotik kerana bagi saya elemen ini paling kontemporari. Untuk memperoleh imej seperti saya inginkan, saya banyak bekerjasama dengan pereka fesyen terkenal dan lagu Fashion adalah hadiah kepada barisan pereka fesyen yang saya kagumi.

"Dalam video Love Game misalnya, saya sendiri mereka kostum seluar dalam dan coli yang diperbuat dari manik dan batu baiduri," katanya.


Daripada gaun gelembung, jaket berlapis di bahu, bikini kulit sehinggalah but di kaki, segala yang melekap pada tubuhnya menunjukkan betapa uniknya cara artis ini berpakaian.

Akui Gaga, dia sukakan bentuk asimetris seperti kimono panjang dan apa saja yang warna lavender. Menambahkan lagi kesan dramatik pada gayanya, Gaga gemar mengenakan solekan ala opera, bertatu, menutupi wajah dengan topeng, kain lace serta ditampal dengan manik.

"Pada awalnya orang menganggap saya gila, tapi lama-kelamaan mereka menyukai penampilan saya.

"Ada juga yang bertanya bagaimana saya menyesuaikan diri dengan gaun bergelung. Saya memaklumkan kepada mereka selain perlu berani mereka dan perlu selesa dengan kostum yang dipakai.

"Malah saya juga mendapat banyak tawaran daripada pereka fesyen terkenal untuk menghasilkan satu rekaan eksklusif kolaborasi nama Lady Gaga dan jenama mereka.

"Saya berbangga kerana fesyen yang mulanya dianggap pelik, kini diiktiraf. Untuk merancakkan dunia fesyen saya bercadang menghasilkan jenama fesyen sendiri," katanya.

Penataan gaya Gaga yang hebat juga membuatkan dia menjadi tumpuan lensa kamera setiap kali menghadiri majlis penganugerahan yang dulunya menyaksikan penguasaan Beyonce Knowles dan Jennifer Lopez di karpet merah.

Cukup menarik kerana penampilan Gaga bukan saja menjadi kegilaan peminat, tetapi juga selebriti Hollywood seperti super model terkenal, Heidi Klum yang senantiasa menantikan kemunculan Gaga.

Majalah BlackBook baru-baru ini memaparkan Nicole Richie berpakaian seperti Gaga. Bahkan pengeluar jenama terkenal berlumba-lumba memperkenalkan rekaan terbaru mereka ilham dari gaya Lady Gaga.

Pada acara berprestij Anugerah Brit Ke-30 yang berlangsung, baru-baru ini, Gaga sekali lagi tampil cukup menggemparkan.

Tidak hanya memukau di permaidani merah, Gaga juga muncul sebagai penerima anugerah terbanyak malam itu apabila menang dalam setiap kategori yang dicalonkan.

Antara kategori yang di dominasinya adalah, 'International Female Solo Artist', 'International Breakthrough Act dan Best International Album untuk The Fame.

Menghangatkan lagi suasana, Gaga membuat persembahan penghargaan yang didekasikan khas buat pereka fesyen terkenal, Alexander McQueen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: