Saturday, February 20, 2010

Latihan singkat, tekanan amat hebat

SUKAN sorak tidak begitu dikenali di negara kita, mungkin disebabkan ia kurang popular dan tidak termasuk dalam acara sukan di sekolah.

LAMBUNGAN...melambung ahli pasukan ke udara memerlukan komitmen tinggi daripada setiap ahli pasukan Rebel All Star.
LAMBUNGAN...melambung ahli pasukan ke udara memerlukan komitmen tinggi daripada setiap ahli pasukan Rebel All Star.
RUTIN...kerjasama rakan sepasukan penting untuk melakukan aksi menarik bagi pasukan Pirates.
RUTIN...kerjasama rakan sepasukan penting untuk melakukan aksi menarik bagi pasukan Pirates.
Bagaimanapun, tidak bermakna sukan ini terus dipinggirkan kerana ada sebahagian sekolah yang menganjurkan aktiviti terbabit sebagai satu program kelab sukan di sekolah mereka.


Guru pengiring pasukan Vibrant A dan B yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa, Faridah Mohd Yasin, berkata atlit sorak yang ada pada masa kini biasanya memulakan aktiviti gimnastik mereka pada usia yang agak lewat.


Disebabkan itu, masa yang diperlukan untuk melatih mereka lebih lama berbanding atlit lain kerana asas yang perlu diketahui lebih banyak berbanding atlit gimnas lain.


Tetapi menurutnya, ia bukan penghalang kepada kemajuan atlit pasukan sorak kerana berdasarkan latihan yang dijalankan, mereka mampu untuk turut bersaing dalam aktiviti ini.


"Apa yang perlu ada dalam diri atlit berkenaan adalah kesungguhan dan minat mendalam dalam bidang ini kerana keazaman yang kental diperlukan untuk membentuk mereka.

"Latihan yang dilakukan pasti akan memberikan tekanan kepada mereka kerana sebelum ini tidak pernah didedahkan dengan sebarang gerakan yang memerlukan atlit melenturkan tubuh pada posisi yang menyukarkan," katanya ketika ditemui di Karnival Futsal i-Metro Zon Tengah 2010 yang diadakan di de Futsal Stadium, Subang Jaya, baru-baru ini.


Selain itu, Faridah berkata, pertandingan yang julung kalinya diadakan ini pasti membuka mata ramai pihak mengenai aktiviti pasukan sorak.


"Kita tidak boleh meminggirkan sukan ini kerana mungkin ramai remaja yang ingin mengikutinya tetapi tidak mengetahui cara menyertai dan bentuk latihan yang dijalankan.


"Oleh itu, saya berharap ada pihak yang dapat membantu memperkenalkan sukan ini pada masa akan datang agar lebih ramai remaja mengenali dan meminatinya," katanya.


Bagi ketua pasukan Vibrant B yang berjaya mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Sorak i-Metro, Nurul Syahadah Abdul Sani, 16, berkata latihan yang perlu dijalankan amat singkat iaitu dalam masa dua minggu saja.


"Dalam masa itu, kami perlu menghafal semua gerakan agar ia berjalan lancar tetapi pada saat akhir, kami terpaksa mengubah salah satu rutin yang dilakukan.


"Dalam masa tidak sampai satu hari, kami perlu mengubah dan menukar langkah untuk memberikan keseimbangan pada pasukan memandangkan ada ahli yang tidak dapat hadir atas sebab tidak dapat dielakkan," katanya.


Nurul Syahadah berkata, ini antara cabaran yang perlu dilalui kerana pasukan ini bermula daripada sifar iaitu daripada atlit yang tidak tahu apa-apa berkaitan sukan sorak hingga meraih kejayaan kali ini selepas berusaha selama empat tahun.


"Kerja keras yang dilakukan dengan memperuntukkan lebih masa untuk berlatih tidak bermakna kami mengabaikan pelajaran kerana pelajaran itu penting untuk masa depan.


"Pembahagian masa antara berlatih dan belajar penting yang perlu dilakukan sebaik mungkin," katanya.

Di samping itu, seorang lagi tonggak utamanya, Nurul Jannah Mohd Salleh merangkul Anugerah Atlit Sorak Terbaik, sekali gus menjadi pencapaian peribadi sulung sejak menceburi aktiviti itu pada 2007.


Nurul Jannah berkata, pengalaman sepanjang empat tahun dalam aktiviti ini banyak mengajarnya mengenai disiplin diri dan kerjasama bersama rakan.


"Saya amat terharu kerana mendapat pengiktirafan sebegini dan ini menunjukkan usaha yang dilakukan sepanjang berlatih membuahkan hasil tidak disangka.


"Saya bukanlah atlit gimnastik tetapi latihan yang dilakukan dan tunjuk ajar guru memberikan banyak dorongan untuk berjaya dalam bidang ini," katanya.


Ketua pasukan Rebels All Star, Sew Ivy, 19, berkata pelbagai perasaan dirasai ketika pasukannya diumumkan sebagai pemenang pertama pertandingan itu.


Menurutnya, dia tidak menjangkakan akan mendapat tempat pertama kerana merasakan gerakan yang ditunjukkan ketika pertandingan berlangsung tidak mencapai tahap yang diingini.


"Kami mempunyai penilaian yang tinggi terhadap setiap ahli pasukan dan gabungan gerak tari serta akrobatik yang dipersembahkan kali ini sedikit mengecewakan kami.


"Bukan bermakna tidak bagus tetapi ada sedikit kekurangan yang kami lakukan dan ia akan diperbaiki untuk mendapatkan gerakan dan langkah yang betul pada masa akan datang," katanya Selain itu, ketua pasukan Pirates, Mark Michael, 18, berkata lelaki juga boleh menyertai pasukan sorak dan tiada istilah malu dalam perkara ini, sebaliknya memberikan cabaran untuk melakukan sesuatu yang di luar dugaan.


Menurutnya, tiada perbezaan antara ahli pasukan sorak sama ada remaja perempuan ataupun lelaki kerana masing-masing mempunyai peranan tersendiri bagi memastikan setiap gerakan yang dilakukan dalam pasukan seiring dan berkesan.


Wakil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane, Kuala Lumpur itu berkata, biasanya latihan dilakukan pada hujung minggu bermula jam 3 petang hingga 7 malam.


Bagaimanapun, ada kalanya jadual latihan memerlukan pengorbanan masa pada hari persekolahan.


"Justeru, kami perlu bersedia dari segi fizikal dan mental kerana tekanan yang ada amat tinggi. Kami perlu menyeimbangkan antara sukan dan kerja rumah yang perlu dihabiskan mengikut waktu agar tidak bertindih antara satu sama lain.


"Guru juga banyak memberi dorongan untuk terus berusaha mencapai apa yang diingini," katanya.


Selain tiga pasukan berkenaan, pertandingan terbabit turut diserikan kehadiran pasukan Vibrant A, Zrox All Stars dan Zenith All Stars.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: