Walaupun sudah selesa bekerja sebagai pendandan rambut, Roziana tidak mahu melepaskan peluang menyambung pelajaran dalam bidang itu di Jepun selepas ditaja oleh majikannya.
DENGAN lambakan institusi atau akademi kecantikan, jumlah pendandan rambut di negara ini sememangnya semakin ramai di pasaran. Namun begitu, tidak mudah untuk mencari pendandan rambut yang dapat melakukan perkhidmatan terbaik.
Kadangkala ada sahaja dandanan rambut yang dilakukan tidak mencapai kepuasan pelanggan.
"Seorang pendandan rambut seharusnya mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam dandanan rambut.
"Mereka juga perlu mendandan rambut mengikut permintaan pelanggan dan juga mengikut fesyen semasa," kata Roziana Awang Hamat, 30, yang mula berkecimpung dalam bidang dandanan rambut sejak tahun 2003.
Roziana memberitahu seseorang yang sudah lama dalam bidang dandanan rambut tidak bermakna tidak perlu lagi menimba ilmu pengetahuan.
Menyedari bahawa bidang fesyen dan kecantikan sentiasa bergerak seiring dengan perubahan masa, gadis berasal dari Selama, Perak itu tidak teragak-agak untuk mengikuti kursus dandanan rambut di Jepun tidak lama lagi.
Apatah lagi, majikannya Derrick Ho Fook Choy bukan sahaja menyokong bahkan turut menaja pengajiannya di sana membuatkan Roziana semakin berkobar-kobar untuk ke Tokyo.
Untuk mengenali Roziana dan kerjayanya dengan lebih dekat, GenK mengajukan lima soalan kepadanya:
GenK: Boleh Roziana cerita mengenai penglibatan dalam kerjaya pendandan rambut?
Roziana: Semasa berumur 14 tahun lagi, saya sudah minat mewarna dan menggayakan rambut mengikut fesyen semasa. Dari situ, saya mula terdetik mahu melibatkan diri dalam bidang dandanan rambut. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menyambung pelajaran di Akademi Dandanan Rambut Thomas & Guys di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Setahun kemudian saya terus bekerja sebagai pendandan rambut di beberapa buah salun rambut sehinggalah merasa selesa bekerja di salun rambut Derrick & Team pada tahun 2006.
Boleh ceritakan pengalaman Roziana sepanjang bekerja di Derrick & Team?
Selama menjadi pendandan rambut di sini, Derrick tidak pernah berputus asa memberi semangat dan ilmu supaya saya berjaya dalam bidang ini. Derrick juga banyak memberi maklumat terkini tentang dunia dandanan rambut.
Bermula sebagai pembantu di Derrick & Team, akhirnya Derrick memberi kepercayaan kepada saya untuk mendandan rambut pelanggan tanpa bantuan sesiapa. Derrick sentiasa ingin pekerjanya menimba ilmu dandanan rambut sehingga ke luar negara. Jadi, dia mahu menghantar saya dan pekerja-pekerja lain untuk menambah pengetahuan dalam dandanan rambut di Jepun nanti.
Apakah cabaran sepanjang bekerja sebagai pendandan rambut?
Pertama kali bekerja di salun rambut, saya pernah tersalah potong rambut seorang kanak-kanak. Akibatnya saya dimarah teruk oleh emak kanak-kanak tersebut. Saya sangat sedih dan hampir berputus asa. Nasib baik rakan-rakan dan majikan banyak memberi sokongan dan semangat.
|
|
Bagi saya, jika saya tidak dapat mendandan rambut pelanggan dengan sebaik-baiknya, itu merupakan pengalaman pahit dalam hidup saya.
Bekerja dengan Derrick merupakan pengalaman manis yang tidak dapat saya lupakan. Banyak tunjuk ajar dan pengalaman yang ditimba sepanjang bekerja di Derrick & Team. Saya pernah menerima pelanggan sehingga 15 orang sehari. Bekerja sebagai pendandan rambut juga memberi pendapatan yang agak lumayan.
Apakah tip kepada remaja yang ingin berkecimpung dalam kerjaya ini?
Bidang ini memerlukan seseorang yang memiliki pemikiran yang kreatif. Selain itu, mereka yang ingin bekerja dalam bidang ini juga harus tabah dan juga tidak mudah berputus asa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: