
ADI PUTRA tahu, dia adalah pilihan keempat untuk membawakan watak Damak. Tapi katanya dia tidak kisah, malah tidak sedikit pun berkecil hati hanya kerana menjadi pilihan keempat penerbit teater Sri Mersing, Keno atau nama sebenarnya Megat Mohd. Noor Salleh. Sebelum Adi, watak Damak terlebih dahulu dikatakan bakal dibawa oleh pelakon Fizz Fairuz.
“Jujur, saya tidak terguris kerana menjadi pilihan keempat selepas Damak ditawarkan kepada orang lain dulu. Saya percaya, jika Tuhan sudah tetapkan itu rezeki saya, maka ia akan menjadi milik saya. Tetapi jika sebaliknya, saya tidak kisah,” ujar Adi Putra tenang sewaktu ditemui selepas sidang media teater Sri Mersing yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 12 hingga 21 Mac depan.
Tambah aktor kelahiran Singapura ini lagi, pemilihan dan pertukaran beberapa pelakon sebagai mencapai kata putus sebenar menunjukkan ia adalah proses persaingan sihat dalam industri.
Justeru, dia tidak kisah dianggap sebagai pilihan terakhir sekali pun kerana berpendapat ia satu budaya saing yang positif.
![]() |
| DAMAK dan Sri versi moden diberi kepada Adi dan Elly. |
Malah akuinya, sewaktu dilamar pihak produksi, Keno Production, dia gementar untuk menerima lamaran. Tetapi kemudian terus bersetuju untuk menjadi Damak selepas memikirkan Sri Mersing adalah sebuah naskhah klasik yang bersejarah selain mahu menguji dirinya sendiri sebagai seorang pelakon.
“Saya terima untuk berlakon dalam Sri Mersing kerana ia adalah sebuah naskhah sejarah. Saya sendiri merupakan seorang pengikut filem klasik atau Melayu lama selain gemar untuk terbabit dalam naskhah yang mempunyai banyak elemen dalam sebuah cerita,” katanya yang cuba sedaya upaya membawa watak Damak ‘lari’ daripada pembawakan pelakon asalnya, Allahyarham Nordin Ahmad.
Berbanding Adi yang menjadi pilihan keempat pengarah untuk watak Damak, pemegang watak Sri, Elly Mazlein juga mempunyai cerita tersendiri. Elly memang menjadi pilihan utama Keno. Namun pada lamaran pertama, Elly tanpa berfikir panjang menolak lamaran tersebut kerana kurang yakin dengan kemampuan sendiri.
Bagaimanapun beberapa minggu selepas itu, Keno melamar Elly sekali lagi dan pelakon ini menyatakan persetujuannya selepas mengumpul keyakinan mampu berlakon teater hasil perbincangan bersama beberapa teman pelakon lain.
Menganggap karier seninya lengkap selepas sudah berlakon drama, filem dan kini teater, kata Elly melepaskan peluang membawa watak Sri akan merugikan dirinya.
“Sebab itu walaupun saya tak yakin pada mulanya, namun akhirnya saya bersetuju kerana mahu menimba ilmu dalam dunia teater.

“Sementelah Sri Mersing adalah naskhah yang besar dan saya tahu peluang seumpama ini tidak datang selalu. Jadi saya sahut cabaran dan begitu teruja untuk bersama-sama menjayakan teater ini,” ujar Elly yang turut memberitahu dia masuk ke gelanggang teater sebagai budak baru belajar dan sedia menimba ilmu daripada orang lama yang pakar dalam selok belok teater.
Berusaha membawa Sri dalam gayanya sendiri, Elly saat ditanya tentang soal bayaran menegaskan isu bayaran seharusnya tidak ditimbulkan. Biar mengakui bayaran drama lebih tinggi daripada teater sulungnya ini, namun yang dicari dalam Sri Mersing adalah ilmu dan pengalaman.
“Tentang bayaran pula, bukan saya rasa tak penting. Bayaran penting, hanya saya rasa ia bergantung kepada budi bicara dan bagaimana kita bertolak ansur dengan urusan kita,” katanya yang akan mendendangkan tiga buah lagu dalam teater ini termasuk Sri Mersing dan Gurindam Jiwa.
Tambah Elly, yang menguatkan keinginannya untuk terbabit dalam Sri Mersing kerana pengajaran dan kisah yang diangkat di sebaliknya. “Terutama pada babak seorang bapa (Pak Malau) yang sanggup menghalau anaknya (Sri) kerana dihasut orang,” katanya.
Adunan lama dan baru
Sri Mersing yang cukup terkenal dengan dialog Kajang Pak Malau Kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu...Dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu... nyata bukan sembarangan naskhah.
Hanya melalui dialog tersebut serta kisah percintaan tragis antara Damak yang berdagang ke Mersing dengan anak gadis Pak Malau bernama Sri, naskhah yang dihasilkan oleh Allahyarham Salleh Ghani pada tahun 60-an ini cukup terkenal.
Maka apabila ia dikembalikan dalam bentuk teater oleh anak keenam pengarah tersebut itu sendiri iaitu Keno, banyak pihak yang mahu menilai hasilnya kelak. Lebih-lebih lagi apabila ia bakal dihasilkan dalam bentuk dua era iaitu gabungan daripada imbas filem dan terjemahan teater masa kini.
![]() |
| BARISAN pelakon teater Sri Mersing bersedia mengimbau nostalgia dan memberi nafas baru dalam pementasan yang akan berlangsung pada 12 hingga 21 Mac depan. |
Justeru, kehadiran kembali Datin Rosnani Jamil, si pemegang asli watak Sri yang teruja ikut serta dalam teater ini dilihat mampu mengembalikan nostalgia silam Sri Mersing.
Kata Datin Rosnani yang mesra dipanggil Mak: “Saya tanya pada Keno mengapa mahu mengacau filem sehebat Sri Mersing. Tapi Keno beritahu ia penting untuk dipentaskan semula. Jadi saya bersetuju untuk bergabung dalam Sri Mersing yang akan menampilkan adunan lama dan baru ini.”
Sementara itu, Keno memberitahu: “Sayang jika filem sehebat Sri Mersing tidak diangkat menjadi sebuah naskhah teater. Dengan kehendak pasaran yang mahukan sebuah karya yang diadaptasi daripada filem, saya percaya, apabila Sri Mersing dipentaskan kelak akan mendapat sambutan menggalakkan.”
Selain Adi dan Elly, teater ini turut dibintangi oleh orang lama termasuk Datin Rosnani Jamil, A. Galak sebagai Pak Malau, Melissa Saila sebagai Siantan, Rusdi Ramli sebagai Bentayan dan barisan pelakon lain yang akan memantapkan Sri Mersing.
Jentera produksinya pula menggabungkan individu hebat seperti Rosden Suboh (pengarah), Hairul Anuar Harun (penulis skrip), On Jaafar (pengarah koreografer tarian) dan ramai lagi.
Tiket-tiket sudah mula dijual sejak 8 Februari lalu dengan harga RM20, RM30, RM50, RM80, RM120 dan RM150 yang boleh dibeli melalui www.ticket2u.biz. Atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-4149 8600.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: