
SURREY - Sekumpulan pencuri malam kelmarin cuba untuk memecah masuk melalui tingkap ke dalam kediaman mewah pemain kelab bola sepak Chelsea, Ashley Cole dan isterinya penyanyi kumpulan Girls Aloud, Cheryl di Surrey, Britain sebagai percubaan mencuri dua bentuk cincin perkahwinan penyanyi itu, lapor sebauh akhbar semalam.
Cincin berlian empat segi itu berharga £160,000 (RM839,809) dan satu lagi berbentuk hati bernilai £150,000 (RM787,554).
Insiden tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas juri program televisyen X Factor itu dilaporkan terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) tanpa memakai cincin perkahwinannya berikutan kecurangan suaminya terbongkar.
Menurut akhbar The Sun, Ashley dikatakan terjaga pada pukul 4.30 pagi dan terus menelefon pihak polis yang tiba tidak lama kemudian tetapi pencuri itu telah pun melarikan diri.
"Kami mengesahkan bahawa beberapa anggota polis telah dipanggil untuk datang ke sebuah rumah di Surrey sekitar pukul 4.30 pagi atas laporan cubaan pecah masuk.
"Siasatan masih diteruskan," kata jurucakap polis Surrey. Sumber memberitahu, tiada apa yang telah dicuri kerana mereka gagal untuk masuk ke dalam rumah.
Polis dikatakan akan menyiasat teori bahawa pencuri tersebut telah diberitahu oleh rakan-rakan Ashley bahawa dia tidak berada di rumah dan pergi ke rumah ibunya.
Sebaliknya, pemain itu mengambil keputusan untuk tinggal di rumah bagi merawat kecederaan buku lalinya.
"Tidak boleh jadi satu kebetulan apabila ada orang cuba untuk memecah masuk ke dalam rumah yang kedua-dua penghuninya dikatakan berada di luar United Kingdom," kata satu sumber polis.
Sebelum ini rumah tangga Ashley dan isterinya bergolak setelah media membongkar skandal suaminya menghantar gambar kurang sopan kepada dua wanita.
Pergolakan itu menyebabkan Cheryl tidak memakai cincin perkahwinan semasa dia membuat persembahan pada Anugerah Industri Hiburan Britain baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: