
SELEPAS tujuh minggu gelanggang Raja Lawak dipentaskan, kemahiran para peserta yang terdiri daripada Idlan, Kumpulan Kecik, Mamu, Alex serta Caca tampak meningkat positif. Lawak yang dibikin sudah terlihat sedikit asli dan tidak mengecewakan.
Malah penyingkiran Abdul Halim Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Caca pada minggu lalu, biarpun sudah dijangka ramai kerana sering menjadi mangsa undian terendah juga adalah sebuah penyingkiran bermaruah.
Sekurang-kurangnya, selepas tujuh minggu, lelaki berusia 31 tahun dan berasal dari Kedah ini sudah mengutip banyak pengalaman yang mampu dibawa pulang jika dia ingin meneruskan karier lawaknya kelak.
Apabila pengumuman penyingkiran dibuat, Caca malah kelihatan seperti sudah bersedia apabila bangun dengan membawa bungkusan kain naik ke pentas.
Peserta yang merupakan seorang juruteknik di Inokom Corporation itu mendapat 3.6 peratus undi pada minggu ke tujuh sebelum terkeluar.
Caca berkata dia rela dan bersedia untuk terkeluar minggu tersebut kerana ingin memberi laluan kepada rakan-rakan lain untuk meneruskan perjuangan menjadi Raja Lawak.
“Kalau nak diikutkan siapa yang tak nak jadi Raja Lawak? Tetapi saya fikir biarlah orang yang berhak dan layak menjadi Raja Lawak.
“Saya pun tahu di mana kemampuan diri dan merasakan sudah sampai masanya saya keluar kerana peserta-peserta lain lebih berbakat,” ujarnya tenang selepas penyingkiran pada malam dengan tema Retro Hitam Putih itu.
Kata Caca, dia tidak pernah putus asa sepanjang tujuh minggu dalam program tersebut walaupun sentiasa berada di tiga tangga paling bawah sejak minggu pertama.
“Biarpun terkeluar pada minggu ini, saya tidak pernah menyesal masuk Raja Lawak kerana dapat pelbagai pengalaman berharga dalam industri ini.
![]() |
| CACA memberi pose terakhir selepas perjuangannya menjadi Raja Lawak tamat pada minggu ke tujuh. |
“Saya agak kecewa dengan persembahan pada malam ini dan seperti sudah dapat rasa yang akan terkeluar,” katanya yang bercadang untuk pulang ke kampung dalam masa terdekat ini.
Tambah Caca, dia juga sebelum ini ada berpesan kepada penyokongnya dalam Facebook agar mengundi dirinya sebab bakat.
“Selain penyokong, isteri saya banyak memberi semangat dan dorongan sepanjang saya di sini. Isteri juga selalu memberi komen dan kritikan tentang persembahan saya,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Sementara itu, juri tetap Raja Lawak, Afdlin Shauki, Din Beramboi dan Bob Lokman mengaku tema pada minggu itu adalah yang paling sukar berbanding yang lain.
Menurut Afdlin, retro merupakan subjek yang paling sukar buat para peserta.
“Peserta perlu bijak menyesuaikan persembahan mereka dengan tema agar tidak lari daripada konsep asal. Masa yang diberikan pada kali ini juga agak panjang berbanding sebelum ini iaitu tiga setengah minit. Mungkin itu menjadi punca ada antara mereka seperti hilang fokus dalam persembahan,” katanya.
Bagi Bob Lokman, empat orang peserta Raja Lawak yang tinggal sekarang mempunyai bakat yang agak besar. Mungkin kita akan ada persembahan yang agak sengit pada minggu kelapan nanti.
“Semua mereka yang tinggal adalah yang berbakat dan menunjukkan prestasi yang baik pada setiap minggu,” katanya.
Tiga peserta yang mendapat peratusan tertinggi pada minggu ke-7 ialah Idlan (32.5 peratus), Mamu (24.2 peratus) dan kumpulan Kecik (23.5 peratus).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: