Tuesday, February 2, 2010

Karnival sulung komputer

Karnival yang melibatkan sebanyak 62 buah gerai itu memberi peluang kepada para pelajar Uniten untuk mendapatkan barangan komputer pada harga yang lebih murah.




DARI jauh lagi kelihatan kanopi-kanopi besar berwarna biru menghiasi ruang luar Dewan Seri Sarjana (DSS), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Kajang, Selangor.

Melangkah sahaja kaki ke dalam DSS, tersergam indah gerai-gerai yang tersusun rapi memenuhi dewan Uniten itu.

Di bawah kanopi tersebut, dipenuhi pula dengan pelbagai barangan yang sedia menerima kunjungan bakal pembelinya. Ada kanopi yang dipenuhi dengan pameran jualan motosikal, manakala yang lainnya pula menjual pelbagai aksesori komputer, selain minuman buat pengunjung yang hadir ke Karnival PC Uniten.

Walaupun, ia sebenarnya ialah karnival berkaitan komputer peribadi (PC), gerai-gerai yang memenuhi DSS menawarkan pelbagai jenis barangan jualan. Antaranya, termasuklah baju-baju kurung dan blaus, buku serta buku.


KARNIVAL PC Uniten dianjurkan oleh kelab CLICQ yang terdiri daripada pelajar jurusan teknologi maklumat.


Namun, yang pasti puluhan gerai memfokuskan pelbagai peralatan komputer selain aksesori berkaitan seperti papan kekunci, pemacu USB dan mesin pencetak.

Karnival PC anjuran Persatuan Sains Teknologi Maklumat (CLICQ), Kolej Teknologi Maklumat Uniten itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar universiti tersebut mendapatkan peralatan dan aksesori komputer serta peralatan teknologi lain pada harga berpatutan.

Ini kerana kebiasaannya kebanyakan peralatan komputer dijual lebih mahal di luar, namun dalam karnival itu banyak peniaga menawarkan harga istimewa iaitu pada harga pelajar.

Karnival yang terdiri daripada 62 gerai itu juga membuka peluang kepada masyarakat luar untuk datang membeli barangan yang dipamerkan di setiap gerai. Ia sekali gus mendekatkan masyarakat luar dengan warga kampus Uniten.

Karnival tersebut berlangsung selama tiga hari pada penghujung Januari lalu.


ARIFFIN MOHAMED YUSOF (dua dari kiri) mengimbas jarinya pada alat khas bagi menguji minda selepas melancarkan karnival PC di Uniten.


Menurut Pengarah Program CLICQ, Law Yi Feng, karnival PC itu merupakan program terbesar yang pernah dianjurkan persatuan mereka.

"Sebelum ini CLICQ ada menganjurkan beberapa program seperti program kebajikan untuk kanak-kanak yatim dan program teknologi maklumat.

"Untuk tahun ini, saya mahu melaksanakan program yang lebih besar berbanding sebelumnya. Sebab itu terhasillah idea karnival PC ini," katanya yang mahu menganjurkan karnival PC yang sama pada setiap tahun.

Karnival seumpama itu juga dapat menjalinkan hubungan erat antara Uniten dengan syarikat-syarikat teknologi dalam negara.

"Ia juga dapat mempromosikan CLICQ kepada lebih ramai siswa dan siswi Uniten seterusnya kepada institusi pengajian lain," tambahnya lagi.


SEBANYAK 62 gerai memenuhi Dewan Seri Sarjana Uniten.


Timbalan Dekan Kolej Teknologi Maklumat Uniten, Dr. Abdul Rahim Ahmad, memuji penganjuran karnival PC yang dilakukan oleh CLICQ.

"Untuk menganjurkan aktiviti yang melibatkan orang ramai bukannya suatu kerja mudah. Tetapi CLICQ telah berjaya menganjurkannya.

"Selain itu, kerjasama di antara semua ahli jawatankuasa (AJK) CLICQ juga memainkan peranan yang penting dalam membawa kejayaan tersebut," kata Abdul Rahim.

Abdul Rahim berharap pada masa akan datang terdapat lebih banyak program yang menarik dan memberi informasi kepada pelajar Uniten dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Pelajar Uniten, Ariffin Mohamed Yusof memberitahu CLICQ telah melakukan banyak persiapan sebelum berlangsungnya karnival PC tersebut supaya ia dapat dijalankan sebagaimana yang dirancangkan.


AHLI-AHLI kelab CLICQ bertungkus-lumus menjayakan karnival PC sulung di Uniten itu.


"Karnival PC dilihat mampu meningkatkan imej Uniten dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi di Malaysia.

"Walaupun ia merupakan karnival PC yang pertama kali dianjurkan oleh Uniten, tetapi ia merupakan program terbaik buat pelajar IT khususnya.

"Sekarang, teknologi memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan kita. Ini merupakan transformasi kehidupan yang tidak dapat kita nafikan kerana di mana-mana sahaja terdapat individu yang melayari IFacebook, e-shopping dan sebagainya," katanya yang berucap semasa pelancaran Karnival PC di Uniten baru-baru ini.


PELAJAR gembira kerana dapat membeli barangan komputer pada harga yang lebih murah berbanding harga di luar kampus.


Dalam pada itu, seorang pelajar semester satu jurusan Sains Komputer Uniten, Nor Bahani Hayati Abdul Aziz, 21, mengakui dengan adanya karnival PC, dia tidak lagi perlu pergi ke pusat beli-belah untuk mendapatkan barangan komputer.




"Memang saya datang untuk membeli peralatan dan perisian komputer. Lebih-lebih lagi memang ia diperlukan untuk pembelajaran saya," katanya.

Bryant Lim, 20, pelajar semester dua jurusan Teknologi Maklumat yang juga merupakan salah seorang CLICQ ternyata berpuas hati dengan kehadiran ramai pelajar.

"Kami akan berusaha untuk mengadakan program yang lebih besar selepas ini," katanya.

Jelas seorang lagi pelajar, R. Thiyagaraj, 19, karnival PC yang diadakan dapat memberi pendedahan kepada pelajar untuk bergiat aktif dalam melakukan program-program seumpama itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: