Saturday, February 20, 2010

Raih untung RM1.55b

BANK Kerjasama Rakyat Bhd (Bank Rakyat) mencatat sejarah apabila merekod keuntungan sebelum cukai dan zakat RM1.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 pencapaian tertinggi bank koperasi itu sejak mula beroperasi 55 tahun lalu.

BANGGA...Ismail Sabri  (tengah) menunjukkan Prestasi Kewangan Bank Rakyat 2009 sambil disaksikan Kamaruzaman (kiri) dan Dr Syed Jalaludin (dua dari kiri).
BANGGA...Ismail Sabri (tengah) menunjukkan Prestasi Kewangan Bank Rakyat 2009 sambil disaksikan Kamaruzaman (kiri) dan Dr Syed Jalaludin (dua dari kiri).
Pencapaian itu juga menunjukkan peningkatan 25.6 peratus atau RM316 juta berbanding RM1.234 bilion yang dicatat bagi tahun sebelumnya.


Berikutan prestasi memberangsangkan itu, Bank Rakyat mengumumkan pemberian dividen tunai 15 peratus kepada ahlinya.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dividen tunai itu berjumlah RM299 juta.


“Jumlah ini sudah diisytiharkan dan akan dibayar kepada anggota mulai Isnin ini,” katanya ketika mengumumkan Prestasi Kewangan Bank Rakyat bagi tahun kewangan 2009 di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengarah Urusan bank itu, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, peningkatan keuntungan itu didorong faktor peningkatan pendapatan semua segmen perniagaan Bank Rakyat selain kestabilan kos dana.


Katanya, keuntungan selepas cukai dan zakat turut meningkat kepada RM1.126 bilion berbanding RM954 juta tahun lalu, naik 18 peratus atau RM172 juta dari tahun ke tahun.


Beliau berkata, jumlah pendapatan kasar juga meningkat 18.3 peratus atau RM586 juta kepada RM3.783 bilion berbanding RM3.197 bilion tahun lalu.


“Bagi pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit pula meningkat 28.4 peratus atau RM577 juta kepada RM2.610 bilion hasil pertumbuhan kukuh daripada pembiayaan, deposit serta penambahbaikan berterusan ke atas kualiti aset.


“Pendapatan daripada pembiayaan untuk tahun lalu ialah RM3.396 bilion berbanding RM2.804 bilion tahun sebelumnya dengan RM3.171 bilion atau 93.4 peratus disumbangkan perbankan konsumer, manakala selebihnya perbankan komersial yang menyumbang RM225 juta,” katanya.


Menurutnya, jumlah aset Bank Rakyat meningkat 21.3 peratus atau RM8.9 bilion kepada RM50.6 bilion pada tahun lalu hasil daripada pertumbuhan kukuh baki pembiayaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: