Monday, February 22, 2010

Yatt gila pakai bulu mata




PERUTNYA sudah memboyot kerana kandungannya telah mencecah sembilan bulan, tetapi kelincahannya tetap seperti biasa. Masih gagah berjalan laju dan mendaki tangga tanpa sebarang masalah.

Begitulah karakter pelakon dan pengacara jelita Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah yang langsung tidak berubah meskipun sedang sarat hamil anak sulung.

Malah, ketika sesi fotografi ini dijalankan di D & D Beauty House, Ampang, Yatt yang ditemani ibu mertuanya Wan Jamilah, 59, sebenarnya sudah terlepas dua hari dari tarikh bersalin yang dijangka doktor iaitu pada 16 Februari lalu.

"Ikutkan saya sudah bersalin sekarang ini dan nampaknya sudah terlewat dua hari. Ikut kata doktor kalau lewat 10 hari dari tarikh yang dijangka adalah perkara biasa.

"Kalau lebih 10 hari, barulah doktor akan buat sesuatu untuk mempercepatkan kelahiran. Kalau boleh saya nak bersalin normal kerana nak merasai kesakitan yang dilalui oleh ibu saya, tetapi tengoklah macam mana. Kalau tidak keluar juga, terpaksa bedah," ucap isteri kepada Abdul Mutalib Abdul Shukor ini lagi.

Bercerita lanjut mengenai kehamilan sulungnya, Yatt mengakui pengalaman untuk menjadi seorang ibu satu proses yang amat berharga meskipun dia tidak mengalami banyak masalah seperti mana ibu hamil yang lain.

Tiada alahan dan tidak mengidam sebarang makanan khusus menjadikan tempoh kehamilannya berjalan lancar.

"Tiada yang berubah, kecuali berat badan yang naik 17 kilogram. Saya aktif macam biasa, sebelum perut besar ketika kandungan berusia tujuh bulan, saya masih menerima tawaran lakonan, selepas itu suami sudah bagi lampu merah, jadi saya duduk di rumah menanti saat bersalin.

"Saya tidak mengidam, sebaliknya suami pula yang mengidam macam-macam sepanjang kehamilan saya termasuk gemar memakan masakan Barat," tutur anak sulung daripada sembilan beradik ini lagi.

Uniknya, Yatt yang disahkan mengandung bayi perempuan mengakui semakin suka mencantikkan diri dan memakai bulu mata palsu walaupun hanya singgah membeli keperluan dapur di pasar raya.

"Saya tidak ada masalah lain kecuali suka melaram dan pakai bulu mata palsu. Dulu sebelum mengandung memang saya pakai bulu mata palsu untuk sesi fotografi, tetapi sejak mengandung, nak pergi beli sayur pun saya nak cantik-cantik sampai suami saya bising sebab lama sangat ambil masa untuk bersiap.

"Teman-teman yang tahu hobi baru saya ini banyak membantu dalam mendapatkan bulu mata palsu dari Indonesia," tuturnya dalam tawa.


SUDAH merancang untuk hamil anak kedua pada tahun 2012.


Memori durian

Mengupas kembali momen awal kehamilannya, Yatt terus ketawa panjang. Masakan tidak, Yatt yang bernikah pada 29 Mac tahun lalu mengatakan dia tidak menyedari diri sedang hamil pada tiga bulan pertama.

Ketika itu, dia sedang menjalani penggambaran untuk sebuah drama dan amat menggilai buah durian serta makan tanpa henti untuk tiga hari berturut-turut sebelum ditegur suaminya dek perubahan selera makannya.

"Suami saya pelik kenapa saya makan banyak sangat buah durian dan dia syak saya mengandung. Saya pula tidak sangka mengandung sebab rasanya terlalu awal lagi. Bila kami beli ujian kehamilan dan saya disahkan mengandung, saya rasa gembira sangat.

"Dalam gembira tiba-tiba muncul perasaan bimbang bila teringat saya hentam makan durian sampai tidak ingat dunia sebelum itu. Nasib baik pergi hospital, doktor kata semuanya okey," ujarnya.

Sungguhpun semuanya berjalan lancar, jauh di sudut hati Yatt masih terselit perasaan bimbang jika terjadi sesuatu yang kurang baik seperti keguguran kepada kandungannya itu kerana dirinya terlalu aktif. Oleh kerana itu, setiap langkahnya diatur dengan penuh hati-hati.

"Banyak orang cakap kandungan pertama macam-macam boleh terjadi terutama pada awal kehamilan. Sekarang ini walaupun perut sudah besar, saya masih risau lagi. Cuma saya berdoa agar saya dan kandungan selamat sehingga dilahirkan nanti," bicara anak kacukan Indonesia, Melayu dan Arab ini lagi.

Justeru, untuk menjaga kandungannya supaya sihat, Yatt menjaga makan dan kesihatannya. Selain itu, dia juga menambah ilmu pengetahuan dengan banyak membaca buku berkenaan kehamilan.

"Bab makan saya amat jaga kerana doktor kata anak akan jadi sihat mengikut apa yang ibunya makan. Saya lebihkan sayur, banyak minum air dan makan makanan yang sihat.

"Bahan bacaan juga banyak membantu untuk saya bersedia menjadi ibu selain dari nasihat doktor, ibu dan ibu mertua sendiri," terangnya yang juga memberitahu kerap meminta ampun pada ibunya kebelakangan ini.

Angkasawan atau juruterbang

Yatt yang merancang untuk bersalin di Hospital Pantai, Ampang, tidak membuat persediaan yang besar untuk bayi sulungnya.

Katanya, pakaian bayi sudah banyak diterima daripada teman-teman tetapi dia lebih selesa membuat persiapan secara sederhana dan membeli mengikut keperluan sahaja.

"Orang tua-tua kata tidak elok kalau buat persiapan untuk anak pertama terlalu awal tetapi tidaklah sampai tidak beli langsung. Saya ada beli sikit-sikit.

"Walaupun doktor kata anak saya perempuan tetapi kalau keluar nanti lelaki saya terima sahaja asalkan bayi sihat. Sebab itu, saya hanya beli keperluan yang asas," jelasnya yang akan berpantang di rumah ibunya, di Seremban, Negeri Sembilan.


YATT bertekad kembali kepada berat badannya yang asal selepas bersalin nanti.


Bimbang dengan pertambahan berat badan, Yatt memberi tempoh sehingga habis pantang untuknya mendapat kembali berat badan yang ideal.

Luahnya, jika tidak mengembalikan semula berat badan asalnya dia bimbang akan menjejaskan periuk nasinya sebagai seorang anak seni.

"Begitulah adat dunia seni, kalau gemuk sikit susutlah tawaran lakonan. Sebab itu, masa berpantang saya akan pastikan saya dapat balik berat badan yang dulu kerana banyak kerja yang sedang menanti," balasanya.

Bercakap tentang bilangan anak, Yatt yang kini berusia 29 tahun mengakui, dia sedang mengejar usia untuk menambah bilangan anak kerana jika boleh suaminya mahukan anak seramai tiga orang.

"Usia saya bukannya muda lagi, kalau tidak beranak sekarang bila lagi. Nanti, bila usia sudah meningkat agak sukar untuk mengandung. Sebab itu suami saya kata, tahun 2012 saya kena mengandung anak kedua pula tetapi semua terpulang kepada rezeki Allah," bicaranya jujur.

Ditanya tentang harapannya kepada anak yang dikandungnya, Yatt secara berseloroh memberitahu inginkan anaknya nanti menjadi seorang angkasawan atau juruterbang.

"Itu cita-cita saya yang tidak tercapai sebab ibu tidak bagi. Jadi untuk anak Yatt walaupun dia perempuan, saya tidak kisah kalau pekerjaannya nanti agak lasak. Kalau ditakdir dia jadi pelakon dan model seperti ibunya, saya tidak kisah asalkan dia menghabiskan pelajarannya dulu," kata Yatt lagi tentang masa depan anak sulung itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: