Tuesday, February 9, 2010

Gagal dalam peperiksaan




TASIK Kenyir, Terengganu bagi pemuja alam sekitar dan kaki pancing, ia adalah syurga dunia. Namun bagi aktres muda berbakat besar, Liyana Jasmay, tempat itu cukup asing sementelah dia sudah terbiasa hidup di kota metropolitan sejak kecil lagi.

Bukan sehari atau dua tinggal di kawasan yang dianggap hujung dunia itu. Liyana sebaliknya terpaksa menjalani kehidupan selama 10 hari demi merealisasikan watak Laila menerusi filem terbaru, Niyang Rapik.

Saat memijakkan kaki di Tasik Kenyir yang menjadi latar penggambaran, mata dan hati Liyana mula terpana.

Disangkakan dia berteduh dan menginap di sebuah rumah bot dengan kondisi sempurna. Namun lain diharap, lain pula menjengah di depan mata.

"Pada awalnya Idham beritahu para pelakon dan krew produksi filem ini ditempatkan di sebuah rumah bot. Apa lagi, saya jadi teruja dengar kata-katanya yang disangka bakal jadi pengalaman mengujakan.

"Tapi sebaik saja sampai di set penggambaran sebenar, lidah jadi kelu dan tidak terkata melainkan terus bertanya kepada diri mampukah saya meneruskan hari panjang di tempat yang serba-serbinya kekurangan.

"Bukan hendak cakap saya mengada-ngada atau memilih tempat berlakon. Sebelum ini saya pernah buat penggambaran di sebuah kawasan pedalaman di Hulu Langat, Selangor. Kali ini nampak perbezaan ketara kerana saya berada dalam sebuah hutan tebal.

"Saya akui terkena kejutan budaya. Sampaikan saya berkurung dalam bilik untuk tempoh satu jam sambil menenangkan diri pada hari pertama sampai. Bahkan, pelakon lain tidak terkecuali melalui perasaan sama," jelasnya yang mengakui sedikit penakut.

Gadis berusia 21 tahun itu bagaimanapun harus pasrah membiasakan diri dengan atmosfera baru demi menyudahkan filem ketiga terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. garapan Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu.




Kawal diri

Menjadi satu-satunya bunga di samping kumbang lain seperti Fizz Fairuz, Zed Zaidi, Shaheizy Sam, Awal Ashaari, Kamal Adli dan ramai lagi, perasaan cuak mula membalut Liyana yang turut ditemani ibu tercinta, Habsah Simpon, 52.

"Dengan keadaan hutan tebal ini, saya yang satu-satunya pelakon wanita dan pelakon lain kena kawal segala pertuturan dan tingkah laku kerana dibimbangi perkara tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa saja.

"Dalam waktu sama, air bacaan Yasin pula disediakan kepada semua yang berada di set penggambaran. Kami diingatkan untuk meminum air ini jika berasa sesuatu kurang enak bakal berlaku pada diri.

"Tidak dinafikan, lama-kelamaan saya seronok berada di Tasik Kenyir dengan pemandangannya yang indah ditambah udara menyegarkan. Bahkan, pelakon-pelakon lelaki sempat bermandi-manda di tasik ini dan melakukan pelbagai aktiviti menarik.

"Alhamdulillah, saya tidak menghadapi banyak masalah sepanjang 10 hari berada di sana. Cuma saya ada perasaan gementar sebelum melelapkan mata. Nasib baiklah mak ada menemankan saya sepanjang berada di sana.

"Siapa saja tentu bimbang dan rasa seram jika kena tidur di tengah hutan belantara," luah Liyana yang hanya mampu melelapkan mata jika mendengar bunyi riuh-rendah pelakon dan krew produksi bekerja hingga pukul 4 pagi.

Selain berdepan cabaran membiasakan diri di kawasan terpencil tanpa jalan darat dan tiada bekalan elektrik, Liyana sempat membicarakan tentang rintangan yang dihadapi dalam menerajui watak Laila.

"Saya kena banyak bermain ekspresi wajah terutama mata menampilkan diri Laila. Paling sukar apabila saya harus membayangkan diri mengendong bayi seperti ia benar-benar hidup. Ia kelihatan berseni dan memerlukan emosi tersendiri.

"Walaupun ada beberapa babak dianggap sukar, saya tetap gembira kerana Idham puas hati melihat luahan diri Laila," ujarnya tentang perjalanan cerita yang bakal menemui peminat pada 25 Februari ini.

Selain Liyana, Fizz, Kamal, Awal, Zed dan Sam, Niyang Rapik turut dibintangi Nasir Bilal Khan, Shahrol Nizam, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Dian P. Ramlee dan ramai lagi.

Walaupun sibuk berbicara mengenai karier seni, Liyana tidak terkecuali berkongsi cerita bergelumang bahan bacaan, kelas dan tugasan selepas melanjutkan pengajian beberapa tahun lalu.

Destinasi pilihan


KUMBANG di antara bunga. Liyana bersama barisan pelakon lelaki Niyang Rapik, (dari kiri), Zed Zaidi, Shaheizy Sam, Fizz Fairuz, Awal Shaari dan Kamal Adli.


Pelajar jurusan Seni Persembahan dan Media Sunway University College Petaling Jaya, Selangor memberitahu, dia kini berada dalam semester kedua terakhir sebelum bergelar graduan diploma.

Gadis yang lahir pada 28 Mac 1988 itu sepatutnya menghadiri konvokesyen kolej pada tahun ini.

Namun, impian Liyana hampa kerana dia harus menduduki semula dua peperiksaan untuk subjek Suntingan Filem dan Sejarah Teater.

"Tidak malu cakap, ini semua salah diri sendiri. Kehadiran saya dalam kelas mengambil markah sebanyak 50 peratus manakala selebihnya berdasarkan pemarkahan ujian teori dan praktikal.

"Dengan jadual lakonan padat dan komitmen lain, saya terpaksa ponteng kelas dan tertinggal kuliah penting. Maka, tidak mengejutkan kalau saya gagal dalam peperiksaan semester lepas.

"Bulan Mac hingga Julai ini, saya akan buat projek teater semester akhir. Harap semua berjalan lancar selepas ini. Saya tidak sabar menamatkan pengajian pada 2011 nanti," jelas Liyana yang sempat merencana untuk mengambil kursus lakonan jangka pendek suatu hari nanti.

New York, Los Angeles atau Australia bakal menjadi destinasi pilihan Liyana sebagai tempat menimba ilmu sekali gus memantapkan diri sebagai anak seni versatil.

"Saya harap dapat menjalani kursus intensif selama dua minggu atau paling lama 12 minggu di negara orang. Sudah lama saya simpan cita-cita ini," jelasnya yang akan muncul dengan single ketiga berjudul Penyelamat Cinta gubahan bersama Liyana dan Aizat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: