Tuesday, February 9, 2010

Sheila sebaris selebriti Hollywood


SHEILA mencipta sejarah sebagai artis Malaysia pertama menjalinkan kerjasama dengan Mouawad.


ELIZABETH TAYLOR, Nicole Kidman, Heidi Klum, Kate Winslet, Eva Longoria, Gisele Bundchen, Tyra Banks dan Elizabeth Hurley merupakan antara selebriti Hollywood yang pernah menggayakan permata Mouawad secara komersial.

Mencipta sejarah sebagai selebriti Malaysia pertama berpeluang melalui pengalaman yang serupa ialah Datuk Sheila Majid.

Bukan sekadar itu, Sheila, 45, bakal memperagakan baju kebaya termahal di dunia pada malam Gala Amal Ratu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 April depan.

Pada majlis tersebut, penyanyi yang meraih gelaran ratu jazz Malaysia itu juga membuat persembahan khas selama 45 minit sempena 25 tahun kariernya dalam bidang muzik, di samping meraikan ulang tahun kelima butik kebaya Cosry Wise (M) Sdn. Bhd.

Bagi Sheila, peluang yang diberikan untuk menggayakan baju kebaya termahal itu dianggap sebagai rezeki yang tidak mungkin dilepaskan.

"Kalau nak beli baju kebaya itu mungkin agak susah kerana harga yang terlalu mahal.

"Saya rasa macam tidak sabar pula untuk mencuba baju kebaya tersebut," ujarnya.

Jelas artis genit itu lagi, pada malam amal itu dirinya diundang untuk meraikan wanita berkerjaya, ulang tahun kelima Cosry dan 25 tahun pembabitannya dalam industri ini.

Sheila bakal menggunakan platform yang diberikan kepadanya pada malam itu untuk meraikan mereka yang terlibat dan beramal untuk membantu golongan yang memerlukan di Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).


SHEILA diapit oleh Putra (kiri) dan Arif Quasri.


Menurut pengarah eksekutif kreatif Cosry, Putra Aziz pada sidang media yang turut dihadiri pengarah urusan Cosry, Arif Quasri Md. Nor di Hotel Impiana di Kuala Lumpur baru-baru ini, malam gala tersebut bertujuan untuk mengutip dana untuk IJN.

"Baju kebaya itu nanti akan digayakan oleh Sheila Majid semasa persembahan fesyen yang turut diadakan pada malam gala amal itu nanti," jelasnya.

Menurutnya lagi, baju kebaya tersebut akan disiapkan dengan kerjasama Cosry dan Mouawad iaitu syarikat permata milik Mouawad Group yang diasaskan pada 1890 di Lubnan oleh pakar seni reka, David Mouawad.

Ditanya lebih terperinci mengenai kebaya tersebut, Putra menegaskan: "Baju kebaya yang akan digayakan Sheila nanti akan dihiasi permata Mouawad dan akan menyebabkan ia menjadi sedikit berat. Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 1 April depan.

"Namun, saya tidak boleh mendedahkan nilai harga baju kebaya itu untuk tujuan keselamatan. Kami sudah membuat pemeriksaan dan ternyata baju kebaya tersebut merupakan yang termahal di dunia."

Selain menggayakan baju kebaya termahal di dunia, Sheila bakal mengalunkan vokal emasnya untuk konsert selama 45 minit.

Majlis yang diadakan bertepatan dengan Sambutan Minggu Setiausaha Antarabangsa itu boleh dihadiri dengan membeli tiket yang bakal dijual pada dua kategori harga RM390 dan RM490.

Sementara untuk tempahan meja pula berharga RM3,900 dan RM4,900 setiap satu meja. Bagi membuat tempahan boleh menghubungi Fadzli di talian 017-631 0102 dan Redzuan (014-624 2469). Tempahan juga boleh dibuat melalui email event@cosry.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: